ABYANA RUZDA menggelengkan kepalanya berkali-kali. Selepas ini dia tidak dapat melarikan diri lagi daripada lelaki itu. Pertemuan mereka berdua dia kedai buku Norly menyenangkan lagi kerja Rafeez. Mahu berhenti kerja, tapi ke mana dia mahu pergi selepas itu. Selepas bertemu Rafeez di situ, lelaki itu kerap datang apabila tiba waktu gajinya. Dia tahu lelaki itu datang dengan alasan mahu berjumpa dengan kakaknya, tapi mata itu selalu saja memandangnya.
"Abby, tolong susun buku-buku tu di rak sana. Kak Norly sibuk tak boleh tolong Abby," beritahu Norly sambil meneruskan kerjanya. Apabila buku baru masuk, Norly memang sibuk sedikit.
Abyana Ruzda pantas saja mengangkat kotak yang berisi buku ke atas troli kecil. Dia sudah terbiasa mengangkat kotak berat.
"Kalau kerja buruh pun mesti kau mampu kan," kata Rafeez yang sejak tadi ada di situ.
"Nak cari duit. Saya ni bukan duduk goyang kaki sambil ambil duit bunga daripada orang," Abyana Ruzda menutup mulutnya. Ah! Mahu berpatah balik dengan kata-katanya itu tidak mungkin. Abyana Ruzda memicit mulutnya dengan kuat. Dia menolak troli ke rak yang ditunjukkan oleh Norly tadi.
"Amboi, sedap kau mengata aku!" Rafeez mengetap giginya. Dia membuntuti Abyana Ruzda. Perempuan ini berhutang dengannya, tapi mulutnya itu memang tiada insurans.
Abyana Ruzda menyusun buku-buku yang telah dikeluarkan dari kotak. Mengira jumlah buku supaya sama dengan jumlah yang berada di dalam kertas di depannya.
"Kau rasa dah lama kau hidup?" tanya Rafeez. Dia menyandar di rak buku berhadapan dengan Abyana Ruzda. Dia lebih senang menguruskan hutang perempuan ini sendiri. Biar Sharin uruskan hutang-hutang lain.
"Mati itu pasti, encik lintah darat. Tapi, saya rasa nak hidup lagi lama, jika diizinkan Allah." Balas Abyana Ruzda. Takut, tapi kena pura-pura berani. Boleh pakaikah caranya itu? Dalam dadanya berdegup kencang bila bersoal jawab dengan lelaki lintah darat ini. Sudahlah kacak. Buat jantung lagi berdebar-debar bila pandang wajahnya.
" Kenapa Raf kacau Abby nak buat kerja ni? Tak ada kerja lain ke, Raf?" tanya Norly yang hairan betul dengan adiknya. Setiap kali hujung bulan dia sedar Rafeez akan sampai ke kedai bukunya. Bagaikan lintah darat menuntut hutang pula.
"Kalau ada kerja takkanlah Raf nak tercongok kat sini," sahutnya sambil mengerling ke arah Abyana Ruzda yang telah menyusun buku di rak buku.
"Ataupun, Raf nak mengurat Abby," kata Norly selamba.
"Erk... janda ni mana padan dengan anak teruna suci macam Raf ni." jawab Rafeez cepat. Abyana Ruzda pantas menoleh ke arah Rafeez. Sinisnya. Dia sedar diri, dan dia pun tak ingin nak jadi isteri sesiapa. Lebih-lebih lagi anak teruna. Meskipun hati meronta-ronta nak? Abyana Ruzda menggelengkan kepalanya. Lagi-lagi itu yang difikirkannya.
"Eh, bila pula akak ada cakap Abby ni janda," Norly memang yakin dia tidak pernah cakap kepada sesiapapun bahawa Abyana Ruzda adalah janda. Berubah muka Rafeez. Abyana Ruzda memandang muka Rafeez yang kelat. Padan muka! Abyana Ruzda terasa ingin melompat-lompat apabila Rafeez terkena.
"Tengok pun tahu dah, dia ni janda. Anak dara punggung melentik. Ini..." Rafeez menjuihkan bibirnya sambil memandang Abyana Ruzda. Matanya itu tepat ke arah punggung Abyana Ruzda.
"Amboi, sampai ke situ Raf tengok ya. Memang melampau," Norly menolak tubuh sasa adiknya. Rafeez yang tidak bersedia dengan tolakan tersebut, menyenget ke arah Abyana Ruzda. Abyana Ruzda yang sedar tentang itu terus bergerak ke arah kiri. Rafeez hampir terjatuh, tapi dia lebih pantas memegang pergelangan tangan Abyana Ruzda. Abyana Ruzda terus merentap tangannya selepas Rafeez berdiri tegak semula.
Norly mengelengkan kepalanya melihat aksi tersebut.
"Abby, jangan ambil hati dengan adik Kak Nor ni. Dia memang sesedap mulut saja mengata orang." Kata Norly.
"Taklah Kak Nor, Abby okey aje," balasnya.
Kerja menyusun buku sudah selesai. Abyana Ruzda meminta izin kepada Norly untuk menjemput Arwa. Abyana Ruzda mengambil topi keledarnya. Dia berlalu ke arah skuternya.
"Baik-baik bawa motor dan jaga elok-elok anak tu..." suara Rafeez kedengaran mengambil berat, tetapi sebenarnya ada maksud tersirat. Abyana Ruzda menjuih sebelum mengenakan topi keledar. Dia memandang sekilas ke arah Rafeez yang sudah masuk ke dalam kereta Range Rovernya.