TURUTAN MAUT (BAB 36)

471 26 10
                                    

BAB 36

HARI hukuman terhadap si koperal telah pun tiba. Hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan oleh mahkamah ke atas si koperal akan dijalankan pada awal pagi lebih kurang setengah jam selepas azan Subuh berkumandang.

Sepanjang malam itu, si koperal langsung tidak melelapkan matanya kerana tempoh hayatnya yang berbaki telah digunakan untuk beribadah kepada-Nya sebagai bekalan terakhirnya di alam barzakh kelak.

Tidak akan ada sesiapa pun dalam dunia ini yang mampu melelapkan mata apabila mengetahui bahawa hayat mereka akan ditamatkan di tali gantung pada keesokan hari, iaitu dalam tempoh kurang 24 jam.

“Assalamualaikum wa rahmatullah,” ucap si koperal sambil menoleh ke kanan memberi salam ketika menunaikan solat Subuh.

“Assalamualaikum wa rahmatullah,” ucap si koperal lagi sambil menolehkan kepala ke kiri pula.

Belum sempat si koperal hendak berdoa, pintu pagar selnya dibuka dari luar dan badannya terus ditarik keluar oleh dua orang lelaki berpakaian serba hitam dan berbadan besar serta tegap.

Kemudian, kepala si koperal disarungkan dengan kain berwarna hitam kemudian diikat sedikit longgar pada bahagian lehernya.

Setelah itu, tubuh si koperal diheret pula menuju ke bilik bertali gantung oleh dua orang lelaki tersebut kerana kaki si koperal yang berasa sangat lemah sehinggakan dia tidak mampu berdiri, apatah lagi berjalan.

Apabila mereka tiba di bilik bertali gantung yang selalu direnung oleh si koperal sebelum ini, dua orang lelaki tersebut meletakkan si koperal di atas ‘pintu perangkap’ dan terus melingkari leher si koperal dengan tali gantung.

Pada masa yang sama, seorang algojo yang sejak awal-awal lagi sudah bersedia tangannya untuk menarik takal dan membuka ‘pintu perangkap’, kini sudah bersiap sedia untuk menjalankan hukuman tersebut.

“LAILAHAILLALLAH!!!” teriak si koperal sekuat hatinya.

Apabila mendapat isyarat, algojo pun menarik takal tersebut dan... PANG!!!

Terbukalah ‘pintu perangkap’. Maka, jatuhlah tubuh si koperal ke bawah dalam keadaan lehernya yang dijerut oleh tali gantung. Tulang tengkuknya juga dipatahkan oleh besi yang berada pada penjerut tersebut. Matilah si koperal di tali gantung.

PADA pukul lapan pagi, Detektif Arsyad telah menerima berita daripada pihak penjara mengenai hukuman mati ke atas si koperal yang telah dijalankan pada awal pagi hari itu. Detektif Arsyad sendiri yang meminta kepada pihak penjara untuk memaklumkan kepadanya apabila hukuman selesai dijalankan.

Sedang Detektif Arsyad berada di dalam biliknya kerana sibuk menulis laporan mengenai kes pembunuhan yang telah diselesaikan olehnya, tiba-tiba datang pembantu barunya ke dalam biliknya dalam keadaan yang kelam-kabut.

“Tuan,” panggil Aisyah, pembantu baru Detektif Arsyad. Dia tercungap-cungap dan jelas pada wajahnya akan kekalutan yang sedang berlaku.

“Ya, Aisyah. Ada apa? Kenapa awak kelam-kabut sangat ni?” balas Detektif Arsyad sambil bertanyakan perihal Aisyah itu.

“Ha... Ha... Haziq Shah, tuan.”

“Haziq Shah? Kenapa dengan dia?”

Aisyah yang masih tidak cukup nafas dan tercungap-cungap cuba bercakap. Tetapi, kesukarannya bernafas pada ketika itu membuatkan sukar untuknya berbicara.

“Aisyah, cuba bertenang sikit. Lepas tu, baru bercakap,” kata Detektif Arsyad. Suaranya meninggi sedikit.

Aisyah mengangguk pantas. Kemudian, dia masuk ke dalam bilik Detektif Arsyad lalu duduk di atas kerusi yang berada di situ untuk mengambil nafas. Apabila nafasnya kembali pulih, Aisyah pun katakan perkara yang ingin diperkatakan sebentar tadi.

