DHIR capai beg kertas yang sarat isinya dengan macam-macam jenis makanan menggunakan tangan kiri. Sambil sebelah lagi tangannya rancak menaip pesanan WhatsApp untuk dihantar kepada Along.
Dia lalu keluar dari kereta. Sedikit berkerut mukanya apabila terasa bahang matahari menyentuh kulit. Cepat-cepat dia mengunci kereta dan melangkah laju meninggalkan tapak parkir.
Isk! Kalau bukan disebabkan pesanan mak, memang tak adanya dia keluar waktu panas terik begini. Dia lebih rela berkurung dalam kafe miliknya daripada menempuh terik cuaca macam hari ini. Inipun dia relakan hati untuk keluar sebab mahu hantar barangan yang dikirim oleh mak untuk Along yang berkerja di hospital ini.
Baru tiga langkah diatur di tengah-tengah lobi hospital, Samsung di tangan tiba-tiba menjerit minta diangkat. Nama Along tertera di skrin.
"Along!"
"Hah, kat mana?" Suara Hafis kedengaran agak kelam-kabut di hujung sana.
"Lobi." Laju Dhir menjawab. Kemudian berkerut kening melihat kawasan lobi hospital itu yang kelihatan agak sesak dengan bermacam jenis rupa manusia. Kebanyakannya dengan kamera DSLR besar di tangan ataupun gajet pintar dalam keadaan bersedia.
Keadaan sesak itu menyebabkan Dhir membawa langkah ke sebelah kanan. Diam-diam menyelit ke tepi laluan sebab tak mahu menempuh kawasan itu.
"Kau ni la! Dah sampai baru nak WhatsApp bagitahu. Ini Along masih ada department meeting."
Dhir pandang jam di pergelangan tangan. Belum waktu rehat makan tengah hari lagi.
"Alah, tak apa. Dhir boleh tunggu. Bukan ada nak buat apapun lepas ni," balasnya dengan kerutan di wajah. Urgh! Sudahlah susah nak lalu, hiruk-pikuk pula suasana kat lobi ni dah mengalahkan suasana meriah kat Pesta Buku.
"Dah tu kenapa tak singgah rumah je? Tempoh hari kata nak singgah?"
"Ni menteri mana yang admit kat sini, Long? Dah kenapa lobi hospital ni sesak macam ada persidangan politik ni?" Geram, dia mengajukan soalan kepada Alongnya. Diabaikan sekejap soalan Along tadi.
"Ramai ke?" Hafis tanya dia balik.
"Ramai sangat." Dhir menjawab dengan bibir diketap geram. Daripada nada suara pun patut tahu dia rasa memang rimas. Along Hafis tahu dia paling tak suka tempat yang ada ramai orang macam sekarang ni. Kalau tahu tadi, fikir dua kali juga dia mahu menyinggah.
"Dhir malas nak drive. Rumah Along jauh. Tapi kalau tak hantar, rosak pula makanan mak kirim ni. Tak sempat nak makan nanti." Dia menjelaskan sebaik berjaya melepasi kawasan lobi.
Suasana yang bingit tadi pun beransur sunyi apabila langkah Dhir semakin jauh meninggalkan kawasan lobi. Kali ini melilau pula matanya mencari lif.
"Patutlah. Baru pagi tadi Kak Long kata nak beli bahan buat brownies sebab Dhir nak singgah."
"Kak Long tahu dah tak jadi. Minggu depan je la Dhir pergi rumah Along. Dah janji nak belajar baking burnt cheesecake."
Mana pula perginya lif ni?
"I see. Kalau macam tu Dhir tunggu Along kejap, boleh? I'll try to cut the meeting short."
"Okey." Dhir membalas pantas. Pantas juga kakinya melangkah sebaik melihat pintu lif yang dicari-carinya.
"Nanti lunch dengan Along dulu sebelum balik." Itu bukan permintaan. Itu arahan.
"Baiklah, Encik Hafis. See you later."
"Dhir tunggu Along kat kafe aras dua macam biasa. Ingat lagi kan kat mana?" tanya Hafis. Serentak dengan Dhir memanjangkan tangan menekan butang lif untuk naik ke tingkat atas.
"Ya, ingat."
"Okay, see you later."
Dan talian dimatikan. Tepat pada masanya, pintu lif yang Dhir nantikan sejak tadi terbuka. Beberapa orang kakitangan hospital melangkah keluar dan apabila perut lif itu kosong, barulah dia melangkah masuk. Terus ditekan butang berlabel angka dua.
Belum sempat tertutup pintu lif, seorang lelaki melangkah masuk. Dia agak kelam-kabut kerana mengejar pintu lif yang sudah hampir tertutup. Dhir yang terkejut dengan kehadiran lelaki itu yang tiba-tiba, terus terlepas Samsung yang masih dipegang di tangan kanan.
Serentak, lelaki yang masuk lif gaya ninja tadi pun turut sama terlepas telefon pintar dari tangan.
Kuat bunyi kedua-dua gajet itu menghempap lantai lif. Serentak dengan pintu lif yang tertutup rapat.
Mata Dhir membesar sikit. Tanpa sedar mula buat scan ke atas si ninja itu. Lelaki di hadapannya nampak pelik. Sangat. Dengan topi snapback yang sengaja diturunkan supaya melindungi wajah dan sunglasses hitam yang menyembunyikan hampir separuh wajah lelaki itu.
Apa pelik sangat fesyen dia ni? Ingat dia ninja ke nak sorok-sorok muka bagai?
Dhir sempat cebikkan bibir. Dan kemudian malas nak memikirkan tentang 'ninja' di hadapannya, dia tunduk mencapai semula telefon yang terjatuh tadi. Terus dimasukkan ke dalam poket jean.
Nasib baiklah tak pecah berderai telefon ni. Kalau tak, naya je. Dahlah bertimbun treasure kat dalam.
Dhir tegakkan semula tubuhnya. Kemudian si 'ninja' itu pula yang membongkok untuk mencapai sebuah lagi telefon pintar di atas lantai.
Seperti juga Dhir, telefon itu lantas dimasukkan ke dalam poket seluar dan lelaki itu mula memusingkan tubuh, menghadap ke pintu lif. Butang lif ditekan.
Suasana senyap di dalam kotak lif itu sehinggalah pintu lif terbuka semula ketika sampai di aras yang dituju oleh Dhir. Dia laju melangkah keluar.
Selepas beberapa ketika, entah apa yang membuatkan Dhir hentikan langkah kaki sendiri. Dia menoleh untuk memandang ke arah pintu lif yang sudah pun tertutup semula beberapa langkah di belakangnya.
Kepala ditelengkan ke kiri berserta kerutan halus yang mula terbentuk di dahi. Kenapa Dhir rasa... ada naluri tak sedap tentang ini?
Tiga saat, dia menggelengkan kepala sendiri lantas kembali meneruskan langkah.
Tsk! Whatever! Lelaki itu hanya orang asing. Some super strange stranger!
📚
YOU ARE READING
Fiksyen (Sudah Terbit)
Romansa[MALAY FICTION] 12th Wattpad Story by _ljskwb. Ini kisah fiksyen. Tentang Jirey yang hanya nak buktikan bahawa cintanya kepada Dhir bukan fiksyen. _____ Fiksyen. ©2017, Jiyan. All Rights Reserved.