Bab 12

5.9K 144 41
                                    


ABYANA RUZDA mengetap giginya. Tidak puas mengganggunya di tempat kerja, kini hingga ke rumah pula. Kalaulah dia punya kuasa mahu saja disumpahnya si lintah darat itu menjadi lintah. Hanya letakkan garam saja, terus mengerekot mati. Sudah dua kali hon kereta itu berbunyi. Jika tidak keluar nanti akan menimbulkan syak jiran-jiran pula. Abyana Ruzda bergerak ke arah pagar rumah. Sharin keluar dari keretanya.

"Bos nak jumpa," kata Sharin. Abyana Ruzda telan liur. Kalau bos nak jumpa, tentulah dia akan dibawa ke rumah itu lagi. Rumah mewah di dalam hutan.

"Kalau tak jumpa kat rumah tu tak apa ke?" tanya Abyana Ruzda berani. Muka Sharin memang tidak menakutkannya.

"Cepat!" Sharin tidak menjawab pertanyaannya. Abyana Ruzda memandang jam di tangan. Masih berbaki dua jam sebelum Arwa keluar dari sekolah.

Takut dan cuak, Abyana Ruzda melangkah juga ke dalam rumahnya. Tidak buat apa yang mereka mahukan, dia takut mereka bertindak ganas. Mereka boleh lakukan apa sahaja.

"Awak tak rasa nak cari kerja lain ke?" tanya Abyana Ruzda sambil memandang Sharin. Sharin diam memandu. Tiada kuasa mahu melayan Abyana Ruzda apabila tadi dia sudah kena dengan Rafeez. Rafeez mengamuk sebab babanya. Dia yang sedang berehat, terkena dengan amukan Rafeez.

Tak padan dengan diri hanya pembantu lintah darat, tapi menyombong. Abyana Ruzda menggerutu dalam hati. Kali kedua dia ke sini dia sudah menghafal sekeliling jalan ini. Jika dia, dikurung dan dapat melarikan diri pun dia masih tahu jalan untuk ke jalan besar. Sharin mengarahkannya keluar dari kereta apabila mereka sampai.

"Kau ada ingatan. Jadinya, kau cari sendiri nak ke bilik bos," kata Sharin terus menonong pergi dari situ. Abyana Ruzda hanya memandang langkah Sharin. Macam perempuan datang bulan! Ada angin kus-kus. Abyana Ruzda mencebik.

Abyana Ruzda melangkah masuk ke dalam rumah. Biarpun kali kedua, dia tetap terpegun dengan hiasan dalaman rumah ini. Kalaulah rumahnya sebesar dan secantik rumah ini memang tersangatlah puas hati. Dia sanggup hanya tinggal di dalam rumah. Abyana Ruzda menolak pintu yang baru dibuka. Dia menjenguk perlahan ke dalam pejabat, matanya bulat memandang bilik tersebut. Macam tongkang pecah. Berselerak.

"Hah! Apa yang buat kau tercongok kat situ?" tanya Rafeez sambil matanya menikam mata Abyana Ruzda. Dia bangun dari bawah meja. Abyana Ruzda tersentak dengan teguran itu. Jantungnya berdegup kencang setiap kali bertemu pandang dengan si lintah darat. Hailah, Abyana Ruzda kenapa kau takut sangat ni! Kau mesti relaks. Kalau kau takut, orang ada peluang nak kenakan kau.

"Kau kemaskan bilik ni!" Rafeez menudingkan jarinya ke arah sekitar biliknya yang berselerak.

"Hah!" Abyana Ruzda ternganga.

"Tapi, bukan saya yang buat selerak," mulutnya cepat menjawab. Rafeez menjegil matanya kepada Abyana.

"Kau nak mati ke?!" Rafeez mencerlung. Abyana Ruzda telan liur. Apabila sebut sahaja perkataan mati, Abyana Ruzda pantas sahaja melakukan kerjanya. Dia tidak mahu mati lagi kerana dia mahu melihat Arwa membesar di depan matanya. Dan juga mahu membuktikan kepada Wazir walaupun dia dibodohkan oleh Wazir. Dia mampu hidup.

"Encik Lintah Darat, kalau saya kemas bilik ni, tolak daripada hutang saya ya," kata Abyana Ruzda sambil mengangkat kerusi yang terbalik.

"Kau ingat berapa sangat harga orang kemas rumah," Rafeez mencebik.

"Saya tak suruh tolak banyak. Tapi, sekurang-kurangnya dapatlah juga mengurangkan jumlahnya," Abyana Ruzda berani.

Rafeez diam, sebaliknya dia menjadi pemerhati Abyana Ruzda mengemas pejabatnya itu. Sakit hatinya apabila teringatkan kisah dia ke rumah babanya. Masih lagi terbayang-bayang muka Daniela. Ah, dia tahu muka orang bahagia dengan tidak. Senang sahaja Daniela meninggalkannya dan berbahagia dengan abangnya.

Rafeez mendengus kuat. Macamlah aku kebulur nak balik ke rumah tu lagi. Tak kahwin pun aku tak matilah! Dia berperang dengan hatinya. Tapi, kalau tak balik dia tidak boleh bertemu dengan bonda lagi. Kasihan melihat bonda ketika kunjungannya. Sedih melihat bonda yang sedih kerana dia satu-satunya anak yang tidak pernah pulang ke rumah.

"Encik Lintah Darat, saya dah siap kemas," Abyana Ruzda memandang sekeliling bilik yang sudah kemas. Rafeez terngadah. Dia juga turut memandang sekeliling bilik. Sudah kemas dan teratur. Tapi, dia yakin susun atur pejabatnya itu sudah berubah.

"Siapa suruh kau pandai-pandai ubah," Rafeez menjegil.

"Hmm... saya dah tanya, encik angguk," kata Abyana Ruzda. Dia memang bertanya ketika Rafeez sedang melamun. Rafeez mengangguk sahaja. Selepas itu, dia terus mengikut kemahuannya.

Rafeez mengetap bibir.

"Encik, gaji saya bulan ni tak masuk lagi. Saya tak ada duit nak bayar," kata Abyana Ruzda. Dia memandang jam di tangannya. Hatinya sudah tidak tenang apabila semakin dekat dengan waktu Arwa keluar dari Pasti.

"Itu aku pun tahu. Aku cuma nak suruh kau kemas bilik ni aje," selamba Rafeez berkata. Senang cerita dia sakit hati dan dia mahu hati orang lain juga sakit. Abyana Ruzda ternganga. Melampau betul!

"Kalau macam tu saya balik dululah. Anak saya dah nak keluar dari sekolah," kata Abyana Ruzda sambil memusingkan badannya. Dia tidak mahu Arwa ternanti-nanti.

"Oh, aku terlupa kau ada anak," kata Rafeez lagi. Dia menyiniskan senyuman. "Kau kena bersedia bila-bila aku mahu, kau kena datang. Dan jangan risau apa sahaja yang kau buat, akan dibayar. Jadinya, hari ini hutang kau berkurang sedikit." Rafeez dengan megahnya berkata. Abyana Ruzda mengetap bibir. Geram dengan perangai Rafeez yang menyakitkan hati. Tapi, dia tidak boleh buat apa-apa kerana dengan cara begitu hutangnya makin berkurangan.

ISTERI ATAS KERTASWhere stories live. Discover now