“Hah, apa dia?” tanya Detektif Arsyad apabila dia melihat Aisyah yang kini sudah sedikit tenang.

“Haziq Shah, tuan. Dia dah mati,” jawab Aisyah berterus-terang.

Pada ketika itu, Detektif Arsyad betul-betul terkejut apabila mendengar berita tersebut. Setahu beliau, Haziq Shah merupakan satu-satunya sasaran si koperal yang telah berjaya diselamatkan oleh pihak polis. Dahinya berkerut habis.

“Ma... ma... macam mana Haziq Shah boleh mati pulak?” tanya Detektif Arsyad beria-ia ingin tahu akan perkara yang berlaku.

“Apa yang saya dengar daripada unit forensik dan unit pemusnah bom, kereta milik Haziq Shah telah dipasangkan dengan bom kawalan jauh. Maknanya, Haziq Shah memang sudah lama menjadi sasaran suspek. Berkemungkinan sejak si koperal gagal membunuh Haziq Shah sebelum ni. Daripada gayanya, suspek memang nak menyambung semula permainan si koperal, tuan,” jelas Aisyah.

Detektif Arsyad sudah jadi tidak menentu. Kepalanya menoleh ke kiri dan ke kanan silih berganti kerana tidak tahu perkara yang sedang berlaku dan perkaitan antara suspek terbarunya itu dengan si koperal.

Kriiing!!! Kriiing!!!

Telefon Detektif Arsyad berdering.

Detektif Arsyad terus mencapai telefon bimbitnya itu dan melihat pada skrin. Terpampang pada skrin tersebut akan perkataan ‘Unknown Number’. Detektif Arsyad kebingungan. Butang hijau ditekan lalu diletakkan telefon bimbitnya itu pada telinga.

“Helo...” ucap Detektif Arsyad.

“Helo... tuan detektif,” sahut pemanggil misteri tersebut.

“Kau ni siapa?” tanya Detektif Arsyad dengan nada suaranya yang sedikit keras.

“Tuan tak kenal saya. Tapi, saya kenal tuan. Jadi, tak perlu rasanya susah-susah saya nak perkenalkan diri saya pada tuan, kan?” balas pemanggil tersebut lalu ketawa.

Detektif Arsyad mula rasa tidak sedap hati. Beliau merasakan bahawa pemanggil itulah pembunuh Haziq Shah.

“Dah tu, kau nak apa?” tanya Detektif Arsyad lagi.

“Tuan mesti dah dengar mengenai kematian Haziq Shah, bukan? Kalau tuan nak tahu, sayalah pembunuhnya. Jadi, tujuan saya hubungi tuan ni adalah untuk mengajak tuan bermain satu permainan yang lebih mencabar lagi mengasyikkan daripada permainan yang pernah tuan main dengan pembantu tuan sebelum ni. Kalau tuan nak tahu lebih lanjut mengenai permainan ni, saya akan hubungi tuan sekali lagi dan beritahu pada tuan. In the meantime, just sit back and relax,” jawab pemanggil tersebut lalu ketawa besar. Seketika kemudian, talian pun dimatikan.

Detektif Arsyad yang menyedari talian telah terputus melontarkan telefon bimbit tersebut ke atas mejanya. Kepalanya tidak dapat berfikir dengan betul kerana telah datang kepadanya satu lagi masalah besar yang perlu ditangani dengan segera.

“Aisyah,” panggil Detektif Arsyad.

“Ya, tuan?” sahut Aisyah.

“Beritahu pada unit siasatan jenayah, unit pemusnah bom, dan anggota polis elit supaya bersiap sedia dengan arahan yang selanjutnya,” pesan Detektif Arsyad.

“Baiklah, tuan.”

“Aisyah... kes baru dibuka,” kata Detektif Arsyad.

-TAMAT-

Terima kasih kerana sudi membaca novel karangan saya yang tidak seberapa ini.

Mohon maaf atas segala kesilapan kata, kekasaran bahasa, dan kesalahan eja.

Semua itu adalah daripada kekurangan daripara diri saya sendiri.

Assalamualaikum 😇

TURUTAN MAUTWhere stories live. Discover now