BAB 4 | I

1.8K 242 130
                                        

PAGI lagi Dhir sudah sampai di Bookscapes, kafe buku miliknya. Kafe ni sebenarnya boleh dianggap sebagai rumah keduanya, selain pangsapuri yang dia duduki sekarang. Masanya paling banyak dihabiskan di sini. Sebab kalau sudah bosan berkurung di rumah, dia akan datang ke sini.

Dia memang paling suka dikelilingi buku. Itu juga sebab utamanya dia usahakan untuk buka kafe ini sebaik saja dia tamat belajar. Ingat senang? Payah jugak waktu mula-mula dulu. Sudahlah hal bisnes dia langsung tak tahu. Ditambah pula dengan tentangan daripada abang-abangnya.

Mana tak kena marahnya? Belajar sudah bertahun-tahun. Dhir sudah dapat tawaran kerja tetap pun. Tapi dia sesuka hati tolak tawaran kerja itu dan lompat bidang yang langsung tak berkaitan.

"Pagi, Kak Dhir." Melangkah masuk saja ke dalam kafe, salah seorang pekerjanya terus menegur.

"Pagi, Hawa." Dhir membalas pantas. Sekali dengan senyuman manis terukir di bibir. Berlenggang saja dia masuk ke dalam kafe. Tak bawa apa-apa kecuali kunci kereta yang diputar di tangan kanan dan telefon bimbit di dalam poket seluar.

Dhir sebenarnya tak merancang untuk berlama-lama di sini hari ini. Cuma mahu singgah kejap untuk mencari pendrive yang dia tak jumpa di rumah. Dia cari sejak malam tadi, tapi tak jumpa-jumpa juga. Salah letaklah agaknya.

But first, coffee. Fikir Dhir sendiri sambil membawa langkah ke belakang kaunter. Dicapai cawan kertas untuk membancuh kopi. Kena minum kopi dulu sebelum dia mulakan usaha mencari pendrive kesayangannya itu.

"Kak Dhir." Hawa tiba-tiba datang berdiri di sebelah.

"Hmm?" Dhir balas dengan menggumam perlahan.

"Kak Dhir kenal SJ?"

Spontan kening Dhir berkerut. Pulak! Ini dah kenapa nama SJ naik awal pagi ni? "S... J?" Lambat-lambat Dhir membalas. Nak jawab apa ni? Kalau Hawa ajukan soalan ni minggu lepas, yalah, dia tak tahu apa benda SJ tu. Dia memang tak tahu langsung mana-mana SJ kecuali kumpulan K-pop Super Junior.

Tapi selepas apa yang berlaku kelmarin, dia sendiri jadi ingin tahu siapa lelaki yang tertukar telefon dengannya itu. Jadi apabila balik ke rumah, Dhir mengaku dia memang ada Google nama lelaki itu.

Dan boom! Secara tak langsung dia dapatlah 'pendidikan tak formal' tentang sejarah hidup si Syed Jirey itu. Sekarang rasanya macam tak patut pula kalau dia jawab tak tahu. Sebab dia adalah tahu sikit-sikit hasil daripada carian Google malam tadi.

Dan sekarang fahamlah dia kenapa si SJ tu macam tak percaya sangat Dhir tak mengenalinya. Memang popular sangat-sangat pun lelaki tu.

"Alah, Syed Jirey, Marv Five. Jutawan kacak tu."

"Aaa... Syed Jirey." Dhir harap tak nampak sangatlah caranya menjawab yang nak tak nak itu. "Kenal memang taklah. Tapi Kak Dhir tahulah pasal dia. Kenapa?"

Pelik pula rasanya sebab tiba-tiba saja Hawa tanya Dhir tentang ni. Sedangkan selama ni tak pernah pula dia buka topik begini.

"Betul tak kenal? Maksud saya, kenal in person gitu. Manalah tahu kawan sekolah ke, kenalan ke, apa ke...."

Makin berkerut kening Dhir dengan soalan Hawa. Kawan sekolah? Pft! Kalau bukan disebabkan insiden kelmarin, dia tak tahu pun kewujudan Jirey.

