Bab 1

19.9K 211 13
                                    

"AKU nak duit." Wazir terus duduk di atas kusyen. Abyana Ruzda bangun untuk ke dapur. Malas melayan Wazir. Geram dan sakit hati pun ada kepada Wazir. Lama menanti, Wazir melangkah ke dapur juga. Melihat Abyana Ruzda yang sedang enak makan bihun.

"Aku nak duit," kata Wazir lagi.

"Waz, saya tak dapat gaji lagi. Nak bagi macam mana. Lagipun dua minggu lepas saya dah bagi kan." Balas Abyana Ruzda. Wazir menjegil matanya. Abyana Ruzda itu terasa kecil di matanya.

"Itu dua minggu lepas. Aku kata hari ni, aku nak," ujarnya sambil menarik kerusi untuk duduk. Dia sudah berjanji dengan kekasih hati untuk membeli beg tangan. Abyana Ruzda mengeluh. Wazir ingat nak dapat duit macam petik daun dekat pokokkah.

"Gaji saya masuk hujung bulan. Awak pun tahu kan. Lagipun awak nak buat apa dengan duit ni?" tanya Abyana Ruzda. Hairan betul. Setiap kali Wazir meminta duit daripadanya, alasan yang diberikan adalah untuk membeli buku.

"Nak beli bukulah," balas Wazir menarik piring bihun Abyana Ruzda ke depannya.

"Buku apa pula. Minggu lepas pun buku. Ini buku lagi," kata Abyana Ruzda mula mensyaki sesuatu. Namun, dia berharap apa yang disyakinya itu tidak terjadi. Dia memandang Wazir.

"Kau nak syak aku ada perempuan lain? Kalau aku ada perempuan pun, apa kau boleh buat. Aku boleh kahwin empat." Wazir megah dengan kata-katanya. Abyana Ruzda tersentak. Benarlah dia tidak boleh buat apa-apa, tapi dia tidak patut dilayan sebegini.

"Waz, awak fikir wajarlah sikit. Saya banyak berkorban untuk awak. Sanggup berhenti belajar sebab nak kahwin dengan awak." Abyana Ruzda mengingatkan Wazir. Wazir itu suaminya, memang patutlah dia mengingatkan Wazir supaya dia tidak terlupa akan tanggungjawabnya.

"Kau jangan pandai-pandai nak ajar aku." Kata Wazir terus menolak piring yang masih berisi bihun itu ke depan Abyana Ruzda.

"Saya bukan nak ajar Waz, tapi cuma ingatkan awak dengan tanggungjawab." Tegas Abyana Ruzda. Baginya itu cara yang betul.

Wazir bangun dan terus menampar pipi Abyana Ruzda. Abyana Ruzda terdiam. Spontan saja, Wazir menamparnya. Memegang pipi yang pijar dek tamparan tersebut. Wazir tiba-tiba menarik rambut yang ditocang Abyana Ruzda. Mengheret Abyana Ruzda hingga ke ruang tamu.

"Waz, sakitlah," Abyana Ruzda memegang tangan Wazir. Perit benar pegangan Wazir di kepalanya. Rasa macam mahu tercabut rambutnya itu.

"Kau pandai cakap sangat kan. Tahulah kau sakit lepas ni. Lain kali jangan mengajar aku," Wazir mengetap giginya. Sekali lagi pipi Abyana Ruzda ditamparnya. Rasa marah kerana ditegur Abyana Ruzda tadi, terus dilepaskan dengan memukul Abyana Ruzda. Darah merah mengalir di hujung bibir Abyana Ruzda. Tidak cukup dengan itu, Wazir menyepak badan Abyana Ruzda. Dia menyeringai kesakitan. Allahu Akbar.

Wazir melangkah masuk ke dalam bilik. Tidak lama selepas itu dia keluar semula dengan wang di tangannya.

"Waz, tu duit nak beli susu Arwa," Abyana Ruzda menghulurkan tangannya.

"Kau cari lainlah duit nak beli susu dia," Wazir pantas sahaja mencapai beg galas hitamnya. Dia mendengus sebelum berlalu keluar. Namun, sebelum dia menutup pintu dia pandang sekali lagi Abyana Ruzda yang mengerekot di ruang tamu. Arwa yang bersembunyi di dalam bilik keluar. Memeluk Abyana Ruzda. Kedua-dua beranak itu menangis bersama-sama.

ABYANA RUZDA melepaskan lelahnya. Dia terpaksa berjalan kaki pulang dari tempat kerja. Tentang letih tak usah ceritalah. Tersangat letih hinggakan kering tekaknya. Dia duduk di atas kusyen tanpa sempat menutup pintu rumah.

"Hai, letih sangat ke?" tanya Nomi, jiran sebelah rumahnya. Nomi sudah berusia 32 tahun, tetapi dia tidak berkahwin. Abyana Ruzda ke arah pintu semula

"Hmm... demi sesuap nasi," jawab Abyana Ruzda. Dia sengih.

