TURUTAN MAUT (BAB 21)

280 13 0
                                    

BAB 21

ZED Fakhrul, salah seorang jutawan muda yang berusia awal 30 tahun dan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif atau lebih dikenali sebagai CEO di syarikatnya yang bernama ZED Sdn Bhd.

Bermula secara kecil-kecilan dengan hanya membekalkan peralatan dan bahan-bahan binaan kepada beberapa syarikat lain, Zed Fakhrul mula belajar sedikit demi sedikit akan selok-belok dunia perniagaan berasaskan pembangunan. Dia mula membuka ZED Sdn Bhd selepas beberapa tahun dia terlibat dengan perniagaan tersebut.

ZED Sdn Bhd juga merupakan salah satu pemaju yang diiktiraf akan hasil kerjanya selama ini. Kebanyakan projek pembangunan perumahan, komersial dan infrastruktur dapat disiapkan mengikut masa yang telah ditetapkan dan tidak pernah sekali-kali projek yang dijalankan terhenti atau terbengkalai.

Selepas beberapa buah projek mega berjaya disiapkan, nama ZED Sdn Bhd meningkat naik dengan begitu ketara. Keadaan itu juga membuatkan kekayaan Zed Fakhrul semakin bertambah seiring dengan perasaan sombong, angkuh dan takabbur dengan pencapaiannya selama ini.

Perubahan ketara mula kelihatan apabila Zed Fakhrul menjauhkan dirinya daripada bertemu dengan ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai yang selama ini menyokongnya dari belakang. Dia menganggap semua golongan tersebut merupakan golongan rendah dan tidak layak bergaul dengannya.

Keangkuhannya itu menyebabkan semua orang di sekelilingnya terasa hati dan akhirnya menimbulkan perasaan marah terhadap jutawan muda itu. Kebanyakan mereka mengambil keputusan untuk tidak menghiraukan lagi perihal Zed Fakhrul. Hendak hidup, hiduplah. Hendak mati, matilah.

Terdapat dua sebab yang membuatkan orang di sekeliling Zed Fakhrul marah terhadap dirinya.

Pertama, disebabkan sikap sombong, angkuh dan bongkak yang sedang bersarang dalam hati jutawan muda itu. Dia tidak pernah membantu orang-orang susah dan orang-orang yang lebih memerlukan. Jangan kata membantu, peminta sedekah pun dipandang rendah dengan rasa benci dan jijik.

Bukan itu sahaja, bahkan Zed Fakhrul lebih rela menghabiskan wang dan harta bendanya pada perkara-perkara maksiat seperti minum arak, berfoya-foya, dan sering bertukar-tukar pasangan. Solat? Jangan ceritalah.

Kedua, sebab yang kedua inilah yang membuatkan si pembunuh berdendam dengannya selama ini. Setelah sekian lama si pembunuh mencari Zed Fakhrul di Kuala Lumpur, akhirnya dia berjaya menemui jutawan muda itu beberapa tahun lepas apabila Zed Fakhrul muncul dalam sebuah program televisyen.

Si pembunuh sememangnya tidak akan melupakan perbuatan khianat yang pernah dilakukan oleh Zed Fakhrul kepadanya suatu ketika dahulu. Satu perbuatan yang mana menyebabkan segala susah payah, jerih dan perih si pembunuh pada ketika itu telah menjadi sia-sia seperti debu yang berterbangan ditiup angin.

PADA ketika ini, si pembunuh sedang mengambil tempat di sekitar kawasan rumah Zed Fakhrul untuk bersedia sebelum menjalankan pembunuhan keempatnya seperti yang telah dirancang. Persiapan penuh telah dibuat dan hanya menunggu masa yang sesuai sahaja sebelum dia menceroboh masuk ke kediaman Zed Fakhrul.

Si pembunuh menyedari bahawa Detektif Arsyad kini sedang bersendirian di dalam kereta polis yang diletakkan di hadapan rumah banglo Zed Fakhrul. Pada ketika ini, si pembunuh sedang menyorok di sekitar kawasan rumah Zed Fakhrul untuk menunggu pasukan peronda bermotosikal melalui kawasan itu.

Sebenarnya, tujuan si pembunuh menunggu pasukan peronda melalui kawasan itu adalah untuk mendapatkan jarak atau jurang masa antara rondaan pertama dan rondaan kedua. Ini kerana, si pembunuh mahu mengagak tempoh yang dia miliki untuk masuk ke dalam rumah Zed Fakhrul, bunuh, dan keluar semula.

Cuaca panas pada ketika itu langsung tidak menggugat niat si pembunuh untuk meneruskan rancangannya sekalipun pada ketika itu dia sedang berpakaian gelap. Kajian sains membuktikan bahawa warna gelap seperti hitam dan biru gelap adalah konduktor haba yang baik.

TURUTAN MAUTWhere stories live. Discover now