TURUTAN MAUT (BAB 8)

336 20 0
                                    

BAB 8

SUDAH dua hari berlalu selepas berlakunya kes pembunuhan kejam yang berlaku ke atas pengacara terkenal, Syed Azrai.

Banyak pihak yang terkejut apabila mereka dimaklumkan mengenai perkara itu. Mereka tidak menyangka bahawa Syed Azrai pula yang akan menjadi mangsa si pembunuh sedangkan kes pembunuhan Nuri Alissa masih lagi dalam proses siasatan.

Pihak polis juga giat menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara tersebut disebabkan penjenayah yang membunuh Syed Azrai merupakan penjenayah yang sama membunuh Nuri Alissa lebih kurang dua minggu yang lepas.

Pihak polis memandang serius terhadap kedua-dua kes tersebut kerana mereka percaya bahawa tidak mustahil akan berlaku pembunuhan yang seterusnya pada masa yang akan datang.

Pada ketika ini, permainan si pembunuh masih lagi berjalan dan tidak akan tamat selagi mana pihak polis tidak dapat memberkasnya atau si pembunuh itu sendiri yang menyerah diri kepada pihak polis.

Kes pembunuhan yang berlaku ke atas Syed Azrai juga mendapat liputan hangat dalam kalangan wartawan dari pelbagai medium media massa dan sering menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar.

Ada juga beberapa program bual bicara yang disiarkan oleh stesen-stesen televisyen untuk membincangkan isu hangat tersebut dan menyalurkan maklumat kepada orang awam yang mungkin tertanya-tanya mengenai perkara sebenar yang berlaku.

Kes pembunuhan ke atas Syed Azrai juga selalu dikaitkan dengan kes pembunuhan Nuri Alissa apabila mereka dimaklumkan bahawa kedua-dua kes tersebut dilakukan oleh orang yang sama.

Pada hari itu, awal-awal pagi lagi telah jelas kelihatan akan motosikal milik Detektif Arsyad diparkir di dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Sengaja Detektif Arsyad datang pada awal pagi kerana beliau ingin mencari klu untuk menyelesaikan kedua-dua kes pembunuhan tersebut. Keadaan pejabat yang lengang dan sunyi disebabkan ketiadaan orang pada pagi itu mungkin dapat membantu beliau berfikir secara mendalam dan teliti.

Selepas masuk ke pejabatnya, Detektif Arsyad melangkah menuju ke sebuah meja yang diduduki oleh si koperal bagi mengambil fail-fail penting yang mengandungi laporan mengenai kes pembunuhan Nuri Alissa dan Syed Azrai.

Disebabkan kedua-dua selebriti Malaysia tersebut dibunuh oleh orang yang sama, Detektif Arsyad berpendapat bahawa ada kemungkinan yang mana kedua-dua mangsa mempunyai kaitan.

Selepas menjumpai fail yang ingin dicari, Detektif Arsyad mengambil fail tersebut dan terus melangkah menuju ke biliknya. Kemudian, Detektif Arsyad duduk di atas kerusi sambil menyelak setiap satu helaian laporan yang terkandung di dalam kedua-dua fail tersebut.

Dibelek setiap helaian yang ada dan dibaca setiap patah perkataan yang tertulis dalam laporan berkenaan. Detektif Arsyad cuba untuk mengaitkan maklumat yang diperoleh daripada kedua-dua laporan, tetapi tiada satu pun boleh dijadikan sebagai klu untuk meneruskan siasatannya.

Selepas lebih kurang 30 minit Detektif Arsyad membaca laporan tersebut, akhirnya sekali lagi dia menemui jalan buntu. Beliau bersandar pada penyandar kerusi tingginya itu sambil merenung ke siling bilik seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

Apa yang sebenarnya suspek nak daripada mangsa-mangsanya?

Apa urusan suspek dengan mangsa-mangsanya?

Apa salah si mangsa sehinggakan suspek sanggup nak meragut nyawa orang lain secara kejam begitu?

Detektif Arsyad bangkit daripada sandarannya pada kerusi sambil tangannya yang saling menggenggam diletakkan pada mulut. Dahinya berkerut sedikit apabila persoalan yang muncul dalam kepalanya sebentar tadi tidak mempunyai jawapan yang pasti.

