Bab 11

5.7K 131 13
                                    


RAFEEZ memandang telefonnya. Gambar resit bank yang dihantar oleh Abyana Ruzda dibelek kali kedua. Dia mengangguk. Puas hati kerana Abyana Ruzda tidak mungkir janji. Sudah lima bulan, Abyana Ruzda tidak culas membayar duit hutangnya. Perempuan bodoh macam dia perlu diajar. Jangan sewenang-wenangnya mempercayai lelaki walaupun suami sendiri.

"Bos..." panggil Sharin apabila melihat Rafeez sejak tadi hanya duduk tanpa bergerak-gerak di kerusi tersebut. Rafeez pandang Sharin.

"Hah, ada apa?" tanya Rafeez sambil matanya itu tepat memandang Sharin. Sharin hampiri Rafeez sambil meletakkan dokumen. Rafeez pantas membelek dokumen tersebut.

"Ini pelanggan terakhir yang bayar duit. Bagus! Kenapa tak cari lagi orang yang nak berhutang?" tanya Rafeez sambil meletakkan dokumen tersebut. Sharin diam.

"Kau jangan nak buat pasal tak mahu buat kerja ni lagi. Aku tahulah bila masanya aku akan berhenti. Lagipun, kita berlesen," kata Rafeez tegas. Dia tahu Sharin tidak mahu lagi membuat kerja ini.

"Tapi, bonda bos dah beritahu supaya berhenti buat kerja ni..."

Rafeez menjegil matanya kepada Sharin. Jika Sharin menyebut perkataan bonda itu, dia tahu Sharin balik ke rumah babanya. Jika dia letak pistol di tengah dahi Sharin pun, Sharin tak hairan. Dia pasti akan balik bertemu dengan bonda. Entah siapa sebenarnya yang menjadi bos. Semua cakap Sharin dia terpaksa ikut, walaupun kadang-kadang Sharin takut juga dia mengamuk.

"Berapa kali aku nak cakap jangan balik rumah baba," kata Rafeez.

"Bonda telefon suruh balik. Saya baliklah," Sharin buat-buat berani. Dia takut juga jika Rafeez mengamuk. Namun, nama bonda yang selalu dia sebut itu membuatkan Rafeez lembut sedikit. Rafeez bangun. Berjalan menghampiri Sharin.

"Kau kan... memang tak pernah dengar cakap aku. Pura-pura takut. Tapi, kau sebenarnya pandai mengawal aku..." Rafeez pegang tangan Sharin. Rafeez merentap tangan Sharin dan terus keluar. Terburu-buru Sharin mengekori dari belakang. Muka mencuka Rafeez dipandangnya sebelum Rafeez menghilang ke dalam kereta.

RAFEEZ tunduk ketika dia ternampak kereta babanya itu sedang dipandu masuk ke dalam kawasan villa. Pintu pagar masih lagi terbuka. Buat pertama kali selepas dua tahun, Rafeez pulang ke sini. Dia memandu perlahan di depan pagar villa. Lalu dia memandu keretanya masuk ke dalam kawasan villa.

Tengku Raziq memandang kereta yang baru masuk ke dalam kawasan villanya. Menanti sehingga si pemandu membuka pintu. Berdiri tegak bagaikan sedang menanti pesalah yang akan keluar. Rafeez turun dari kereta. Tunak pandangan Tengku Raziq saat memandang anak bongsunya. Dua tahun tidak pernah bertemu, sekarang Rafeez sudah berada di depan matanya.

"Hmm... Baba ingatkan Raf dah tak sudi nak jejak rumah baba lagi," suara Tengku Raziq memasuki gegendang telinganya. Tegas.

"Nak jumpa bonda," jawab Rafeez selamba. Dia masih lagi menyimpan sakit hati kepada babanya. Ketika itu dia terpandangkan bonda yang sedang berdiri di muka pintu. Tengku Adihah menitiskan airmatanya apabila terpandangkan Rafeez. Rafeez pantas berjalan ke arah bondanya. Tangan bonda diciumnya dan juga dia memeluk tubuh bondanya.

Tengku Adihah pantas menarik tangan Rafeez masuk ke dalam rumah. Rafeez sanggup balik menjenguknya, jadinya kedatangan Rafeez sudah terlalu mahal untuknya.

"Bonda rindukan Raf," kata Tengku Adihah. Dia mengusap muka Rafeez.

"Kenapa tak cakap nak balik. Boleh bonda masak sedap-sedap," Tengku Adihah masih lagi tidak berkalih matanya memandang Rafeez.

"Nantilah."

"Bila nak bawa balik menantu ke rumah baba?" tanya Tengku Razil.

Rafeez juih mulut. Macam tak ada hal lain pula yang mahu diutarakan oleh babanya itu. Asyik-asyik menantu sahaja yang disebutnya sejak dulu.

"Raf tak ada perempuan yang nak dijadikan isteri," selamba menjawab kepada babanya. Mukanya itu tidak dikalihkan kepada babanya.

"Kalau macam tu, ini kali terakhir Raf balik sini. Selagi tak bawa balik menantu untuk baba dan bonda, jangan harap Raf boleh balik ke sini,"

"Abang!" Tengku Adihah terjerit.

Rafeez bangun. Masih lagi masalah yang sama. Dia sudah jelik.

"Kalau nak menantu kenapa baba sanggup buat macam tu dekat Raf. Baba pun tahu kan siapa perempuan tu dalam hati Raf." Rafeez mengetap giginya. Setiap kali bertemu babanya, mereka hanya bertengkar dengan perkara yang sama saja.

"Perempuan tu kakak ipar kamu Raf. Lupakan dia!" Tengku Raziq menjerkah.

Baru sahaja Rafeez mahu menjawab dia terdengar gelak ketawa yang baru masuk ke dalam villa babanya. Mata Rafeez tidak berkelip memandang perempuan sedang mendukung anak kecil. Tangan abangnya yang sedang berada di pinggang perempuan itu, amat menyakitkan hatinya. Diam bagaikan terhentinya mesin masa. Daniela pula terkejut melihat Rafeez yang berada di depan matanya. Rasa bersalah kembali lagi.

"Raf bila balik?" tanya abangnya, Razuan. Rafeez tidak menjawab.

"Bonda, Raf balik dulu..." kata Rafeez sambil memegang tangan bondanya. Dia terus berpusing tanpa bersalam dengan baba dan abangnya. Ketika Rafeez masuk ke dalam kereta dia terlihat Daniela berada di muka pintu sambil mendukung anaknya.

ISTERI ATAS KERTASWhere stories live. Discover now