ABYANA RUZDA mengetap giginya. Dia menongkatkan skuternya di depan rumah mewah tersebut. Menggegar pagar berkali-kali. Sakit hati apabila sudah lima minit dia berada di depan pagar. Tiada tanda-tanda pagar itu akan terbuka. Bukannya mereka tidak tahu dia berada di depan pagar. Setelah sepuluh minit barulah pintu pagar terbuka secara automatik. Abyana Ruzda mendengus sambil menolak skuternya ke dalam kawasan rumah tersebut. Abyana Ruzda memandang pintu depan. Kedua-dua belah tangan Rafeez berada di dalam poket seluar khakinya. Dia menyandar di pintu.
"Encik Lintah Darat memang suka sangat bagi saya sakit hati," kata Abyana Ruzda sambil meletakkan helmet di atas tangga simen. Dia melangkah naik.
"Aku buat loceng kat depan tu untuk orang tekan loceng. Kau ingat aku tahu ada orang datang tanpa tekan loceng. Rumah ini bukan macam rumah sewa kau tu. Jerit sikit pun dah sekampung dengar," sinis Rafeez membalas. Dia berjalan tanpa mengeluarkan tangan dari poket seluar khakinya. Abyana Ruzda menggelengkan kepalanya sambil membuntuti Rafeez. Bila sudah berkali-kali datang ke sini, Abyana Ruzda sudah selesa mencari jalan sendiri ke pejabat tersebut.
Dengan berpandukan gambar di dalam telefonnya, Abyana Ruzda menyusun semula susunan buku-buku tersebut. Buku yang hanya menjadi hiasan saja di dalam bilik ini. Norly cakap dia memang tak sukakan buku. Malas berfikir lagi tentang Rafeez . Apa yang dia tahu , dia hanya mahu cepat menyusun buku-buku ini. Lebih cepat siap, lebih awal dia meninggalkan rumah ini. Ada rasa tidak senang hati apabila, tidak ternampak kelibat tiga orang pembantu Rafeez. Mungkin mereka pergi mengutip hutang.
"Hah! Kau buat kerja atau berangan!" tegur Rafeez.
Abyana Ruzda yang sedang memegang buku tebal, terkejut dan membuatkan buku itu terjatuh mengena kakinya. Dia mengaduh perlahan. Tak guna punya lintah darat.
Rafeez melangkah masuk ke dalam pejabatnya. Lalu dia melabuhkan duduk di atas kerusinya. Abyana Ruzda mengerling sekilas ke arah Rafeez yang duduk . Mata Rafeez sedang melihatnya. Jantungnya pantas berdegup kencang. Hairan betul, setiap kali berbalas pandang dengan Rafeez, jantungnya itu berdetak hebat. Mungkinkah takut kerana berdua-duaan dengan Rafeez.
"Aku ni tak kebulur dengan orang perempuan. Kau tak payah fikir lebih-lebih." Rafeez bersuara kuat. Abyana Ruzda telan liur. Boleh percayakah? Lelaki bukannya boleh percaya. Nafsunya yang satu itu yang mengawal nafsu-nafsu lain. Abyana Ruzda telan liur lagi.
"Tambah-tambah janda macam kau. Tak ingin aku," sambung Rafeez.
Abyana Ruzda pantas menoleh ke arah Rafeez.
"Salahkah saya bergelar janda?" tanya Abyana Ruzda tidak puas hati. Sudah dua kali Rafeez menyuarakan rasa pasal statusnya itu.
"Tak salah pun. Tapi, aku rasa kaulah perempuan paling bodoh sekali sebab benarkan bekas laki kau kenakan kau." Rafeez mencebik.
Abyana Ruzda diam. Meskipun , dia sakit hati apabila Rafeez berkata dia bodoh, tapi dia bersetuju dengan Rafeez. Dialah perempuan paling bodoh sekali. Menyara Wazir ketika dia menyambung pelajaran. Menadahkan badan untuk dipukul oleh Wazir dan membiarkan Wazir meminjamkan wang atas namanya. Itu memang terlebih bodoh. Tapi, bersyukur kerana dia sudah tidak terikat dengan Wazir. Jika boleh ditentang, Arwa pun tidak akan dibiarkan terikat dengan Wazir. Tapi, sayangnya dia tidak boleh. Kerana Wazir tetap wali Arwa sampai bila-bila.
"Encik... encik..." panggil Abyana Ruzda di depan Rafeez. Selepas bertikam lidah sedikit, Rafeez dan Abyana Ruzda membuat kerja masing-masing. Hinggalah Abyana Ruzda sudah hampir siap menyusun rak tersebut. Rafeez enak tidur di atas kerusinya. Tiada tanda-tanda Rafeez akan sedar dengan panggilannya itu. Baru saja tangan Abyana Ruzda mahu menyentuh bahu Rafeez, lelaki itu membuka matanya. Rafeez terpisat-pisat di depan Abyana Ruzda. Mukanya disapu.
"Dah siap?" tanya Rafeez pantas matanya diputarkan ke sekeliling bilik.
"Belum lagi, tapi saya dah kena masuk kerja kat kedai Kak Nor," beritahu Abyana Ruzda jujur.
"Habis kerja kat kedai kakak aku, kau datang sini semula?" tanya Rafeez menguap. Dia berjalan ke arah pintu. Kedua-dua belah tangan dimasukkan ke dalam poket seluar. Abyana Ruzda berdeham. Mana mungkin dia datang ke sini ketika waktu malam.
"Saya datang siang saja, encik," Abyana Ruzda menjawab perlahan. Tidak sanggup dia datang ke sini waktu malam. Kiri dan kanan jalan hanyalah hutan.
"Pandai pula awak buat jadual sendiri. Siapa bos ni?" Rafeez menjeling. Abyana Ruzda telan liur.
"Dah... Dah... kau boleh pergi." Rafeez menggawangkan tangannya. Abyana Ruzda tidak tunggu lama terus menonong keluar. Takut Rafeez berubah fikiran pula. Berangin tak kena tempat macam Rafeez bukan boleh dikira. Nanti tak pasal-pasal dia bercuti pula hari ini.