pada suatu malam, selepas habis bekerja, Ashraf terus pulang ke rumah. Tetapi dalam perjalanan pulang sebelum sampai lorong sunyi itu, Ashraf singgah terlebih dahulu di warung mamak bersama dua orang rakannya, Sharil dan Muhaimin. Kerana asyik berborak, mereka bertiga terlupa hari sudah jauh malam. Jam di tangan Ashraf sudah mencecah pukul 12.45 malam. Kebetulan malam itu adalah malam Jumaat. Shahril dan Muhaimin tidak pulang melalui lorong sunyi itu.
Walaupun diajak oleh Ashraf, Shahril dan Muhaimin tetap enggan melalui lorong tersebut. Tinggallah Ashraf seorang yang terpaksa melaluinya kerana tidak mempunyai pilihan lain. Kalau dia ikut jalan raya, sudah terlalu jauh untuk sampai ke rumahnya.
Mahu tidak mahu, Ashraf terpaksa melalui lorong sunyi itu. Dalam perjalanan pulang, hati Ashraf tiba-tiba berdebar. Matanya menjeling kiri kanan lorong. Tiba di pertengahan lorong, dia tersentak. Wajah seorang wanita jelas kelihatan di hadapannya. Ashraf berhenti seketika. Hati dan perasaannya mula menggambarkan apa yang telah diceritakan oleh rakan-rakannya.
Tetapi Ashraf kuatkan semangat. Ketika langkahnya semakin menghampiri wanita itu, hidungnya tiba-tiba ditampar bau wangi. Tidak pernah dia menghidu bau wangi sedemikian sepanjang dia melalui lorong tersebut. Tetapi kali ini dia menghidunya. Tidak mungkin wangian itu turun bersama embun pagi! Ashraf mula tertanya sendirian. Segera Ashraf menutup hidungnya.
Dia terus berjalan tanpa mempedulikan wanita di hadapannya. Dia menundukkan kepalanya ke bawah. Langkah dicepatkan. Semakin dia menghampiri wanita itu, semakin kuat bau wangi itu menusuk hidungnya. Kala itu terlintas difikirannya tentang cerita rakan-rakannya. Kalau terhidu bau wangi, jangan dihidu kerana bau wangi itu adalah bau hantu raya!
Teringat itu, Ashraf segera menahan nafas seketika untuk tidak menghidu bau wangi itu. Degup jantungnya semakin kencang. Hatinya mula berdebar-debar. Tidak pernah dia mengalami peristiwa sebegini. Ashraf sudah dapat mengagak, cerita hantu yang diberitahu oleh rakannya itu memang benar. Kini barulah Ashraf, tahu bahawa cerita ngeri dan menakutkan ini memang wujud.
Tiba-tiba Ashraf mendongak kepalanya. Entah tidak semena-mena, anak matanya mencuri jeling ke arah wanita itu. Dalam jelingan itu, Ashraf dapat melihat seperti ada satu keganjilan pada wajah wanita itu. Wajahnya putih, bibirnya merah dan rambutnya panjang melepasi bahu. Seluruh bulu roma Ashraf berdiri tegak. Langkahnya tiba-tiba terhenti, bagaikan dipegang sesuatu. Dia cuba melangkah tetapi tidak berdaya. Kakinya terasa begitu berat. Matanya terus terpandang wanita itu yang mula bertukar wajah.
Bermula dengan wajah senyum, berubah menjadi bengis. Gigi yang tersusun cantik tiba-tiba bertukar tajam dengan susunan yang menyeramkan. Rambut wanita itu mula mengerbang, disusuli hilaian suara menakutkan yang memecah lorong sunyi itu. Dengan wajah yang menakutkan, wanita itu menghampiri Ashraf. Dia cuba lari, tetapi kakinya seolah-olah terpijak gam. Serentak itu, dia terus menjerit sekuat hatinya, kemudian rebah menyembah bumi.
ANDA SEDANG MEMBACA
Creepy Pasta | Malay Version
Hororberhati-hati dengan setiap ayat yang anda baca :) _ Dah penat dah dengar ayat "eh macam pernah baca je cerita ni" awak awak , kalau awak tak faham apa itu creepy pasta , awak boleh search gugel . _ highest ranking ; #03 in Horror #02 in Horror #01...
