Bab 5

6.4K 126 4
                                    


"BOS... Saya dah jumpa perempuan tu," beritahu Sharin. Hari ini dia baru berpeluang bertemu muka dengan bosnya itu. Sentiasa sibuk meskipun hidupnya hanya goyang kaki saja. Apa yang dia sibukkan Sharin sendiri tidak tahu. Bekerja sendiri tentulah tak sibuk. Ikut waktu sendiri. Arkitek bebas macam bosnya itu memang banyak masa terluang.

"Jumpa dah! Aku nak tanya dah berapa lama kau cari dia!" jerkahnya kepada Sharin. Sharin yang sado itu agak tersentak dengan suara kuat bosnya itu.

"Dua tahun lebih bos," jawabnya dalam rasa yang cuak sekali. Satu-satunya kes yang tidak dapat pulangan wang semula. Malahan menanggung kerugian. Sharin menggaru kepalanya.

"Harap badan saja ada six pax, tapi nak cari seorang perempuan seorang pun tak jumpa," ejek bosnya itu sambil menggelengkan kepalanya. Lelaki itu duduk di ats kerusi kulit yang berwarna koko gelap itu. Sharin telan liur.

"Dia licik bos..." jawab Sharin.

"Kalau macam tu aku ambil dia kerja dengan akulah. Senang cerita. Sebab dia licik daripada kau dengan kawan-kawan kau," sinis lelaki itu membalas. Lagi sekali terkena. Sharin tiada rasa marah kerana itu memang salahnya yang terlalu memandang rendah dengan seorang perempuan. Sudahnya selepas dua tahun lebih, dia jumpa dengan 'kes'nya itu semula. Sakit hati sebenarnya ketika berjumpa semula dengan perempuan tersebut. Mahu saja dia heret perempuan itu waktu itu juga. Tetapi, ketika itu orang terlalu ramai. Nanti mengundang bahaya kepada dirinya pula.

"Kau jumpa dia kat mana?" tanya bosnya lagi. Rokok di tangan disedut perlahan. Lalu menghembus asapnya ke atas.

"Pengkalan Chepa," beritahu Sharin.

"Sedekat ini." Lelaki itu menggelengkan kepalanya sekali lagi. Matanya tunak memandang Sharin.

Masuk kali ini sudah tiga kali cuak. Matilah dia kali ni. Habislah reputasi sadonya itu.

"Nasib baiklah kita pindah ke sini ya. Kalau tak sampai mati kau tak akan jumpa dia. Laki dia kau jumpa tak?" tanyanya lagi.

"Laki dia hilang dari radar terus. Dah laki dia letak nama peminjam nama perempuan tu, buat apa nak cari laki dia," jawab Sharin.

"Aku nak kau cari perempuan licik tu, tapi bodoh dan bawa dia ke sini," arah bosnya itu.

"Lagi satu, aku rasa laki dia pun kau kena cari juga. Jantan macam tu, bukan boleh bagi muka," katanya. Telunjuknya itu dihalakan ke arah Sharin.

"Baik bos," Sharin sudah sengih sampai ke telinga.

"Jangan sengih lagi Shar, nanti kau dilicikkan sekali lagi oleh perempuan tu baru kau tahu," ejek bosnya.

Sengihan Sharin mati serta-merta. Kali ini dia akan rancang betul-betul. Perempuan itu dan anaknya itu akan dibawa juga ke markas mereka ini. Sebenarnya ini bukan markas, tapi lebih kepada villa mewah. Dek kerana villa ini jauh ke dalam kampung tiada siapa yang berani ke sini. Lagipun, siap ada kawalan keselamatan lagi.

"Bos... tak mahu balik ke rumah baba bos ke?" tanya Sharin. Meskipun, kadang-kadang angin bosnya ini macam ribut taufan, tapi hati dia memang baik.

Lelaki itu memandang Sharin. Bukan jegilan, tapi pandangan yang sukar dimengertikan.

"Kau tanya aku setelah beberapa lama," katanya.

"Mana tahu bos rindukan mereka," kata Sharin lagi.

"Rindu? Mereka rindukan aku pun tak," ujar bosnya itu sambil memusingkan kerusi itu membelakangkan Sharin.

Sharin diam. Kasihan pula apabila dia bertanyakan soalan tersebut. Tapi, dia perlu jernihkan hubungan mereka. Bukan salah bosnya itu semua perkara itu terjadi. Mahu salahkan siapa?

Kasihan melihat dia mengalah hanya kerana seorang perempuan dan kerana arahan daripada babanya. Terluka , namun dia tetap meneruskan hidup. Sebab itulah, dia dengan senang hatinya mengikut bosnya ini tanpa mempedulikan mereka.

"Kau jangan masuk campur lagi dengan mereka semua. Aku tak nak kau hubungi mereka," lunak bosnya itu memandang Sharin.

"Tak... tak bos. Saya tak pernah hubungi mereka pun walaupun kita duduk dekat aje dengan mereka," tergagap-gagap Sharin menjawab apabila amaran keras itu keluar dari bibir bosnya itu.

"Kalau kau tipu aku, tahulah kau," kata bosnya itu sambil menudingkan jarinya. Dia tahu Sharin masih lagi menghubungi bondanya. Tahu sangat perangai Sharin yang selalu melebih-lebihkan bondanya itu. Sebab itulah dia tergagap-gagap tadi. Tapi, amarannya itu lebih kepada abang dan babanya. Tidak mahu lagi mereka semua mencampuri urusannya.

Siapa tak sakit hati apabila perempuan yang paling dicintai beralih arah kepada abangnya. Babanya juga menyokong abangnya itu dengan meminang perempuan tersebut. Tetapi, memang tidak sangka cinta perempuan itu beralih arah dalam sekelip mata. Ah! Tak perlu ingat lagi perempuan curang macam dia.

Babanya menetapkan syarat, jika mahu mewarisi kekayaannya itu mereka semua perlu berkahwin. Dia hanya mahu berkahwin walaupun tanpa apa-apa, sayangnya dia dan perempuan itu tidak seiring iramanya. Sudahnya dia terus terbuang di sini. Bukan terbuang, tetapi dia yang membuangkan dirinya jauh ke dalam kampung ini.

ISTERI ATAS KERTASWhere stories live. Discover now