ABYANA RUZDA berdiri di luar sekolah Pasti. Terasa lama pula hari ini menanti Arwa keluar dari Pasti. Kanak-kanak yang lain juga yang sudah keluar, tapi muka Arwa belum lagi muncul. Abyana Ruzda pandang jam di tangannya. Sudah melepasi 12.45 tengah hari. Patutnya Arwa sudah ada di depan matanya. Abyana Ruzda menjenguk ke dalam kawasan Pasti.
"Mama..." panggil Arwa. Suara itu kedengaran di belakangnya. Abyana Ruzda pantas menoleh. Hatinya berdegup kencang apabila Arwa berdiri dengan seorang lelaki di sisinya. Arwa sedang memegang aiskrim di tangannya. Lelaki yang mereka jumpa di kedai kek dua minggu lepas. Siapa sebenarnya lelaki ini? Hatinya mula tidak senang dengan kesinisan lelaki tersebut.
"Puan Abyana..." panggil lelaki tersebut.
Abyana Ruzda terlopong mulutnya. Bagaimana lelaki ini tahu namanya. Jantungnya sudah berdebar hebat. Menggigil rasa tubuhnya itu.
"Macam... macam... mana awak tahu nama saya?" tanya Abyana Ruzda tergagap-gagap. Dia telan liur yang kesat. Dalam hati sudah mengatakan dia dan Arwa sudah dijumpai oleh geng lintah darat tersebut.
"Pilihlah nak ikut secara rela atau anak awak saya bawa dulu," katanya perlahan. Abyana Ruzda diam. Mahu melarikan diri, rasanya tidak mungkin apabila lelaki itu sudah mendukung Arwa.
"Man..." panggilnya kepada lelaki yang sedang berdiri tidak jauh daripada mereka.
"Kau bawa skuter ni balik," arahnya. Lelaki yang bernama Man itu hanya mengangguk. Mengikut arahan.
"Puan Abyana, silakan . Jangan cuba nak buat apa-apa. Nanti nyawa awak yang melayang," ugutnya. Kata-kata itu masih lagi perlahan. Akhirnya Abyana Ruzda mengambil keputusan untuk mengikut. Dalam debar dia duduk di kusyen depan. Arwa diletakkan di belakang bersama seorang lagi lelaki. Punah harapannya yang bercadang untuk melarikan diri. Dia rela terjun dari kereta ini andainya Arwa yang sedang dipegangnya. Janji mereka berdua dapat melarikan diri. Daripada diapa-apakan oleh geng lintah darat.
Abyana Ruzda pandang sekeliling jalan yang hanya dipenuhi dengan hutan sahaja. Ya Allah , jauhkanlah kami dari segala bahaya. Kalaulah begini rupa tempat mereka akan pergi, rasanya mayat mahupun tulang-belulang mereka dua beranak tidak akan dijumpai langsung. Abyana Ruzda dan Arwa hilang di mata dunia. Eceh, kau masih lagi sempat berpuisi Abby.
Lagi sekali Abyana Ruzda ternganga memandang rumah di depan matanya ini. Dalam hutan macam ini ada sebuah rumah besar. Bukan besar malah terlalu besar dan cantik sekali. Ini geng lintah darat Pantai Timur ke? Hebatnya.
"Hah, tunggu apa lagi!" dia dijerkah kerana dia masih lagi ternganga memandang rumah tersebut. Arwa sudah melompat keluar. Bagi seorang kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa, Arwa mudah saja berasa seronok.
"Mama... ada kolam ikanlah. Uncle, boleh Arwa tengok kolam tu?" tanya Arwa. Matanya dikelip-kelipkan di depan Sharin. Mulutnya sedikit comot dengan aiskrim tadi.
"Cop... bawa dia tengok kolam ikan," arah Sharin. Cop terus sahaja menarik tangan Arwa. Semua gengnya mengikut arahan.
"Saya nak anak saya," kata Abyana Ruzda sambil matanya tidak lepas memandang Arwa dan Cop yang sudah ada di depan kolam tersebut.
"Kalau saya nak bunuh anak awak tu dah lama saya bunuh. Tapi, kami yang tak untung sebab tak dapat kutip hutang," kata Sharin sambil menjegilkan matanya. Abyana Ruzda telan liur apabila mendengar perkataan bunuh itu. Nampaknya, mereka ini tidak main-main. Lintah darat mana pernah main-main, Abby. Sedar diri sikit. Gerutunya dalam hati.
Abyana Ruzda pandang sekeliling bilik tersebut. Mewah sungguh dekorasinya. Memang hebat betul lintah darat Pantai Timur ini. Lintah darat Hong Kong pun kalah. Pejabat lintah darat HK itu berselerak saja. Ini, bukanlah pejabat lintah darat , tetapi ini pejabat ahli perniagaan. Eh, bukankah ini juga satu perniagaan. Desis hatinya. Pinjaman wang berlesen.
"Awak ada lesen tak ni?" tanya Abyana Ruzda kepada Sharin yang berdiri di tepinya itu. Sharin bulatkan matanya ke arah Abyana Ruzda. Perempuan ini nampak berani. Patutlah dia boleh sembunyikan diri selama ini.
