TURUTAN MAUT (BAB 3)

540 27 0
                                    

BAB 3

SELEPAS kejadian kes pembunuhan ke atas Nuri Alissa, pihak media sering menjadikan kes tersebut sebagai tajuk utama. Slot berita di setiap siaran televisyen juga selalu memaklumkan maklumat terkini yang mereka terima daripada pihak polis.

Sudah tiga hari kes tersebut menjadi liputan hangat pelbagai medium media massa. Kebanyakan sidang media bersama pihak polis diketuai oleh Detektif Arsyad sendiri memandangkan dia merupakan orang yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan kes berkenaan dan membawa si pembunuh ke muka pengadilan.

Pada ketika ini, sidang media terbaru sedang berlangsung di dalam sebuah dewan tertutup bagi memaklumkan maklumat terkini kepada media massa mengenai kes pembunuhan itu. Maklumat tersebut telah diperoleh daripada hasil siasatan polis yang dilakukan di rumah mangsa oleh anggota polis daripada jabatan forensik.

Ramai wartawan dari pelbagai pihak media massa telah berkumpul di dalam dewan tersebut untuk mendapatkan maklumat terkini daripada pihak polis. Mereka sedang menunggu Detektif Arsyad yang masih belum menunjukkan diri di situ. Sementara menunggu, mereka berbual sesama sendiri mengenai pelbagai perkara yang melibatkan kes pembunuhan Nuri Alissa.

Beberapa ketika kemudian, Detektif Arsyad masuk ke dalam dewan tertutup tersebut melalui pintu yang berada di hadapan.

Sebaik sahaja Detektif Arsyad melangkah masuk, semua wartawan yang hadir terus mendiamkan diri sebelum pihak polis memulakan sidang media. Ada juga beberapa orang jurukamera yang mengambil gambar ketika Detektif Arsyad sedang melangkah menuju ke meja panjang yang berada di hadapan dewan tersebut.

“Assalamualaikum dan selamat pagi,” ucap Detektif Arsyad.

“Waalaikumussalam,” jawab para hadirin yang berada di situ.

“Seperti yang telah dimaklumkan kepada anda semua, pada hari ni, saya yang mewakili pihak polis akan menerangkan serba sedikit mengenai maklumat terkini yang telah diperoleh hasil daripada siasatan kami ke atas kes pembunuhan kejam terhadap Nuri Alissa,” Detektif Arsyad memulakan bicara.

Sesetengah wartawan sudah bersedia mengeluarkan sebatang pen serta sebuah buku catatan kecil untuk menulis segala perkara penting yang akan dimaklumkan kepada mereka. Sementara beberapa orang jurukamera pula sedang sibuk mengambil gambar di dalam dewan tertutup tersebut.

“Berdasarkan hasil daripada siasatan yang telah dijalankan oleh pihak polis, kami mendapati bahawa mangsa mati disebabkan tercekik serta mengalami sesak nafas dan lemas selepas mangsa ditikam tepat pada tekaknya sehingga tertembus pada tengkuk belakang mangsa,” kata Detektif Arsyad memulakan sidang media tersebut.

Para wartawan yang hadir giat menulis setiap satu maklumat yang telah diperkatakan oleh Detektif Arsyad.

“Selepas pihak polis memeriksa setiap sudut rumah mangsa, kami mendapati motif pembunuhan mangsa bukanlah bersifat seperti kes pecah rumah atau rompakan. Ini kerana tiada sebarang tanda atau kesan yang menunjukkan rumah mangsa telah digeledah atau dicerobohi oleh suspek. Barang-barang kemas mangsa juga masih tersimpan di dalam almari yang terletak di dalam bilik mangsa ketika pemeriksaan ke atas rumah mangsa dijalankan,” jelas Detektif Arsyad lagi.

“Jadi, apa motif sebenar kes pembunuhan ni?” seorang wartawan bertanya.

“Kami mendapati bahawa kes pembunuhan ini bermotifkan dendam,” jawab Detektif Arsyad yang sedang berdiri di hadapan dewan sambil didampingi beberapa anggota polis yang lain.

Semua wartawan yang berada di situ sedikit terkejut dengan penjelasan yang dibuat oleh Detektif Arsyad. Mereka tidak menyangka dan tidak pernah terfikir langsung bahawa pelakon wanita popular yang baik dan mesra dengan semua orang itu sebenarnya mempunyai musuh dalam hidupnya.

TURUTAN MAUTWhere stories live. Discover now