TURUTAN MAUT (BAB 24)

288 10 2
                                    

BAB 24

HARI lawatan Detektif Arsyad dan si koperal ke sekolah menengah yang menjadi sasaran pihak polis telah pun tiba. Janji temu antara pengurusan pihak sekolah dan pihak polis telah diaturkan oleh si koperal sendiri memandangkan Detektif Arsyad sendiri yang memintanya untuk berbuat demikian.

Beberapa salinan fotostat biodata dan laporan kes pembunuhan bagi keempat-empat mangsa juga telah disiapkan oleh si koperal supaya maklumat tersebut boleh ditunjukkan kepada pihak sekolah dengan harapan pihak polis akan mendapat klu terbaru bagi menyelesaikan keempat-empat kes pembunuhan dan mencegah daripada berlakunya pembunuhan kelima.

Detektif Arsyad merupakan orang yang paling beria-ia ingin pergi ke sekolah menengah tersebut kerana maklumat yang bakal diperoleh di sekolah itu nanti akan dapat menjawab persoalan dan kemusykilan yang muncul dalam akal fikiran dan hatinya. Inilah satu-satunya harapan Detektif Arsyad untuk mengenal pasti identiti si pembunuh.

Pada ketika ini, Detektif Arsyad sedang berada di dalam biliknya bagi menyemak semula salinan fotostat laporan yang telah disiapkan oleh si koperal. Salinan biodata mangsa dan salinan gambar untuk nombor tiga digit yang ditinggalkan di tempat kejadian juga berada di dalam fail tersebut.

‘Aku kena cari maksud di sebalik nombor-nombor ni. Semasa dalam mesyuarat hari tu, ada orang kata berkemungkinan nombor-nombor ni menunjukkan ranking SPM dalam sekolah tu. Peluang untuk membuktikan kata-kata tu betul adalah 50:50,’ kata Detektif Arsyad dalam hati.

‘Tapi, tak apa. Aku akan cuba jugak periksa sama ada betul ataupun tidak nombor-nombor tu menunjukkan ranking SPM. Kalau salah, mungkin aku akan jumpa klu lain semasa aku soal siasat pihak sekolah tu,’ jawab akal Detektif Arsyad pula.

Sedang Detektif Arsyad ralit melayan pemikirannya yang mendalam, beliau tidak menyedari akan hadirnya seseorang di luar biliknya. Ya, orang itu ialah si koperal!

‘Aik, termenung lagi?’ desis si koperal dalam hati.

Si koperal yang berada di luar bilik hanya memerhati Detektif Arsyad melalui cermin lut sinar yang berada di pintu bilik tersebut. Detektif Arsyad termenung di dalam, si koperal pula tercegat di luar.

‘Nak ketuk ke tidak ni?’ tanya hati si koperal.

Kemudian, si koperal melihat jam di dinding yang menunjukkan pukul 9.30 pagi. Lebih kurang setengah jam lagi akan masuk pukul 10 pagi yang mana waktu itu mereka berdua perlu berada di sekolah menengah tersebut untuk berbincang dengan pihak sekolah yang mungkin mempunyai maklumat tambahan.

‘Ah, ketuk ajelah,’ putus si koperal dalam hatinya.

Tuk! Tuk! Tuk!

Pintu bilik diketuk.

Detektif Arsyad masih termenung.

‘Aik, takkan tak dengar bila aku ketuk,’ getus hati si koperal.

Tuk! Tuk! Tuk!

Pintu bilik diketuk dengan lebih kuat agar didengari oleh Detektif Arsyad yang sedang mengelamun sendirian.

Detektif Arsyad yang menyedari pintu biliknya diketuk terus mengalihkan pandangannya ke arah pintu tersebut. Kemudian, tangannya memberikan isyarat kepada si koperal yang sedang berdiri luar agar masuk ke dalam.

Si koperal pun terus membuka pintu dan masuk ke dalam bilik tersebut untuk meneruskan hajatnya yang ingin mengingatkan Detektif Arsyad akan pertemuan mereka dengan pihak sekolah pada jam 10 pagi nanti.

“Ada apa, koperal?” tanya Detektif Arsyad yang kelihatannya telah lupa akan lawatannya ke sekolah menengah tersebut.

“Eh, takkan tuan dah lupa? Baru pagi tadi saya pesan pada tuan,” balas si koperal tanpa menjawab soalan Detektif Arsyad.

TURUTAN MAUTWhere stories live. Discover now