Bunyi siren memecah kesunyian pada malam itu. Seluruh badan Armani menggeletar hebat. Kaki bagaikan terpaku di situ apabila melihat dua batang tubuh sedang terbaring kaku di atas jalan raya. Darah merah yang mengalir menutup warna tar jalan raya.
Seakan diseru namanya, Armani terus berlari ke hadapan, menolak setiap manusia yang menghalang.
"Mama!"
"Papa!"
Belum sempat Armani mendekat, ada tangan yang menahannya.
"Sabar, dik. Biar pihak polis uruskan mayat mama dengan papa adik dulu. Adik tak boleh ke sana. Bahaya." seorang pegawai polis wanita berjaya menghalang Armani.
"Mayat?"
"Siapa kata mama dengan papa I dah mati? Mereka belum meninggal lagi. Mereka cuma pengsan. T-tak mungkin mama dengan papa tinggalkan I. Lepaslah!" Armani enggan menerima kenyataan itu.
Mama dan papanya hanya tidak sedarkan diri sebentar. Ya. Armani yakin.
"Akak faham semua ini berat untuk adik telan. Tapi macam mana pun ini hakikat yang adik kena terima." pegawai polis masih berusaha memujuk Armani.
"Jaga sikit mulut akak! Mama dan papa I belum mati." Armani meraung persis orang hilang akal.
"Mama dengan papa masih hidup! Mereka takkan tinggalkan I sorang-sorang di sini. Apa yang susah sangat akak nak faham? Lepaskan I lah. I nak pergi jumpa diaorang." Dalam tangisan, Armani meronta sekuat mungkin.
Armani mahu peluk mama dan papa. Armani mahu kejut mama dengan papa yang masih pengsan.
Mama dan papa tak boleh tinggalkan Armani. Armani tak punya siapa-siapa lagi dalam duni ini, ma, pa. Macam mana Armani nak hidup kalau mama dengan papa tak ada?
Tolong, bawa Armani sekali.
Armani nak ikut mama dengan papa.
Jangan tinggal Armani!
Mata Armani terbuntang luas. Tubuhnya bingkas bangun dari pembaringan. Rambut yang menutup wajah diraup ke belakang. Pada malam sunyi itu, Armani boleh dengar sendiri nafasnya sedang berbunyi kuat. Sekuat bunyi degupan jantungnya.
Sejak belakangan ini, mimpi itu kembali menemani tidur Armani. Mimpi yang membuatkan Armani sering dihantui rasa penyesalan yang tidak terhingga.
Jari mengelap sisa air mata di pipi. Kepala Armani sempat berpaling melihat Darrell yang sedang nyenyak tidur di sebelahnya. Senyuman nipis terbit di bibir setelah menyedari kehadiran Dilan yang juga turut tidur di atas dada Darrell.
Comel.
Kaki menuruni katil dengan perlahan untuk menuju ke dapur. Tekaknya haus dan kebetulan mata tiba-tiba jadi segar setelah mimpi buruk itu berjaya mengganggu lenanya.
Armani tuang susu coklat di dalam gelas setelah meneguk rakus segelas air sejuk. Dia berjalan semula membawa gelas di tangan menuju ke luar rumah. Punggung dilabuhkan di tepi kolam mandi yang membiru.
Hati jadi sedikit tenang melihat air biru itu. Rindu pada mama dan papa yang mengasak jiwa Armani juga semakin reda.
Namun mimpi buruk tadi mula menjengah di fikiran Armani lagi. Sehingga ke hari ini, Armani belum mampu memaafkan diri sendiri. Disebabkan kedegilannya, dia hilang orang yang paling dia sayang sampai bila-bila.
Armani masih ingat pada malam itu, papa minta Armani untuk singgah ke kedai buah milik ayah Leanna kerana mama teringin sangat hendak makan buah mangga. Tapi Armani enggan menurut permintaan papa hanya semata-mata kerana dia mahu menyiapkan tugasan sekolah yang perlu dihantar esok walaupun papa merayu padanya berkali-kali.
YOU ARE READING
ARMANI FAIRY
RomanceArmani Fairy x Darrell Raed Yang tidak ditakdirkan untukmu, Akan menemukan caranya untuk hilang. Yang ditakdirkan untukmu, Akan menemukan jalannya untuk pulang. Yang buruk sengaja Tuhan lepaskan, Agar yang baik mempunyai kesempatan untuk datang.