"Tak adalah. Kak Dhir manalah ada kenalan macam tu. Dia tu kan kira macam golongan kayangan gitu." Kopi yang siap dibancuh dibawa ke bibir. Dihirupnya sikit. "Sekarang ni, yang kamu tanya soalan pelik dengan Kak Dhir ni dah kenapa? Tiba-tiba je?"

Hawa tersengih. Acah-acah dia mengelap kabinet di hadapan mereka. Tapi Dhir boleh agak. Ini mesti ada benda yang budak ni tak cakap lagi.

"Tak adalah. Awal pagi tadi adalah keluar gosip kat satu tabloid ni."

"Kamu baca tabloid, Wa?"

Hawa masih sengih. Tak dijawab soalan Dhir, sebaliknya budak itu terus menyambung ayat yang secara tak langsung terpotong tadi.

"Ada media yang keluarkan gambar SJ dengan seorang perempuan ni. Lepas tu keluarlah gosip konon perempuan tu teman wanita SJ. Nama SJ tengah trending kat Twitter sekarang disebabkan hal tu." Hawa nampak teragak-agak untuk meneruskan cerita. Dipandang wajah Dhir seolah sengaja mahu melihat reaksinya.

Tapi Dhir kekal tayang riak selamba. Diangkat tinggi-tinggi keningnya, minta Hawa meneruskan ayat. Masih tertanya-tanya kenapa Hawa tiba-tiba pilih dia untuk bergosip tentang hal ini di awal pagi yang indah dan damai ini.

"Muka teman wanita SJ tu kan, macam Kak Dhir."

Dhir spontan tergelak. "Merepeklah."

"Betul, Kak Dhir. Hawa tengok banyak kali, belek sejak tadi. Serius macam Kak Dhir. Kak Dhir nak tengok?"

Kemudian tanpa disuruh, tangan Hawa melepaskan kain pengelap lalu menyeluk saku. Dia mengeluarkan telefon pintarnya.

"Ada je la kamu ni. Salah tengok, kut. Manalah Kak Dhir pernah—" Dhir tiba-tiba terdiam. Nak cakap dia mana pernah jumpa si SJ tu. Tapi teringat terus insiden kelmarin yang secara automatiknya menjadikan ayatnya tadi tak valid.

Senyuman Dhir yang tersisa kerana gelaknya kejap tadi serta-merta hilang. Oh, jangan cakap.... Hisy, tak mungkinlah! Ingat ini drama Korea ke sampai benda-benda macam tu boleh terjadi?

"Gambar tu bukan kat tapak parkir, kan?" Degupan jantung Dhir rasa hampir meletup saat mengaju soalan itu kepada Hawa. Meskipun riak wajahnya kekal tenang. No, tak mungkin! Lagipun kelmarin kan mereka berjumpa di kawasan parkir tertutup. Mustahil ada orang luar yang nampak.

Mata Hawa membulat. "Ini betul Kak Dhir, kan?" tanya budak itu sambil menghulurkan telefon ke arah Dhir.

Dia mengecilkan mata. Memandang gambar yang terpapar jelas di skrin telefon Hawa itu.

Tapak parkir. Syed Jirey. Dan... dia.

Dhir rasa oksigen tiba-tiba macam tak sampai ke paru-paru. Otak dia tiba-tiba blur tak tahu mahu fikir apa lagi. Dan riak wajah membeku, tak tahu harus bereaksi bagaimana. Tak, tak, tak! Ini semua tak mungkin.

Serentak, telefonnya rasa bergetar didalam poket seluar.

Telefon Hawa dihulur kembali kepada gadis itu lantas tangan menyeluk saku untuk mengeluarkan telefon sendiri. Notifikasi panggilan masuk dipandang sekilas sebelum dia terus menjawabnya.

Emi.

"Dhir." Suara Emi tanpa salam mahupun kata sapaan. "The woman in the news with SJ. It's you, isn't it?"

📚

Fiksyen (Sudah Terbit)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang