Bab 7

6.3K 123 2
                                        


LELAKI itu berdeham beberapa kali sebelum dia memandang Abyana Ruzda semula.

"Kau tahu bunga hutang kau dah melebihi setengah juta. Dua tahun lebih itu bukan waktu yang singkat tahu. Aku nak kau bayar dulu separuh," ujarnya sambil matanya itu tunak memandang Abyana Ruzda lagi.

Abyana Ruzda jatuh terduduk apabila mendengar setengah juta itu. Jangankan sepuluh ribu, lima ribu pun belum tentu ada. Inikan pula kena bayar separuh dulu. Itu lagilah dia tak ada. Abyana Ruzda terus menangis. Sampai hati Wazir kenakan dia hingga begini. Aku tak akan maafkan kau sampai aku mati, Wazir.

"Encik Lintah Darat bunuhlah saya. Saya tak ada duit nak bayar," kata Abyana Ruzda sudah tiada daya mahu fikir lagi. Kepalanya sudah tepu.

Lagi-lagi nama lintah darat itu yang digelarnya. Bonda dan babanya bagi nama sedap dipanggilnya lintah darat. Sekarang minta dia jadi pembunuh pula. Memang tak makan saman sungguh perempuan ni.

"Shar... masuk!' jeritnya dari dalam. Abyana Ruzda dibiarkan menangis. Perempuan pula senjatanya hanya airmata saja. Itu saja yang mereka dapat buat.

Sharin pantas melangkah masuk ke dalam bilik itu. Dia memandang Abyana Ruzda yang sedang menangis. "Apa yang bos buat dekat dia?" tanya Sharin. Walaupun mereka bagi orang pinjam duit, tapi mereka tidak pernah buat apa-apa yang menyalahi undang-undang. Lesen mereka bukan lesen untuk mengenakan orang.

"Kau ingat aku kebulur sangat ke?" matanya dijegilkan ke arah Sharin.

"Kau ambil kad pengenalan dan telefon dia. Nah, ni telefon baru. Kau, jangan berani nak larikan diri lagi. Kalau tak, anak kau aku jual," kata lelaki tersebut. Abyana Ruzda terhenti tangisnya bila Arwa dibabitkan sekali.

Beg tangan Abyana Ruzda sudah diselongkar Sharin. Kad pengenalan dan telefon Abyana Ruzda diserahkan kepada bosnya. Abyana Ruzda hanya memandang sahaja telefon baru yang berada di tepinya.

"Aku nak kau bayar hutang dengan semua duit gaji kau. Bermula bulan depan," kata lelaki tersebut tanpa memandang Abyana Ruzda. Lagi kuat Abyana Ruzda menangis. Kalau semua duit gajinya perlu dibayar, macam mana dia dengan Arwa nak hidup.

"Bos..." panggil Sharin.

Bos Sharin memandang Sharin. Sharin diam.

"Bawa dia keluar dari sini," arahnya lagi. Tidak mahu mendengar lagi tangisan Abyana Ruzda. Menyakitkan hati apabila mendengar tangisan perempuan. Teringat peristiwa lama, apabila wanita tercintanya itu menangis memberitahu dia terpaksa memilih abangnya. Perempuan memang tak berguna.

Dia hanya memandang dari tingkap melihat Sharin membawa perempuan tersebut keluar dari rumahnya. Dan dia juga terpandang seorang budak perempuan memakai unifom berwarna hijau berlari ke arah perempuan tersebut. Perempuan itu bodoh kerana membiarkan dirinya diperguna oleh suami sendiri. Sudahnya diri sendiri yang susah.

SHARIN melangkah masuk ke dalam rumah bosnya. Disuruhnya Man mengekori Abyana Ruzda dari belakang. Dilabuhkan duduk di atas kusyen. Pening kepala dengan peminjam perempuan ini. Tidak pernah sekalipun selama ini mereka berhadapan dengan peminjam perempuan. Ingatkan bila namanya perempuan senanglah nak uruskan, rupanya terlalu susah. Susah disebabkan rasa kasihan. Kerana wanita layaknya perlu dihormati.

"Kau masih fikir pasal perempuan tadi?" tanya bosnya itu. Dia duduk di kerusinya semula.

"Betul ke kita patut buat macam ni?" tanya Sharin.

