JIREY menggeliat malas. Tubuhnya disandarkan selesa di belakang kerusi. Kaki bersilang gaya big boss. Epal yang diambil dari atas meja wad sekejap tadi dikunyah.
Sajalah nak menyambut seruan 'an apple a day keeps the doctor away'. Kutlah usaha murni Jirey ni boleh kurangkan sikit kerja petugas kesihatan kat Malaysia ni. Cewah!
"Kau memang, kan? Dahlah curi epal aku. Boleh kau buat gaya bos besar pula duduk kat situ," komen Afi yang sejak tadi geram melihat telatah kawan sendiri. Heh! Kecik-besar kecik besar je dia tengok si Jirey ni la!
"Dengki!" Sepatah dibalas kata-kata Afi. Epal digigit buat kali kedua. Sengaja dia kecilkan mata memandang Afi yang terbaring di atas katil hospital.
"Kau tak payah nak acah terbaring atas katil sangatlah, Fi! Eleh! Aku fikir kau patah kaki, patah tulang rusuk ke. Tup-tup setakat calar kat dahi je. Kau masuk wad ni sebab nak tarik perhatian aje, kan?"
"Helo, Ji! Yang kau kata calar kat dahi tu, aku kena berbelas jahitan tau. Simpatilah sikit!"
Jirey buat muka toya. Dengan tak kisahnya, dia gigit lagi epal di tangan.
"Perangai macam pondan la kau, Fi. Setakat kena jahit—"
Terhenti kata-kata Jirey tatkala terdengar bunyi pintu ditolak. Dia dan Afi sama-sama menoleh, melihat Chad yang melangkah masuk. Dan di belakang Chad, Ehsan menyusul sama.
San terus tarik kerusi di sebelah katil Afi. Manakala Chad pula terus menghampiri katil dan mengacah mahu tumbuk Afi. Elehhh... tapi acah aje pun. Manalah dia sampai hati tumbuk Afi. Kalau Afi tak pakai baju hospital, mungkin hinggap jugalah penumbuk Chad ke bahu Afi. Tapi sudah namanya pesakit, Chad adalah simpati sikit. Atas nama kemanusiaan.
"Kau ni la!" Akhirnya Chad mendengus sebelum dia berjalan menghampiri Jirey. Duduk dilabuhkan di atas sofa berhampiran sahabatnya itu. "Aku dah cakap! Pandu dengan berhemah, ingatlah kereta tu aku yang punya!" Chad sempat buat parodi iklan keselamatan jalan raya sebelum dia menyambung marahnya pada Afi. "Tapi kau bukan nak dengar cakap aku, kan?"
Sungguhlah Chad geram tahap petala. Kalau tubuh badan boleh bertindak balas macam kereta api, memang berasap telinga Chad sekarang.
"Bukan 'pandu dengan berhemah, ingatlah orang yang tersayang' ke?" Dengan muka berfikir tak boleh blah, Afi membalas. Jangan tertipu. Afi bukan blur. Dia cuma berlakon ala innocent.
Dan akibatnya, Afi terima satu jelingan maut daripada Chad. Pergh! Macam hantar sinaran laser.
"Kau okey ke?" San bersuara. Sekaligus cuba meredakan situasi antara Afi dan Chad ketika itu. Dipandangnya Afi dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki yang berlunjur di atas tilam. Seakan sedang mengimbas mana-mana kecederaan yang tak dilihat.
"San! I know I have no one but you! As expected! You're the sun of my life." Afi acah terharu. Afi ni memang perangai drama king. Semua benda dia mahu dramakan.
"Jangan tertipu dengan dia, San. Afi tu sebenarnya menggedik je nak duduk hospital. Dia bukan sakit mana pun!" Jirey yang sudah menghabiskan separuh epal di tangannya bersuara. Menyampuk. Saja nak curi port.
San balas dengan senyuman. Nasiblah dapat kawan-kawan macam ni. Bilangan tak sampai sepuluh orang. Tapi kecohnya mengalahkan satu sekolah menengah.
"Aku dah settle semua. Insurans, police report. Kereta pun dah hantar bengkel. Rasa tak lama sangat, kut. Sebab bukannya teruk sangat pun. Sehari dua nanti siaplah tu," ujar San, mula masuk mood serius. Walaupun dia tahu, dalam wad itu sekarang tak ada seorang pun di antara Jirey, Chad dan Afi yang beri tumpuan kepada apa yang baru dia sampaikan.

ANDA SEDANG MEMBACA
Fiksyen (Sudah Terbit)
Romantizm[MALAY FICTION] 12th Wattpad Story by _ljskwb. Ini kisah fiksyen. Tentang Jirey yang hanya nak buktikan bahawa cintanya kepada Dhir bukan fiksyen. _____ Fiksyen. ©2017, Jiyan. All Rights Reserved.