"Minggu ni, Wazir tak balik ke?" tanya Nomi apabila tidak melihat Wazir sejak dua minggu yang lalu. Hairan sebenarnya dengan Wazir,universitinya tidak juah daripada rumah , tapi nak tinggal di dalam kampus.

"Entahlah, Kak Nomi. Saya malas nak tanya dia. Kalau balik Arwa nak main-main dengan dia, dijerkahnya Arwa. Saya malaslah. Kalau dia balik , duit dia dah kuranglah tu. Semoga dia tak lupakan kami selepas dia habis belajar tahun ni. Letih saya bekerja nak menyara dia," luah Abyana Ruzda. Geram sebenarnya dengan Wazir, nak sambung belajar , tapi nak belajar fulltime. Dialah yang kena cari duit. Bukan mahu merungut, tapi Wazir bukannya melayan dia dengan baik pun. Menyesal pun dah tak berguna. Dia yang menempah perkahwinan ini.

Asyik mahu mengamuk saja jika ada yang tidak kena. Sebab itulah Abyana Ruzda lagi suka dia tidak balik langsung. Nama sahaja ada suami, tapi tak menyenangkan hati buat apa.

"Maaflah cakap, Abby. Kak Nomi tak kahwin sebab nilah. Lelaki yang ambil kesempatan atas kita. Mereka ingat bila kita dah kahwin dengan mereka, mereka boleh buat kita sesuka hati." kata Nomi.

"Tak kahwin pun tak apa, Kak Nomi kalau menyusahkan." Ujar Abyana Ruzda. "Arwa kacau Kak Nomi tak hari ni?" tanya Abyana Ruzda. Bimbang juga anaknya itu membuat perangai.

"Abby ni macamlah Kak Nomi jaga Arwa tu sehari. Dah tahu dah perangai Arwa macam mana," katanya sambil berjalan ke arah pintu rumahnya. Dia menjenguk ke dalam rumah. Anak-anak asuhan seramai 4 orang itu sedang tidur.

"Takut juga," kata Abyana Ruzda menyengih.

Syukurlah dia tinggal bersebelahan dengan Nomi. Adalah juga teman untuk berbual dan menjaga anaknya ketika dia bekerja. Abyana Ruzda meraup wajahnya. Matanya terpandangkan jam di dinding dan beralih ke arah potret yang tergantung di tepi jam tersebut. Gambar kahwin dia dan Wazir. Dibuat secara kecil-kecilan di kampung. Keluarga Wazir pun bukannya senang. Keluarga penoreh. Tapi, dia bersyukur kerana emak mentuanya itu walaupun bukanlah senang orangnya, tapi mengambilnya menjadi anak angkat. Ketika itu dia mengikuti program anak angkat yang dianjurkan oleh politeknik tempat belajarnya. Sedari kecil lagi dia berangan-angan mahu ada keluarga sendiri, kerana sejak kecil lagi dia sudah tiada siapa-siapa. Apa yang dia tahu dia hanya dibesarkan di rumah anak yatim.

Dari situlah dia kenal dengan Wazir dan juga keluarga kecil Wazir. Sekelip mata mereka berdua jatuh hati dan seterusnya mengambil keputusan mahu berkahwin.

Selepas berkahwin mereka berdua berpindah ke sini, kerana Wazir dapat kerja. Namun, selepas setahun bekerja, Wazir mahu menyambung pelajarannya. Dia tidak membantah kerana itu adalah untuk masa depan mereka sekeluarga. Tapi, Wazir ibarat kacang lupakan kulit. Tak mahu pulang ke kampung selepas berpindah. Katanya, kalau balik kampung pun bukannya ada apa-apa. Dia sebagai isteri terpaksa menurut kata Wazir.

"Tengok apa?" tanya Nomi membuat Abyana Ruzda terngadah. Dia memandang Nomi sambil menyengih.

"Hmm... waktu bercinta segalanya indah kan. Lepas kahwin ingatkan lebih indah lagi. Rupa-rupanya hanya mimpi semata-mata." Kata Abyana Ruzda.

"Sabarlah, Abby. Nak buat macam mana lagi." kata Nomi sambil menguis-uis simen.

"Kalau tak difikirkan Arwa, agaknya dah lama saya lari. Tak sangka lepas kahwin Wazir tunjuk belangnya. Salah sikit, tangan naik ke badan." Luah Abyana Ruzda lagi. Bukan sekali malah berkali-kali dia mengadu kepada Nomi. Dia sanggup berhenti belajar kerana Wazir. Langsung tidak memikirkan hal lain. Apa yang dia tahu hanya membuta tuli mengikut cakap Wazir. Sudahnya sekarang dia memang sedang makan hati dengan Wazir.

ISTERI ATAS KERTASWhere stories live. Discover now