Suasana pagi di kedai runcit Pak Lias kelihatan agak riuh. Kedai kayu lama yang sederhana itu memang selalu menjadi tempat orang kampung membeli barang dan juga tempat paling subur untuk cerita orang. Membawang!
Di hadapan rak sayur, dua orang wanita sedang berdiri sambil membelek-belek barang. Khatijah berdiri di sisi Rokiah sambil memegang bakul plastik kecil. Zainab pula berdiri di belakang kaunter sambil menyusun barang.
"Eh, engkau orang dengar tak cerita semalam?" suara Rokiah kuat seperti biasa. Khatijah terus mendekatkan badan.
"Apa pula cerita baru ni?" Zainab turut menjenguk dari belakang kaunter. "Kau ni Kak Kiah... tiap hari ada je cerita. Mulut memang tak boleh tutup langsung!" Dia menggeleng kepala sambil ketawa. Rokiah mengibas tangan.
"Eh ini bukan aku yang buat cerita! Orang kampung sendiri yang nampak." Dia menurunkan suara sedikit, tetapi masih cukup kuat untuk didengar. "Kau orang dengar tak cerita pasal Firdaus, anak Abang Ali dengan Kak Munah tu?" Khatijah terus mendekat. "Kenapa dengan budak tu? Accident ke?"
Zainab turut melangkah ke arah mereka. "Apa dia, Kak Kiah?"
Rokiah menjungkit kening. "Semalam polis datang tangkap dia."
"Hah?" Khatijah terus membulatkan mata. Rokiah menyambung dengan penuh semangat. "Polis jumpa dia tengah mendadah dalam rumah." Khatijah terus menepuk pahanya.
"Astaghfirullahalazim..." Zainab pula bersuara perlahan.
"Betul ke?" Rokiah mengangguk laju. "Betul lah! Orang kampung sendiri nampak polis masuk rumah dia. Sekarang ni dengar cerita Kak Munah dengan Abang Ali pun tak berani nak balik rumah." Dia mendekat sedikit. "Diorang pergi menyorok dekat rumah si Borhan, anak sulung diorang." Khatijah menggeleng kepala. "Teruk betul budak tu..."
Rokiah menjongket bahu. "Haa itulah. Dulu bukan main lagi Abang Ali bangga dengan anak dia tu. Konon belajar pandai laa, dapat biasiswa laa..." Zainab ketawa kecil. "Tengoklah sekarang." Tiba-tiba Zainab seperti teringat sesuatu. Dia menyandar sedikit pada kaunter sambil berkata dengan nada sinis.
"Alah... cerita pasal anak orang ni. Anak orang lain pun sama je perangai." Rokiah terus memandangnya. "Maksud kau?"
Zainab tersenyum nipis. "Si Nur tu lah." Ketiga-tiga mereka terus ketawa kecil. Khatijah menutup mulutnya.
"Budak tu dulu elok je. Sekali dah besar, ikut jantan pula."
Zainab menjongket bahu. "Dua bulan dah rasanya dia hilang. Dengar cerita jantan tu kaya. Handsome pula tu." Rokiah terus menyampuk. "Patutlah dia tak nak dekat Fahim tu. Jantan tu helok rupanya." Zainab ketawa kecil. "Eh Fahim tu pun handsome juga apa. Ilmu agama pun dia pandai."
Dia mengangkat bahu. "Tapi tak sehandsome jantan tu la kot. Sebab tu Nur reject." Khatijah mengangguk laju.
"Mak dia tu pun sekarang dah macam tak keluar rumah sangat." Rokiah memandang ke arah pintu kedai.
"Kalau aku jadi dia pun malu." Tiba-tiba kedengaran langkah kaki melangkah perlahan ke arah mereka.
Mereka bertiga berpaling serentak. Seorang wanita masuk dengan langkah perlahan. Puan Hajar.
Dia memakai tudung bawal yang sederhana. Wajahnya nampak letih, tetapi dia tetap cuba mengukir senyuman sopan.
Dia mendekati rak sayur.
"Assalamualaikum." Zainab menjawab pendek tanpa benar-benar memandang. "Waalaikumussalam."
Rokiah dan Khatijah hanya mengangguk sedikit. Puan Hajar berdiri berhampiran mereka. Dia cuba bercakap dengan nada biasa sambil tersenyum.
"Sembang apa tu? Dari jauh boleh dengar suara ketawa."
Tiada siapa menyambung. Rokiah hanya menjawab ala kadar.
"Haa, biasalah. Kitorang ni sembang hal ehwal semasa je. Macam-macam la jadi dekat Malaysia ni. Pening betul kepala aku." Dia berpaling ke arah dua rakannya.
ANDA SEDANG MEMBACA
AMPUNKAN AKU
RomanceEZLIN SYAFIRA. Seorang wartawan muda yang mempunyai jiwa yang kental dan berdisiplin dalam menjalankan tugasnya. Satu hari, dia terpaksa membuat liputan di sebuah tempat yang mana dia tidak pernah terfikir untuk menjejakkan kaki ke situ. Perkenalann...
