TURUTAN MAUT (BAB 32)

300 11 0
                                    

BAB 32

SUBJEK: Fahmi Ikhwan

KARIER: DJ Radio

NOMBOR: 309

SEMASA si koperal, atau lebih dikenali sebagai Azam Zaini melangkah kaki ke tingkatan tiga, dia berjaya membetulkan keadaan dan membina semula nama baiknya. Kes yang berlaku padanya ketika di tingkatan dua telah mengajar dirinya supaya lebih berhati-hati dalam memilih kawan.

Perkara itu juga membuatkan Azam Zaini banyak berdiam diri tidak kira ketika berada di dalam atau di luar kelas. Jarang sekali dia bersuara dan bercakap dengan orang yang tidak dikenalinya kerana dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Cuma orang yang sudah dipastikan akan kebaikannya sahaja yang akan digaulinya.

Walau bagaimanapun, pada tahun berkenaan, pihak sekolah telah menerima beberapa orang pelajar baru yang berpindah dari sekolah lain dan masuk ke sekolah itu. Salah seorang daripada pelajar baru tersebut merupakan sebaya dan juga sekelas dengan Azam Zaini. Ya, namanya ialah Fahmi Ikhwan!

Pada awal-awal kemasukan Fahmi Ikhwan ke sekolah itu, dia kelihatan seperti seorang yang pendiam dan jarang-jarang dia bergaul dengan pelajar sekelasnya. Biasalah, masih baru. Memanglah begitu!

Tetapi, apabila masuk bulan yang kedua Fahmi Ikhwan tinggal di sekitar kawasan perumahan itu, dia mula menunjukkan perangainya yang sebenar. Aktiviti hariannya yang selalu melepak dan membuang masa tanpa hala tuju mula jelas kelihatan oleh orang di sekelilingnya, termasuklah Azam Zaini.

Semasa Azam Zaini dan kawan sekelasnya berjalan kaki hendak pulang ke rumah, mereka berdua ternampak akan kelibat Fahmi Ikhwan yang sedang melepak tidak jauh dari kedudukan mereka. Tingkah laku Fahmi Ikhwan yang suka ketawa seperti beruk gila membuatkan orang lain menyampah melihatnya.

Pada masa yang sama, Azam Zaini dan kawan sekelasnya itu sedang berjalan kaki perlahan-lahan sambil memerhati tingkah laku Fahmi Ikhwan.

“Eh, itu bukan budak baru dalam kelas kita ke?” tanya Azam Zaini kepada kawan sekelasnya itu kerana inginkan kepastian.

“Ya, dialah budak baru tu,” jawab si kawan itu.

“Mula-mula dia masuk ke sekolah kita, bukan main pendiam lagi aku tengok dia tu. Dalam dewan dia diam. Semasa perhimpunan pun dia diam. Langsung tak bercakap dengan sesiapa. Aku ingatkan dia tu budak baik. Budak nakal jugak rupanya,” kata Azam Zaini menceritakan tanggapan pertamanya terhadap Fahmi Ikhwan.

Si kawan itu hanya mendengar kata-kata Azam Zaini sambil terus melihat kelakuan Fahmi Ikhwan. Tanggapan pertamanya terhadap Fahmi Ikhwan juga sama seperti Azam Zaini. Namun, semua itu meleset sama sekali.

“Tak ada apa yang nak pelik. Dia kan budak baru waktu tu. Jadi, dia tak ada kawan untuk buat perangai gila dia yang macam tu. Sekarang ni dia dah ada kawan. Maknanya, bolehlah dia tunjuk perangai dia yang sebenar, kan?” jelas si kawan itu memberikan alasan yang boleh diterima akal.

“Betul jugak tu,” respons Azam Zaini sambil mengangguk perlahan kepalanya.

“Dahlah, jom balik cepat. Aku dah lapar ni. Kalau tengok si Fahmi tu bukan boleh bagi kita makan pun. Buang masa aje. Lebih baik kita balik dan melantak nasi banyak-banyak,” ajak si kawan itu sambil tergelak-gelak.

Azam Zaini hanya membalas kata-kata kawannya itu dengan ketawa kecil dan turut bersetuju dengan pernyataan tersebut. Perutnya juga sudah berbunyi sejak tadi lagi kerana meminta supaya diisikan dengan makanan.

“Betul jugak cakap kau tu. Lebih baik kita balik cepat-cepat. Boleh makan nasi kat rumah,” kata Azam Zaini menyatakan persetujuannya.

“Jom balik,” sahut kawannya itu.

TURUTAN MAUTWhere stories live. Discover now