Koridor penjara itu sunyi. Hanya bunyi kipas lama berpusing perlahan di siling dan langkah kaki beberapa pegawai penjara di hujung lorong yang kedengaran samar-samar. Ezlin masih duduk mencangkung di hadapan jeriji besi sel.
Telefon bimbitnya masih merakam. Namun pen di tangannya sudah lama berhenti menulis. Matanya memandang Ash. Ash pula bersandar pada dinding sel. Kedua-dua tangannya disilangkan di dada. Wajahnya kembali kosong seperti tadi.
Seolah-olah cerita panjang yang baru keluar dari mulutnya sebentar tadi bukan kisah hidupnya sendiri.
Zamir yang berdiri bersandar pada dinding koridor turut diam. Lelaki itu biasanya banyak mulut. Tapi kali ini dia sendiri tidak tahu mahu berkata apa. Ezlin menarik nafas perlahan.
"Ash..." Ash tidak memandangnya.
"Selepas malam tu, apa jadi dengan awak?" Ash ketawa kecil.
Ketawa yang langsung tidak ada kegembiraan.
"Lepas malam tu?" Dia menggeleng perlahan.
"Lepas malam tu aku ingat Danny akan kahwin dengan aku."
Ezlin menelan liur. Ash tersenyum sinis. "Bodoh kan aku?"
Tiada siapa menjawab. Zamir menggaru tengkuk.
"Ash, kalau ikut cerita kau ni... lelaki tu bukan red flag dah tau." Ezlin mengerlingnya. Zamir menyambung perlahan.
"Ni dah macam bendera komunis dah."
Ash akhirnya memandang Zamir, beberapa saat. Kemudian dia tersenyum sedikit. Senyuman orang yang sudah terlalu lama letih dengan hidup. "Kau kelakar." Zamir tersengih kecil.
"Terima kasih. Ramai orang kata macam tu." Ezlin kembali fokus kepada Ash. "Ash... Danny berubah selepas tu?"
Ash memandang lantai sel. "Berubah?"
Dia mengangkat bahu. "Awal-awal... dia makin sayang aku."
Ezlin menulis sesuatu di buku notanya. "Macam mana?"
Ash menjawab perlahan. "Dia tak bagi aku keluar seorang diri."
"Tak bagi aku jumpa kawan lama." "Tak bagi aku balik kampung." Ezlin berhenti menulis. "Kenapa?"
Ash tersenyum pahit. "Dia kata... dunia luar tak layak untuk aku. Konon risaukan aku..." Zamir bersuara perlahan.
"Tu bukan sayang tu." Ash memandangnya.
"Tu penjara." Ash memandang jeriji besi di hadapannya.
Kemudian dia ketawa kecil. "Nampaknya hidup aku memang suka dan layak tempat macam ni." Ezlin menutup buku notanya perlahan. "Ash... Danny pernah pukul awak?"
Ash tidak menjawab. Dia hanya memandang dinding.
Beberapa saat berlalu. "Ash?" Akhirnya Ash bersuara.
"Banyak kali." Zamir mengerutkan dahi. "Kenapa?"
Ash menjawab pendek. "Cemburu." Ezlin memandang wajahnya lama. "Tapi kenapa awak masih dengan dia masa tu?"
Ash ketawa perlahan. "Sebab aku dah bagi semua dekat dia."
Koridor itu kembali sunyi.
Ezlin memegang pen kuat sedikit. "Ash..."
Ash menyambung sendiri. "Dan sebab aku bodoh."
Zamir menarik nafas panjang. "Then, macam mana awak boleh sampai ke sini?" Soalan itu membuatkan Ash diam lama.
Lama, sangat lama. Dia memandang Ezlin. Matanya gelap.
"Danny bukan sekadar baran." Ezlin menunggu.
"Apa maksud awak?" Ash menjawab perlahan.
"Dia ajar aku benda yang aku tak pernah buat dalam hidup aku." Ezlin mengerutkan dahi. "Maksud awak?"
Ash tersenyum nipis. "Dadah."
Pen di tangan Ezlin berhenti. Zamir terus tegakkan badan.
"Ash... awak maksudkan..." Ash mengangguk.
"Dunia malam, kelab VIP, orang kaya, barang haram."
Ezlin menelan liur. "Ash... awak terlibat?" Ash memandang jeriji besi di hadapannya. "Kalau aku kata tak... kau percaya?"
Ezlin tidak menjawab. Ash menyambung.
"Tapi semua tu tak penting." Ezlin memandangnya.
"Kenapa?" Ash mengangkat muka. Matanya memandang Ezlin tepat. "Sebab apa pun alasan aku... orang tetap nampak aku sebagai pembunuh." Dia ketawa pahit. Ezlin tersentak.
Zamir turut terdiam. Di hujung koridor, Inspektor Hazri memandang dari jauh. Wajahnya serius.
Ezlin menelan liur perlahan. Dia memandang Ash sekali lagi.
Dalam diam... dia tahu satu perkara. Kes ini, tidak sesederhana yang semua orang fikir. Dan Ash... mungkin bukan sekadar banduan yang menunggu hari kematiannya.
ANDA SEDANG MEMBACA
AMPUNKAN AKU
RomanceEZLIN SYAFIRA. Seorang wartawan muda yang mempunyai jiwa yang kental dan berdisiplin dalam menjalankan tugasnya. Satu hari, dia terpaksa membuat liputan di sebuah tempat yang mana dia tidak pernah terfikir untuk menjejakkan kaki ke situ. Perkenalann...
