MUKA masam Abyana Ruzda hanya dipandang saja oleh Norly. Sejak akhir-akhir ini dia perasan air muka Abyana Ruzda berubah jika Rafeez ada di sini. Dahulu cukup payah mahu melihat muka yang cemberut daripada Abyana Ruzda. Sentiasa manis. Mahu menegah Rafeez supaya jangan datang, rasanya itu akan membuatkan dia dan Rafeez jauh semula.
"Raf ada buat apa-apa kat Abby ke?" tanya Norly. Ketika itu dia melihat Abyana Ruzda sedang melayan pelanggan. Rafeez berkalih memandang kakaknya.
"Ingat Raf kebulur sangat ke," Rafeez menjuih.
"Mana tahu. Raf cuba nak cabul dia atau kata apa-apa yang buat Abby terasa?" Norly masih tidak puas hati.
"Gila ke apa nak cabul orang! Raf ni bagi orang pinjam duit aje. Tapi, tak adalah sampai nak cabul atau rogol orang." Rafeez mengetap bibir. Bengang dengan kakaknya. Norly gelak kecil apabila memandang muka Rafeez yang merah.
"Bersungguh betul, Raf. Baguslah kalau tak buat apa-apa,"Norly gelak sekali lagi.
Rafeez memandang Abyana Ruzda yang masih lagi melayan pelanggan. Sengaja dia datang ketika hari gaji Abyana Ruzda. Untuk mengingatkan dia supaya membayar hutangnya. Dia tahu punca muka Abyana Ruzda masam. Tentulah apabila melihat dirinya yang ada di sini.
"Tapi... akak tak tahu kenapa setiap kali Raf datang sini, mesti asyik tengok Abby. Dah dua kali kut akak tanya. Raf sukakan Abby ke?" tanya Norly lagi.
"Kalau berpuluh kali pun akak tanya, the answer is always no. Janda tak sepadan dengan anak teruna." Rafeez menjegil kakaknya. Rasa seperti dia anak teruna yang tidak laku dengan anak dara bila kakaknya itu asyik bertanya tentang Abyana Ruzda yang janda.
"Hmm... tak salah Raf kalau janda pun. Asalkan hati baik. Anak dara pun belum tentu ada hati yang baik macam Abby tu. Lagipun, ramai zaman sekarang anak dara atas nama saja. Dara dah hilang entah ke mana," Norly menolak buku ke hujung mejanya.
"Dahlah malas cakap dengan akak lagi." Rafeez bangun. Dia menyeluk poket seluar jeannya. Gayanya itu persis seorang model sedang menggayakan baju. Dengan dada dan bahu yang lebar. Adiknya itu terlalu macho di depannya.
"Macam manalah Daniela boleh tinggalkan Raf ya..." kata Norly.
"Akak... memang melampau," jerit Rafeez. Norly bukan kira jika mahu berkata apa-apa. Ikut suka dia saja. Orang sakit hati itu belakang kira. Jika ada yang terasa hati dengan kata-katanya, Norly cepat sahaja meminta maaf.
"Cari perempuan yang lebih baik, cantik dan hebat daripada Daniela. Kalau masih sendiri, hati Raf tak akan tenang sampai bila-bila. Sekurang-kurangnya jika sudah berkahwin boleh juga tunjuk Raf berbahagia meskipun ditinggalkan." Norly sengih.
"Senang akak cakap..." Rafeez menjuih lantas menapak.
Rafeez mendakap diri sambil menyandar di rak buku. Ralit memerhati Abyana Ruzda yang sedang melayan pelanggan yang sudah selesai membeli buku. Abyana Ruzda menoleh ke arah Rafeez yang sedang berdiri bak model buku.
"Encik, tak payah datang sinilah. Saya tahulah apa yang saya perlu buat." Abyana Ruzda mengetap bibir. Kalaulah Norly perasan dia dan Rafeez sudah kenal lama, dia takut Norly akan memecatnya. Mana tahu, dikatanya dia mahu menggoda adiknya yang kacak ini. Aik... kau mengaku dia kacak Abyana Ruzda. Kau tak serik selepas dikenakan oleh Wazir.
"Kau tengok WhatsApp yang aku hantar. Aku nak kau datang kemas pejabat aku semula. Aku cari barang-barang penting tak jumpa sebab susun aturnya sudah berubah. Aku tahulah kau minat bab susun-susun buku ni. Tapi, kena ikut kehendak pemiliknya," Rafeez angkat keningnya. Abyana Ruzda menjegil.
"Kau menjegil tak kena dengan akulah. Pendek." Rafeez gelak selepas berkata begitu. Kepala Abyana Ruzda hanya setakat dadanya sahaja. Jegilan itu tidak sampai tepat ke matanya. Sengaja mahu menyakitkan hati Abyana.
Kalaulah tidak difikirkan title yang dipegangnya sekarang, mahu saja dia menyepak kaki Rafeez. Dia perlu menjaga titlenya itu sebaik yang mungkin. Tidak mahu ada persepsi buruk. Memegang gelaran janda, lebih teruk daripada anak dara. Silap langkah sikit. Mulalah akan berbunyi 'janda tu gatal' , 'janda hanya tahu kacau laki orang'.
"Sebelum kau masuk kerja dengan akak aku, kau kerja dengan aku dulu." Rafeez melangkah pergi.Matanya hanya menghantar langkah Rafeez dengan penuh kegeraman.
"Raf cakap apa dengan, Abby?" tanya Norly. Matanya bukan buta apabila dia melihat Rafeez melangkah ke arah Abyana Ruzda tadi. Hati dan matanya kuat mengatakan Rafeez datang ke sini untuk bertemu dengan Abyana Ruzda. Nak dikata mereka berdua bercinta, tidak mungkin. Sebab setiap kali bersembang kedua-dua mereka nampak tegang.
"Dia tanya pasal buku." jawab Abyana Ruzda cepat.
"Pelik... budak tak suka membaca itu tanya pasal buku..." Norly menggelengkan kepalanya. "Buku apa. Abby?"
Abyana Ruzda telan liur. Ah! Buku apa yang patut dia cakap.
"Buku tentang bagaimana nak menghalang diri daripada marahkan orang." Abyana Ruzda mereka cerita. Tidak terlintas tajuk-tajuk buku ilmiah dan motivasi dibenaknya.
Norly menggelengkan kepalanya lagi. Macam-macam pula Rafeez sekarang.