ABYANA RUZDA mundar-mandir di dalam biliknya. Matilah dia macam ni. Bukan setakat kad pengenalannya malah surat beranak dan juga Mykid Arwa pun diambil. Kalau tidak membabitkan Arwa, lagi sekali dia akan melarikan diri. Dulu dia boleh sembunyikan diri tanpa dikesan. Tentulah kali ini pun dia mampu. Mahu menelefon Nomi, Abyana Ruzda menggigit bibir geram apabila teringatkan telefonnya yang diambil oleh Encik Lintah Darat.
Matanya itu hanya memandang sahaja kalendar yang telah ditandanya. Esok adalah hari bayarannya. Kalau semua gaji dia diberikan kepada mereka apa yang Arwa dan dia akan makan. Nasiblah rumah ini majikannya yang membayar sewa. Pening kepala betul. Deringan telefon yang nyaring itu mengejutkannya. Tidak lain tidak bukan adalah lelaki itu. Abyana Ruzda membiarkan deringan itu. Macamlah aku nak larikan diri.
Tiba-tiba kedengaran pagar rumahnya itu kedengaran diketuk. Abyana Ruzda berlari ke arah tingkap. Lelaki sado itu sudah berdiri di depan rumahnya. Lambat-lambat dia menyarungkan tudung ke kepalanya.
"Tarikhnya esok, kenapa malam pun ganggu orang," kata Abyana Ruzda. Dia memandang lelaki sado tersebut. Lelaki itu berdeham seketika.
"Kalau harap dia, memang dia tak datang ke sini," cermin tingkap itu terbuka diikuti dengan suara garau itu. Sharin telan liur. Benar kata Rafeez dia tidak sampai hati kerana bukan salah perempuan di depannya ini. Abyana Ruzda tunak memandang Rafeez.
"Encik Lintah Darat, saya tak akan larilah. Tak perlu datang cari saya sampai ke sini. Ini kampung. Nanti tak pasal-pasal timbul fitnah pula."
Encik Lintah Darat!.Sharin tahan senyuman. Takut-takut perempuan ini pun, dia boleh menggelar Rafeez, Encik Lintah Darat. Memang tak makan saman sungguh.
"Nak fitnah apanya. Kau kat dalam kita orang kat luar. Aku datang sebagai amaran kau kena bayar esok,"kata Rafeez tidak berperasaan. Geram sebenarnya dengan kebodohan perempuan yang membiarkan dirinya diperguna oleh suami sendiri.
"Habis saya nak makan apa, kalau saya bagi semua gaji saya,"
"Itu aku tak tahu. Apa yang aku tahu aku nak kau bayar esok," katanya lagi menutup cermin tingkap kereta. Sharin masih statik di situ. Memandang muka Abyana Ruzda yang suram.
"Kau nak tinggal dengan dia di sini ke!" jerkah Rafeez membuka tingkap semula. Mukanya bengis memandang Sharin dan Abyana.
Barulah Sharin beredar selepas jerkahan itu. Abyana Ruzda memandang kereta tu hingga hilang dari pandangannya.
"KAU ni kenapa?" tanya Rafeez kepada Sharin.
"Kita tak pernah hadapi lagi kes dengan perempuan. Saya kasihankan dia..." jawab Sharin jujur.
"Aku dah cakap dulu, nak buat kerja ni hati kena keras," ujar Rafeez.
"Bos kalau kita berhenti daripada buat kerja ni. Kita tumpu kat..." Sharin tidak jadi meneruskan kata. Rafeez tidak bersuara, itu yang membuatkan dia rasa dia tidak patut meneruskannya. Rafeez sakit hati, mereka semua yang terpaksa menanggungnya.
Rafeez bukanlah lelaki kejam. Tapi, orang membuatkan dia jadi tak berperasaan itu kejam. Sudahnya dia menceburi bidang kejam ini. Jika dia di tempat Rafeez dah lama dibunuhnya perempuan tersebut. Sampai hati sungguh. Bercinta bagai nak rak, tiba-tiba dipilihnya abang kekasih sendiri. Semua orang tahu hakikat itu. Tapi, abangnya yang buat tidak tahu. Sanggup melukakan hati adik sendiri. Mungkin itu yang lebih mnegecewakan hati Rafeez.
"Kau fikir pasal aku ke?" tanya Rafeez mengerling ke arah Sharin.
"Tak... tak..."
"Aku kenal kau dah lama Shar. Sejak ayah bawa kau balik ke rumah. Sejak tu kita rapat," kata Rafeez.
"Kalau dah tahu saya tak mahu ulas apa-apa pun." Kata Sharin.
Nanti kalau dia bercerita pasal hal lama , Rafeez mengamuk pula. Lebih baik jawapannya begitu.
"Aku tak pernah menghilangkan rasa sakit hati aku. Biar ada di situ. Jika aku tak sakit hati, aku takut aku tak dapat teruskan hidup aku. Jadi aku minta sangat jangan tanya atau suruh aku lupakan sakit hati aku," kata Rafeez. Dengan Sharin dia tidak pernah menyembunyikan perasaannya. Cuma dia bimbang Sharin akan menyuruh dia melupakan hal tersebut.
"Saya memang selalu fikir pasal hal ni, dan juga pasal kerja kita ni," kata Sharin.
"Kau ni bimbang buat apa. Kita ni berlesen dan kita tak pernah memperlakukan orang macam geng lintah darat lain," kata Rafeez. Tiba-tiba dia ketawa kuat. Lintah darat! Ini semua perempuan itu punya pasal yang suka sangat sebut lintah darat. Sekarang dia sudah terbawa-bawa dengan perkataan itu. Sharin terpinga-pinga melihat bosnya itu sedang gelak. Mahu ikut gelak sekali, dia tidak tahu punca.
"Tak pernah aku dengar orang panggil kita secara berdepan dengan nama lintah darat. Nak sebut kuat-kuat pun tak berani," kata Rafeez.
Barulah Sharin faham apa yang membuatkan Rafeez tergelak. Hmm... Rafeez sudah boleh ketawa walau dengan hanya perkara remeh.
"Perempuan ni kes yang terakhirkan. Tak ada dah orang yang datang pinjam duit?" tanya Rafeez mahu mengesahkan dengan Sharin.
"Ada lagi, tapi jumlah pinjamannya kecil saja. Kebanyakannya dah nak habis bayar. Perempuan nilah yang paling banyak sekali," beritahu Sharin.
Rafeez hanya mengangguk.