28 | COVID CAT 4

26 0 0
                                    



Dhia dipapah dengan cemas oleh Aiz, langkahnya berat, namun penuh dengan kesungguhan, memasuki ruang kecemasan yang penuh sesak malam itu.

Bahagian Emergency Department (ED) di zon merah ibarat pusat badai—riuh dengan suara keluhan, tangisan, dan gesekan peralatan perubatan yang berlarutan tanpa henti. Udara yang pekat terasa berat, seakan-akan setiap insan membawa beban yang sulit.

Pesakit-pesakit berbaring di atas katil yang berbaris rapat, tubuh mereka dililit dengan wayar dan tiub—beberapa terbaring tidak sedarkan diri, yang lain berjuang untuk bernafas seperti Dhia, wajah mereka pucat dan lesu.

Ancaman wabak Covid semakin tenat. Cahaya putih terang dari lampu hospital memantulkan suasana dingin, seolah-olah mencerminkan kebisuan maut yang boleh menjemput pada bila-bila masa.

Ketika itu, Dhia tercungap-cungap, bibirnya sudah mulai kebiruan, badannya terhuyung-hayang di sisi Aiz. Tidak perlu menunggu lama, seorang Pembantu Perubatan (MA) segera menghampiri mereka. Wajah MA itu tegang namun berpengalaman, matanya memerhati Dhia dengan penuh tumpuan.

Dengan cekap, MA itu mula mengambil tanda vital. Alat pengukur oksigen disematkan di jari Dhia yang sejuk dan bergetar kecil, dan sejurus kemudian, layar monitor memaparkan angka-angka yang sangat membimbangkan.

Kadar saturasi oksigen Dhia menjunam rendah. Setiap hela nafas yang diambilnya semakin sukar, serak dan berat. Tekanan darahnya juga sangat rendah, denyut nadi berdegup kencang, menandakan tubuhnya berjuang keras.

Para petugas perubatan lain yang lalu lalang turut sekilas melihat monitor yang berbunyi nyaring, tanda-tanda bahaya yang memerlukan tindakan segera.

"Patient memerlukan bantuan sekarang!" bisik MA itu, matanya bertemu dengan Aiz, yang hanya mampu memegang tangan Dhia dengan erat, tubuhnya bergetar antara ketakutan dan ketidakberdayaan.

Tekanan di ruangan itu seakan semakin menghimpit. Segala-galanya terasa seolah waktu bergerak lebih lambat, tetapi di ruang kecemasan itu, setiap saat yang berlalu sangat berharga—antara hidup dan mati.

"Start patient with HF mask, kalau tak pickup, tukar pada VM60. SPO2 83%. BP crash, patient's ROF just 500ml, so we start Norad 0.05mg/ml now! HO, ambil full blood workup and swab test sekali. Pasang dia on ECG monitoring, 2 large bore branulas, but not on her fistula side. Prepare IV Dexa as well," jerit Dr. Lina, sebagai Registrar bertugas malam itu, kepada semua staf syif malam yang melibatkan houseman, MO, jururawat, MA, dan PPK.

Dhia merasakan betapa terseksanya untuk menghela setiap nafas. Dadanya seperti dihimpit beban berat, ketat dan menyakitkan. Peluh membasahi seluruh tubuhnya, meskipun ruangan resus itu begitu dingin, sejuknya terasa hingga ke tulang.

Namun, rasa dingin itu tidak mampu menghalang peluh yang terus mengalir, betapa hebatnya tubuhnya saat ini berjuang untuk bertahan.

Matanya mulai kabur, dunia di sekelilingnya semakin suram, seolah-olah ditelan kabus. Seluruh badannya terasa amat lemah, dan lelah—begitu lesu sehingga membuka mata menjadi satu usaha yang terlalu sukar.

Dhia tahu dirinya semakin tenggelam dalam kegelapan yang dingin, namun ada satu perkara yang masih jelas terlintas di fikirannya sebelum semuanya hilang.

Dia melihat seorang jururawat, tangannya pantas namun lembut, menukar pakaian Dhia kepada baju hospital yang longgar dan sejuk.

Dalam samar-samar, Dhia dapat merasakan gelombang sejuk ketika elektrod ECG disematkan pada dadanya yang kian lemah.

Saat itu, segalanya mulai menghilang. Pandangannya menjadi kelabu, tenggelam dalam kabur yang semakin menutup kesedarannya.






"Dhia kau sihat tak?"

Ini kali ketiga Akash menghantar menghantar mesej pada Dhia. Akash risau sejak Dhia menghantar mesej padanya 2 hari lepas memberitahu bahawa dia dimasukkan ke dalam wad kerana demam dan sesak nafas, Dhia terus senyap. Kali terakhir Dhia memberitahu Akash ketika di red zone resus, doktor memberitahu berkemungkinan Dhia COVID stage 4 kerana test swab covidnya positif.

DHIAWhere stories live. Discover now