TURUTAN MAUT (BAB 5)

419 23 0
                                    

BAB 5

SELEPAS ahli keluarga Nuri Alissa dihubungi oleh si koperal bagi menetapkan satu tarikh untuk menjalankan soal siasat, Detektif Arsyad telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut secepat yang mungkin agar proses siasatan dapat terus berjalan.

Pada pagi itu, Detektif Arsyad dan si koperal telah bersarapan bersama-sama di sebuah restoran mamak sebelum mereka bertolak pergi ke rumah ahli keluarga Nuri Alissa. Pada masa yang sama juga, si koperal menunjukkan kepada Detektif Arsyad mengenai soalan-soalan yang akan ditanya nanti.

Detektif Arsyad membaca setiap satu soalan yang tertulis di situ untuk memastikan ke semua maklumat yang ingin diperoleh daripada keluarga Nuri Alissa dapat membantu siasatan mereka berdua ke atas kes tersebut.

“Koperal, jam pukul berapa sekarang?” tanya Detektif Arsyad sambil tangannya bermain dengan pencungkil gigi.

“Hmm... sekarang dah pukul 8.30 pagi. Kenapa, tuan?” jawab si koperal selepas melihat jam tangannya.

“Kalau macam tu, jomlah kita pergi ke rumah ahli keluarga Nuri Alissa,” ajak Detektif Arsyad.

Si koperal hanya mengangguk.

Detektif Arsyad mengeluarkan beg duitnya daripada poket belakang untuk mengeluarkan wang pembayaran bagi makanan yang telah dipesan. Detektif Arsyad menghulurkan sekeping wang kertas bernilai RM20 kepada si koperal yang sedang berdiri untuk pergi ke kaunter pembayaran.

“Hari ni saya belanja awak makan,” kata Detektif Arsyad.

“Eh, tak apalah, tuan. Saya boleh bayar sendiri,” balas si koperal untuk menolak pemberian Detektif Arsyad secara berhemah.

“Awak jangan risaulah. Bukan selalu saya belanja awak,” kata Detektif Arsyad sambil tangannya masih lagi menghulurkan duit.

Si koperal yang masih berasa serba salah terus mengambil duit tersebut sambil tersenyum. Kemudian, dia melangkah pergi ke kaunter untuk membuat pembayaran. Detektif Arsyad hanya memerhati dari jauh akan tindak-tanduk si koperal.

Setelah semuanya selesai, mereka berdua melangkah pergi ke kereta dan terus menuju ke rumah ahli keluarga Nuri Alissa berpandukan alamat yang mereka peroleh daripada maklumat peribadi mangsa. Berdasarkan alamat tersebut, rumah ahli keluarga mangsa terletak di luar Kuala Lumpur.

Selepas lebih kurang satu jam perjalanan, si koperal menghentikan kereta yang dipandu di hadapan sebuah rumah. Mereka berdua keluar dari kereta dan berdiri di hadapan pagar luar sambil terjenguk-jenguk ke dalam kawasan dan laman rumah tersebut yang kelihatannya sunyi.

“Koperal, betul ke ini rumahnya?” tanya Detektif Arsyad.

Si koperal pun mengeluarkan sekeping kertas yang tertulis alamat rumah untuk memeriksa semula dan memastikan mereka tidak salah tempat.

Nombor rumah yang tertulis pada kertas dibandingkan dengan nombor rumah yang terpampang pada peti surat merah yang tergantung pada pagar rumah tersebut. Ternyata, kedua-duanya sama.

“Betullah ni, tuan. Memang inilah rumahnya,” jawab si koperal.

Detektif Arsyad menganggukkan kepala tanpa bersuara apabila mendengar jawapan daripada si koperal.

“Assalamualaikum,” ucap Detektif Arsyad.

Memandangkan Detektif Arsyad merupakan seorang anggota polis, suaranya yang lantang digunakan untuk memberi salam agar tuan rumah dapat mendengarnya. Si koperal pula hanya mendiamkan diri di sebelah Detektif Arsyad.

“Assalamualaikum,” ucap Detektif Arsyad lagi apabila salamnya yang pertama tidak berjawab.

“Waalaikumussalam,” jawab seseorang dari dalam rumah.

TURUTAN MAUTWhere stories live. Discover now