TURUTAN MAUT (BAB 18)

301 14 0
                                    

BAB 18

SEPERTI yang telah diarahkan oleh Detektif Arsyad, si koperal telah mengaturkan satu sidang media setelah pemberitahuan oleh si pembunuh kepada pihak polis mengenai pembunuhan yang seterusnya.

Para wartawan yang telah diarahkan untuk membuat liputan secara berterusan mengenai semua pembunuhan yang dilakukan oleh si pembunuh kelihatan telah hadir di dalam bilik sidang media tersebut.

Seperti biasa, Detektif Arsyad sendiri yang akan mempengerusikan sidang media itu memandang kesemua kes tersebut telah diletakkan di bawah tanggungjawabnya sambil dibantu oleh anggota polis yang lain, termasuk juga si koperal.

Lebih kurang 30 minit lagi sidang media akan dimulakan.

Detektif Arsyad dan si koperal kini berada di dalam bilik Detektif Arsyad untuk membincangkan mengenai beberapa perkara, kebanyakannya tertumpu pada pembunuhan keempat yang akan berlaku dalam tempoh empat hari lagi.

“Kenapa awak tak datang mesyuarat semalam?” tanya Detektif Arsyad sambil mengemaskan mejanya.

“Saya ada hal semalam, tuan. Hal mustahak,” jawab si koperal sambil menolong Detektif Arsyad mengemas meja.

“Saya tahu awak ada hal semalam. Maksud saya, hal apa yang mustahak sangat sampai terpaksa tak hadir mesyuarat semalam?” Detektif Arsyad mengulang semula soalannya dengan lebih terperinci.

“Hmm... semalam saya dapat panggilan telefon daripada adik saya. Adik saya kata mak dihantar ke hospital sebab terjatuh dalam bilik air. Saya pun terus aje balik ke rumah mak sebab nak tengok keadaan dia. Sebab tu saya tak dapat datang ke mesyuarat semalam,” jelas si koperal lagi.

Detektif Arsyad mengangguk faham akan situasi yang telah dialami oleh si koperal semalam. Sekiranya itu berlaku pada ibunya, mungkin dia juga akan mengambil tindakan yang sama untuk tidak hadir ke mesyuarat semalam.

“Macam mana dengan keadaan mak awak sekarang ni?” tanya Detektif Arsyad lagi kerana ingin tahu dengan lebih lanjut.

“Mak saya baik-baik aje, tuan. Doktor kata kecederaan mak saya tu taklah teruk sangat. Mak saya pun cuma dirawat sebagai pesakit luar di hospital tu,” kata si koperal menjawab soalan yang ditanya.

“Baguslah kalau macam tu,” kata Detektif Arsyad.

“Terima kasih, tuan.”

“Sama-sama.”

Detektif Arsyad dan si koperal masing-masing mengemas fail laporan yang tadinya berselerak dan kini berbaki beberapa helai sahaja yang perlu dikemaskan.

“Koperal, sementara mak awak masih hidup, lebih baik awak berbakti pada dia selagi awak boleh. Jangan bila dia dah tak ada nanti, baru teringat nak berjasa pada dia. Waktu tu, menyesal pun dah tak guna,” nasihat Detektif Arsyad.

Si koperal menyedari akan nada suara Detektif Arsyad yang lemah dan dia juga ternampak wajah sugul yang ditunjukkan oleh anggota polis yang bergelar ‘detektif’ itu. Hatinya mula timbul perasaan ingin tahu.

“Kenapa, tuan?”

“Kenapa apa?”

“Yalah, saya nampak tuan macam tak semangat aje bila bercerita pasal berbakti dan berjasa pada ibu dan bapa. Kenapa, tuan ada masalah ke?” tanya si koperal.

Detektif Arsyad tersenyum.

“Tak ada apa-apa pun. Saya cuma teringatkan arwah mak dan ayah saya aje. Awak bertuah sebab mak awak masih hidup, dan awak masih berpeluang untuk balas jasa mak awak. Awak jangan jadi macam saya, langsung tak balas jasa mak dan ayah saya,” kata Detektif Arsyad berkias.

TURUTAN MAUTWhere stories live. Discover now