"Kau dah jemu ke?" tanyanya.

"Saya... saya...."

"Rafeez!" namanya itu dilaung bagaikan halilintar.

Pantas kedua-dua mereka menoleh. Muka bengis perempuan bertudung cantik membuatkan mereka berdua bangun berdiri. Perempuan itu melangkah ke arah mereka.

"Aisy, bingitlah akak," kata Rafeez sambil menutup telinganya. Suara itu sedari kecil lagi sudah kuat begitu.

"Shar cakap Raf tak pergi luar negara pun. Kami semua ingatkan Raf memang ada kat luar negara," kata kakaknya itu.

"Biar betul Shar tak hubungi bonda." Rafeez menoleh memandang Sharin. "Aku salute kaulah, Shar. Ni buat aku bertambah sayang dekat kau," sambung Rafeez.

"Sakit hati betullah dengan Raf. Kalau ya pun kecewa kenapa sembunyikan dari akak." Ujar Norly.

"Jangan sebut pasal hal dulu lagi. Raf tak nak dengar,"

Norly tiba-tiba memeluknya. Rafeez membalas pelukan kakaknya itu. Ini tentu Sharin punya kerja. Tentu dia yang pergi cari Norly.

"Jangan marahkan Shar. Dah dia sayangkan Raf sebab tu dia pergi cari akak," kata Norly. Dia memandang sekeliling ruang tamu rumah adik bongsunya ini. Terlalu pandai menyembunyikan diri. Sampaikan baba menganggap dia keluar negara kerana kecewa. Selepas itu Rafeez disuruh kahwin jika mahu pulang semula ke rumah babanya. Mana mungkin dia ada calon kerana calonnya itu beralih arah kepada abang sendiri. Sudahnya dia membawa diri.

"Akak rindukan Raf. Bonda pun rindu," kata Norly.

"Sebab tulah Raf tak suka perempuan. Emo lebih. Sikit-sikit sebut rindu. Macam tak ada perkara lain nak cakap," ujar Rafeez.

Norly menjuihkan bibirnya. Dia pandang Rafeez lagi.

"Sampai hati cakap bonda macam tu..." kata Norly.

"Bonda tak termasuk sekali. Ini kali pertama dan terakhir akak datang sini. Jangan datang lagi." Rafeez memberi amaran. Dia menudingkan jari kepada kakaknya.

"Dan kau, Shar aku belum berkira lagi dengan kau," tuding Rafeez kepada Sharin pula.

Norly tidak mempeduli amaran adiknya itu, sebaliknya dia terus ke dapur. Mahu melihat rumah bujang adiknya. Rafeez lantas membuntuti kakaknya. Rafeez berdiri di muka pintu dapur.

"Akak memang tak sangka, Raf . Selama ini Raf di sini. Raf buat apa sekarang?" tanya Norly.

"Jadi lintah darat." Jawabnya jujur.

Norly membeliakkan matanya ke arah Rafeez. Terkejut. Rafeez tidak pernah main-main ketika bercakap. Rafeez hanya jongketkan bahunya. Tanda dia tidak berbohong.

"Dah berapa orang Raf bunuh?" tanya Norly laju. Takut dan bimbang adiknya itu membunuh orang. Dia tahu bagaimana kerjanya sebagai lintah darat itu. Bagi pinjam duit dengan mudah, tapi dengan kadar bunga yang tinggi. Rafeez gelak kuat apabila mendengar perkataan membunuh itu.

"Perempuan... perempuan... Asal jadi lintah darat saja nak membunuh. Macam tak ada benda lain yang boleh dibuat. Raf bukan sekejam tulah," kata Rafeez. Teringat perempuan tadi. Itupun sama juga fikirannya.

Norly urut dadanya. Lega apabila Rafeez berkata begitu. Tapi itu tidak bermakna dia menyokong apa yang Rafeez lakukan sekarang.

"Tak ada kerja lain ke, Raf?" tanya Norly sambil memeluk lengan Rafeez dan mereka berjalan keluar ke halaman belakang.

"Banyak kerjanya. Boleh tak kalau akak tak masuk campur urusan Raf," Rafeez berhenti dari berjalan.

"Okey... okey..." Norly mengalah. Adiknya itu tidaklah sekejam mana.

ISTERI ATAS KERTASTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang