TURUTAN MAUT (BAB 15)

304 12 0
                                    

BAB 15

BANYAK pihak yang mempertikaikan kata-kata Detektif Arsyad yang mencabar si pembunuh secara terbuka ketika beliau menjadi tetamu jemputan dalam sebuah rancangan bual bicara baru-baru ini.

Ada sesetengah orang mengatakan bahawa perbuatannya itu akan membuatkan si pembunuh mungkin bertambah agresif apabila dicabar secara terbuka seperti itu. Namun, Detektif Arsyad mempunyai sebabnya yang tersendiri.

Apabila ditanya mengenai perkara tersebut, hanya jawapan mudah yang akan diberikan kepada para wartawan, iaitu “Saya tahu apa yang saya buat, dan saya yakin bahawa tindakan saya ini adalah tindakan yang betul.”

Itulah jawapan yang akan diberikan oleh Detektif Arsyad apabila pihak media mengungkit semula soal cabaran terbuka yang telah ditujukan kepada si pembunuh dalam sebuah program televisyen.

Sekalipun ada pihak yang mengecam perbuatan tersebut, Detektif Arsyad tidak pernah terfikir untuk menarik balik kata-katanya. Ini kerana dia mempunyai sebab yang tersendiri terhadap tindakannya itu. Cuma sebab-musabab tersebut dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

DETEKTIF Arsyad yang baru tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman terus melangkah masuk ke dalam pejabat tersebut selepas motosikalnya diparkir.

Sebelum Detektif Arsyad masuk ke biliknya, beliau terlebih dahulu pergi ke meja si koperal yang berada berdekatan situ.

“Koperal.”

“Ya, tuan?”

“Masuk ke bilik saya sekarang,” pinta Detektif Arsyad. “Bawa sekali kesemua fail laporan yang berkaitan dengan kes-kes pembunuhan yang sedang kita siasat sekarang ni,” tambahnya lagi.

“Baiklah, tuan,” balas si koperal sambil memberi tabik hormat.

Detektif Arsyad terus berlalu pergi dan melangkah meninggalkan koperal di situ. Beliau terus masuk ke dalam bilik dan duduk di atas kerusi untuk melepaskan lelah sementara menunggu si koperal datang ke biliknya.

Detektif Arsyad mengelamun.

‘Apa yang perlu aku buat untuk selesaikan kes pembunuhan ni? Aku tak ada klu langsung. Susahlah kalau macam ni,’ bisik Detektif Arsyad dalam hatinya.

Pernah terfikir dalam benak Detektif Arsyad mengenai kaitan si pembunuh dengan mangsa-mangsanya, dan pernah juga terlintas dalam kepala beliau mengenai hubungan antara mangsa-mangsa si pembunuh.

‘Apa yang perlu aku buat sekarang ni? Takkanlah aku sekadar nak tunggu surat daripada suspek? Kalau aku buat macam tu, itu menunjukkan yang aku biarkan dia kawal permainan ni,’ desis hati Detektif Arsyad.

Sesungguhnya, inilah kes pembunuhan paling susah yang pernah diberikan kepada Detektif Arsyad dalam sepanjang kariernya sebagai anggota polis. Kelicikan si pembunuh merumitkan lagi keadaan.

‘Dalam kebanyakan kes sebelum ni, suspek mesti ada tinggalkan kesan di tempat kejadian. Kalau tak ada kesan pun, mesti pihak polis mempunyai klu untuk mengambil tindakan. Ini tidak, suspek utama tak ada, orang yang mungkin bermusuhan dengan mangsa pun tak ada, tujuan mangsa dibunuh pun tak ada walaupun setiap kes pembunuhan telah dikenal pasti sebagai bermotifkan dendam. Apa pun tak ada, apa pun tak boleh,’ getus Detektif Arsyad dalam hatinya.

Sedang Detektif Arsyad bermonolog dalam hati dan berkhayal sambil mindanya melayang entah ke mana, si koperal telah sampai di depan pintu biliknya.

Tuk! Tuk! Tuk!

Pintu bilik diketuk dari luar.

“Masuk!” kata Detektif Arsyad yang tersedar daripada lamunannya.

TURUTAN MAUTWhere stories live. Discover now