‘Dalam banyak-banyak persoalan yang ada, cuma ada satu aje persoalan yang paling aku pelik dengan suspek. Kenapa dia mesti beritahu pada pihak polis yang dia nak bunuh si mangsa? Selalunya penjenayah akan buat kerja secara senyap-senyap. Tapi, suspek ni boleh pulak beritahu aku yang dia nak bunuh orang. Pelik betul,’ muncul satu lagi soalan tanpa jawapan dalam kepala Detektif Arsyad.

Sambil menarik nafas dalam, Detektif Arsyad bingkas bangun dan melangkah pergi ke tepi tingkap untuk melihat pemandangan di luar. Beliau merenung ke luar tingkap sambil berpeluk tubuh.

‘Buat masa sekarang, baru dua orang yang menjadi mangsa suspek. Tak mustahil akan ada mangsa yang akan datang. Tapi, siapa?’ kata Detektif Arsyad.

Kepala Detektif Arsyad ligat memikirkan langkah yang perlu diambilnya untuk menyelesaikan kedua-dua kes pembunuhan yang berlaku ke atas selebriti Malaysia, iaitu Nuri Alissa dan Syed Azrai.

Disebabkan Detektif Arsyad terlalu lama memikirkan kes kendaliannya itu, beliau tidak menyedari akan jam di dinding yang telah menunjukkan pukul sembilan pagi.

Tuk! Tuk! Tuk!

Pintu bilik Detektif Arsyad diketuk.

“Masuk!”

Si koperal yang berada di luar bilik membuka daun pintu tersebut dan terus melangkah masuk ke dalam.

Detektif Arsyad menolehkan kepalanya dan ternampak si koperal yang sedang berdiri di situ sambil memberikan tabik hormat.

“Ya, koperal. Ada apa?” tanya Detektif Arsyad.

“Tuan, pada pagi ni tuan ada mesyuarat dengan semua ketua daripada setiap unit bagi membincangkan kes pembunuhan kejam ke atas Nuri Alissa dan Syed Azrai,” jawab si koperal.

“Oh, ya. Mesyuarat yang itu. Saya hampir terlupa. Nasib baik awak tolong ingatkan saya hari ni. Pukul berapa mesyuarat tu akan bermula?” kata Detektif Arsyad sambil berbalas pertanyaan.

“Mesyuarat tu akan bermula pada pukul 9.30 pagi dan bertempat di dalam bilik mesyuarat A,” jawab si koperal.

Detektif Arsyad menganggukkan kepala tanda faham.

“Hmm... okey. Terima kasih sebab ingatkan saya,” ucap Detektif Arsyad.

“Sama-sama, tuan,” jawab si koperal.

“Koperal, jangan lupa bawa sekali fail-fail laporan ni dan juga minit mesyuarat untuk pagi ni,” pesan Detektif Arsyad sambil menghulurkan fail laporan kes pembunuhan Nuri Alissa dan Syed Azrai yang diambilnya tadi.

“Baiklah, tuan. Ada apa-apa lagi yang tuan nak pesan pada saya?” kata si koperal sambil berbalas pertanyaan.

“Hmm... tak ada. Awak boleh pergi sekarang,”

“Saya pergi dulu, tuan.”

Si koperal memberi tabik hormat sebelum berlalu pergi meninggalkan Detektif Arsyad di dalam bilik tersebut.

Detektif Arsyad pula hanya berdiri sambil melihat si koperal yang sedang melangkah dan berlalu pergi dari situ. Kemudian, beliau melihat jam pada tangannya yang kini menunjukkan pukul 9.05 pagi.

Detektif Arsyad menarik kerusinya dan terus duduk di situ sambil menyandar. Dia melihat ke arah siling sambil kepalanya menerawang mengenai perkara yang akan dibincangkannya dengan semua ketua daripada setiap unit dalam mesyuarat yang akan berlangsung lebih kurang setengah jam lagi.

‘Aku harap mereka semua dapat beri cadangan pada aku dalam mencari klu atau langkah yang perlu aku ambil untuk selesaikan kes pembunuhan ni,’ kata Detektif Arsyad dalam hatinya yang penuh dengan pengharapan.

Seketika kemudian, terlintas dalam kepala Detektif Arsyad mengenai penjenayah yang sedang diburu olehnya itu.

‘Kau jangan ingat yang kau akan menang dalam permainan ni, kau jangan fikir yang aku akan benarkan kau bunuh orang awam ikut sesuka hati kau, dan kau jangan harap yang aku akan berdiam diri selepas apa yang kau dah buat selama ni,’ kata Detektif Arsyad dalam hati menunjukkan betapa nekadnya dia.

TURUTAN MAUTWhere stories live. Discover now