"Lesen apa pulak?" tanya Sharin meskipun hairan dengan muka perempuan di sebelahnya ini. Kasihan, tapi mereka perlu melakukan kerja.
"Lesen peminjam wanglah. Ataupun, haram aje pinjaman awak ni," kata Abyana Ruzda berani. Kalau bertatu penuh badan memang dia tidak berani. Tetapi, melihat lelaki di sebelahnya ini dia tidak takut sangat. Muka manis dan sedap mata memandang saja.
"Awak tak takut mati ke?" tanya Sharin lagi sekali. Dia jegilkan mata ke arah Abyana.
"Mati tu pasti. Cuma kita tak tahu bila kita nak mati. Kalau awak nak bunuh saya sekarang, saya tahulah bila waktu mati saya," kata Abyana Ruzda. Selagi tidak kena penumbuk dengan lelaki sado di sebelahnya ini selagi itulah dia akan bertikam lidah. Sharin diam.
"Saya tak pernah lagi jumpa perempuan berani macam awak ni," kata Sharin. Dia tenung muka Abyana Ruzda. Lambat-lambat dia mengalihkan pandangannya.
"Saya berani sebab awak nampak baik," Abyana Ruzda telan liur. Mahu mengambil hati lelaki ini. Ah! Lantaklah apa pun yang akan lelaki ini akan fikir. Bukannya dia menyelak kain sampai ke paha nak selamatkan diri. Sharin telan liur juga. Bekas pesalah juvana macam dia dikatakan baik, walaupun sudah lama perkara itu berlalu. Perempuan ini memang tak tahu siapakah dia yang sebenarnya.
Pintu bilik itu terbuka. Pantas Abyana Ruzda dan Sharin memandang ke arah derapan kaki. Liur ditelan lagi. Siapa punya along ni? Kacak macam model majalah. Tinggi lampai. Jantungnya tiba-tiba berdetak hebat. Sukakah dia dengan lelaki ni? Abyana Ruzda menggelengkan kepalanya. Sudah-sudahlah fikir pelik-pelik Abby, kau ni dah macam telur dihujung tanduk. Tapi, lintah darat ni memang handsome. Lagi sekali Abyana Ruzda menggelengkan kepalanya. Mindanya tak habis-habis memuji lelaki tersebut.
"Bos, nilah perempuan yang pandai sembunyikan diri tu," beritahu Sharin.
"Pandai, kau pula aku nak cakap apa. Dungu? Sebab baru saja jumpa dia," kata bosnya itu.Sharin hanya tunduk sahaja. Sedar sendiri. Lelaki itu mengeluarkan sebatang rokok. Lalu menyalakannya. Disedut perlahan-lahan. Abyana Ruzda menahan nafas dengan asap rokok tersebut. Cukup benci dengan lelaki yang merokok. Macam tak ada benda lain nak buat selain daripada hisap rokok. Mulutnya terus ditutup. Benci dengan abu asap rokok tersebut.
"Shar kau keluar dulu," arah bosnya itu.
Lelaki itu merenung Abyana Ruzda. Lelaki itu perasan perempuan itu menutup mulutnya. Mungkin kerana asap rokok yang menerawang. Abyana Ruzda mula tidak senang duduk. Takut mula muncul dalam dirinya apabila ditinggal oleh lelaki yang dipanggil Shar itu. Abyana Ruzda pandang ke belakang setelah pintu itu ditutup.
"Apa yang kau cari?" kasar dia bertanya.
Abyana Ruzda tunduk di depan lelaki ini. Mungkin terlebih takut kerana ini adalah bos mereka. Lelaki itu membelek fail di depannya sambil menekan sisa rokok yang belum habis itu ke dalam ashtray kecil.
"Perempuan semuda kau pinjam duit sebanyak ini. Memang melampau," ujarnya sambil menghempas fail itu di atas meja kaca. Melotot matanya memandang Abyana Ruzda. Perempuan bodoh!
"Hairan... hairan... kau tak takut mati ke?" tanya lelaki itu lagi.
"Takut... tapi duit tu bukan saya pinjam. Tapi, bekas suami saya yang pinjam." Kata Abyana.
"Bekas suami kau tak pinjam. Di sini kau yang pinjam. Dia cuma datang ambil duit saja. Salinan kad pengenalan kau pun ada," Lelaki itu melempar kepingan kertas ke depan Abyana Ruzda.
Abyana Ruzda mencapai kertas tersebut. Bacaan melekat di kolum peminjam. Abyana Ruzda binti Haizar. Abyana Ruzda hampir rebah. Wazir , sampai hati kau buat aku macam ni.
"Tapi Encik Lintah Darat , saya tak tahu pun pasal ni," kata Abyana Ruzda. Sudah memanggil lelaki itu dengan nama lintah darat.
Encik Lintah Darat! Terkejut lelaki tersebut dengan panggilan tersebut. Mahu gelak atau bagi penumbuk dia tidak tahu. Selama ini dia tidak pernah terlibat dengan peminjam perempuan. Ini adalah kali pertamanya. Dan kali pertamanya ini membuatkan dia rasa macam-macam. Perempuan di depannya ini nampak takut dan dalam masa yang sama berani.