TURUTAN MAUT (BAB 4)

440 26 0
                                    

BAB 4

SUDAH lebih kurang seminggu berlalu sejak kematian Nuri Alissa apabila pelakon wanita popular itu dibunuh dengan kejam. Detektif Arsyad dan beberapa anggota polis yang lain giat menjalankan siasatan berkenaan kes tersebut untuk mencari dan menjejaki penjenayah yang bertanggungjawab ke atas semua ini.

Orang awam juga turut dimaklumkan oleh pihak polis melalui media massa yang bertindak sebagai perantara dan penyalur maklumat. Kes pembunuhan ini menjadi buah mulut semua orang, tidak kira usia.

Pihak penyiaran televisyen juga ada menerbitkan sebuah rancangan yang diberi nama ‘N.A. Dalam Kenangan’ yang bertujuan memperingati perjalanan hidup arwah dalam dunia seni semasa hayatnya.

Syarikat penerbitan drama dan filem terpaksa menghentikan semua perjalanan projek mereka yang memerlukan kehadiran Nuri Alissa apabila tunggak utama dalam drama dan filem mereka itu telah kembali ke rahmatullah.

Kebanyakan syarikat produksi terpaksa mencari pengganti bagi pemegang watak yang dahulunya disandang oleh Nuri Alissa. Mereka juga terpaksa mengulang semula perjalanan pembikinan drama dan filem mereka bagi menggantikan watak yang dipegang oleh Nuri Alissa sebelum ini.

Pada pagi itu, Detektif Arsyad yang baru sahaja sampai ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman terus masuk ke dalam pejabatnya untuk meneruskan siasatannya ke atas kes pembunuhan tersebut. Apabila Detektif Arsyad masuk ke dalam biliknya, dia terus menekan butang pada telefon pejabatnya bagi menyambungkan talian interkom.

“Ya tuan, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” tanya orang yang menjawab panggilan interkom tersebut.

“Tolong panggilkan si koperal masuk ke dalam bilik saya sekarang, dan minta dia bawa sekali semua fail yang berhubung kait dengan kes pembunuhan Nuri Alissa,” pinta Detektif Arsyad.

“Baiklah, tuan. Saya akan panggil dia sekarang. Ada apa-apa lagi yang tuan nak pesan?” tanya orang yang berada di hujung talian.

“Hmm... tak ada. Itu aje. Terima kasih,” ucap Detektif Arsyad.

“Sama-sama,” balas orang tersebut.

Talian interkom terus diputuskan.

Sementara menunggu si koperal datang ke biliknya, Detektif Arsyad duduk menyandar pada kerusi pejabat sambil memikirkan langkah seterusnya yang perlu diambil bagi menyelesaikan kes terbarunya itu.

Tuk! Tuk! Tuk!

Pintu bilik diketuk dari luar.

“Masuk!”

Daun pintu bilik tersebut terkuak perlahan-lahan. Kelihatan si koperal menunjukkan dirinya di sebalik pintu dan terdapat beberapa fail yang dipegang dalam tangannya.

“Tuan panggil saya?” tanya si koperal selepas memberikan tabik hormat.

“Ya, saya panggil awak. Awak boleh duduk,” jawab Detektif Arsyad sambil menunjukkan ke arah dua buah kerusi yang berada di hadapan mejanya.

“Terima kasih, tuan,” balas si koperal.

Si koperal terus melangkah menuju ke meja Detektif Arsyad dan meletakkan fail yang dipegang di atas meja tersebut. Kemudian, dia menarik kerusi yang ada dan terus duduk bertentangan dengan kedudukan Detektif Arsyad.

“Kita nak bincang apa hari ni, tuan?” tanya si koperal.

“Koperal, saya nak awak beritahu saya semua maklumat terkini yang kita dapat untuk kes pembunuhan Nuri Alissa,” kata Detektif Arsyad.

Si koperal menganggukkan kepala dan terus membuka fail yang telah dibawa bersamanya sebentar tadi. Dia menyelak helaian kertas yang berada di dalam fail tersebut untuk mencari laporan yang mempunyai maklumat terkini mengenai kes pembunuhan ke atas pelakon wanita popular, Nuri Alissa.

TURUTAN MAUTWhere stories live. Discover now