"M-A-R-V-0-2." Kening Dhir berkerut seribu. Hampir bersambung di tengah-tengah. Nampak sangatlah dia keliru tahap tak dapat ditolong. Kepalanya menoleh kejap ke kiri, kejap ke kanan. Sambil langkahnya perlahan melepasi kereta-kereta yang terparkir elok di kawasan tempat letak kereta itu.
"Mananya?" Dia merungut sambil hentikan seketika langkah kakinya. Kaki yang bersarung selipar itu dihentak perlahan di atas lantai.
Dhir bukanlah sejenis yang penyabar. Bukan juga seorang yang gigih mencari dalam keadaan sebegini. Malasnya lebih. Lagipun dengan berpuluh-puluh kereta di kawasan parkir itu, memang naiklah tekanan darahnya apabila diberi tugasan untuk mencari.
Tapi, eee! Dhir ketap bibir sendiri memandang Samsung Galaxy di tangan kanan. Salah diri sendiri, Dhir oi! Salah kau sebab terambil telefon yang salah dalam lif tadi. Jadi, nak tak nak dia kenalah selesaikan sendiri benda ini.
Aduh! Dhir ketuk kepala sendiri guna Samsung di tangan. Geram dengan diri sendiri. Inipun nasib baik lelaki yang tertukar telefon dengannya masih berada di hospital yang sama. Kalau dia sudah bergerak ke lokasi lain, makin rumitlah kejadiannya.
Perlahan gadis itu mengeluh. Matanya dipicingkan memandang bermacam jenis kereta mewah di sekelilingnya, sambil langkah yang terhenti kejap tadi kembali diteruskan.
Lexus LM350. Warna hitam. Nombor plat MARV02.
Haih! Nombor plat pun dah pelik semacam. Padanlah susah nak jumpa.
Namun pencariannya berakhir apabila mata menangkap sebuah MPV mewah warna hitam tak jauh dari tempatnya berdiri ketika itu. Terus bibir mengukir senyuman manis sebelum laju kakinya mengorak langkah menghampiri kereta itu.
Eureka!
Tiba di depan kereta itu, kepala Dhir terteleng sedikit mencari nombor plat. Setelah memastikan memang nombor plat pelik itu yang tertera, dia lantas bergerak ke sebelah kanan. Cermin kereta sebelah pemandu dia ketuk perlahan.
Tiga saat menanti, tak ada balasan yang dia terima. Cermin gelap kereta gelap itu kekal tertutup rapat. Sudahnya kerutan yang baru hilang dari dahi Dhir tadi muncul semula.
Tak ada orang ek dalam kereta ni? Mustahil tak ada. Sebab enjin kereta ni hidup je. Maknanya memang ada oranglah kat dalam.
Habis kenapa tak ada respons?
Dia mencuba lagi sekali. Cermin itu diketuk perlahan, tiga kali. Tak cukup dengan itu, mata dipicingkan. Kalau-kalau dengan cara itu pandangannya boleh tembus sampai ke dalam, boleh nampak apa yang berlaku di dalam kereta itu.
Hmm, beranganlah kau Dhir! Fikir kau ada kuasa super ke apa.
Sempat lagi dia herot bibir ke tepi, marah pada diri sendiri sebelum dia dekatkan muka sendiri pada cermin kereta. Kedua-dua belah tangan diletakkan di sisi mukanya. Kononnya supaya pandangan matanya lebih fokus dan serentak mata dikecilkan, cuba mengintai di sebalik cermin kereta tersebut.
Makin dekat, makin dekat dan sikit lagi dahi Dhir hampir mencium cermin kereta.
Strettt!
Cermin kereta itu tiba-tiba diturunkan dan satu kepala terjegul dari dalam. Serentak juga kedengaran satu suara menegur. "Apa awak tengah buat ni?"
Terkejut, Dhir terus terlompat ke belakang. Kedua-dua belah tangan yang kononnya jadi binokular tadi pun terjatuh ke sisi. Cuma kali ini terkejutnya taklah sampai terlepas Samsung yang masih kemas dipegang di tangan kanan.
Rasa terkejut cuma seketika apabila wajah si lelaki yang menegur dia itu mula dikenal pasti oleh cik akal.
"Awak!" Suaranya naik satu oktaf. Berserta jari telunjuk dihala tepat ke wajah si lelaki. Tapi gagal dilengkapkan ayatnya. Berkerut-kerut kening, cuba untuk meyakinkan diri sendiri. Terbayang ninja di dalam lif tadi, dan kemudian lelaki yang masih berada di dalam kereta ketika itu.
YOU ARE READING
Fiksyen (Sudah Terbit)
Romance[MALAY FICTION] 12th Wattpad Story by _ljskwb. Ini kisah fiksyen. Tentang Jirey yang hanya nak buktikan bahawa cintanya kepada Dhir bukan fiksyen. _____ Fiksyen. ©2017, Jiyan. All Rights Reserved.