Bab 3

7.7K 137 4
                                    

ABYANA RUZDA menutup pintu rumahnya. Sakit hati apabila cat merah itu memenuhi ruang depan rumahnya. Malu kepada jiran tetangga. Rupanya Wazir telah merancang dengan elok sekali. Borang poligami itu disertakan dengan borang pinjaman dengan lintah darat. Tentunya dia yang menjadi penjamin. Sudahnya selepas dua bulan Wazir menghilangkan diri, ada beberapa orang lelaki datang ke rumah mencarinya. Apabila Wazir menghilangkan diri, dia pula yang dicari oleh lintah darat itu. Ingatkan dia sudah terlepas daripada mulut harimau, tetapi sebenarnya dia menempah kandang buaya pula. Berbakul-bakul dia menyumpah Wazir. Selang seminggu lelaki-lelaki yang berbadan besar itu datang lagi. Mengetuk pintu rumah.

"Kamu larilah Abby. Tak payah tinggal sini lagi," cadang Nomi. Dia kasihan melihat Abyana Ruzda yang terganggu kehidupannya.

"Ke mana saya nak lari Kak Nomi. Saya tak mahu susahkan ibu mentua saya kat kampung tu. Sudahlah saya ni tak pernah langsung balik melawat dia lepas kahwin. Wazir yang tak mahu balik. Saya ni menantu tak kenang budi. Lupakan orang tua tu lepas kahwin dengan anak dia." Ujar Abyana Ruzda.

"Kamu ni Abby anak dia susahkan kamu buat apa pula kamu tak nak minta tolong dia," kata Nomi sambil menggelengkan kepalanya. Kalau dia di tempat Abyana Ruzda sudah lama dia mengadu dengan mentua tentang perangai anaknya itu. Bukan dia tidak tahu, Wazir itu selalu memukul Abyana Ruzda dan juga kadang-kadang sahaja nafkah diberikan kepadanya. Selepas habis belajar terus berperangai macam jantan dayus. Tak ingat kesusahan isteri menyara dia semasa dia belajar.

"Mak mentua saya tu bukannya orang senang. Dah tua pula tu , Kak Nomi. Kesian dia. Nanti menyusahkan dia pula," kata Abyana Ruzda. Sudahlah hidup seorang diri saja di rumahnya.

"Tapi, bila sampai tahap lintah darat cari sampai ke rumah macam ni. Memang patutlah kamu beritahu dia," Nomi masih lagi tidak puas hati dengan jawapan Abyana Ruzda. Baik sangat sampaikan laki selalu pukul pun Abyana Ruzda masih diamkan. "Kamu tak kesiankan Arwa ke? Trauma dia nanti. Kecil-kecil dah kena ugut dengan lintah darat," kata Nomi lagi.

"Saya boleh sembunyi di tempat lain Kak Nomi. Tapi, bukan di rumah mentua saya. Saya tak mahu susahkan dia," kata Abyana Ruzda. Biarlah ibu mentuanya tidak tahu apa-apa. Tidak tahu perangai Wazir macam mana.

"Kalau kamu nak lari. Kak Nomi akan tolong kamu," kata Nomi sudah menawarkan pertolongannya.

Tiba-tiba pintu pagar rumah Nomi diketuk berkali-kali. Nomi menyelak langsirnya. Lantas menutupnya semula dengan cepat. Abyana Ruzda sudah tahu dari pandangan Nomi itu. Tentu lintah darat itu datang lagi.

"Macam mana ni Kak Nomi?" tanya Abyana, terketar-ketar tangannya itu. Tidak pernah sekalipun dia bertembung dengan lintah darat tersebut. Sekarang bila tahu mereka sudah mengganggu hingga ke rumah jiran, ini sudah lebih. Nomi pula terlebih berani apabila dia membuka pintu.

"Ada apa encik?" tanya Nomi. Dia memandang tiga orang lelaki yang berbadan sado tersebut.

"Jiran tu ada kat rumah tak?" tanya lelaki sado tersebut.

"Tak tahu, encik. Jiran saya tu tak pernah keluar rumah. Dengan saya pun tak pernah cakap. Sewel kut jiran saya tu..." Nomi menambah cerita.

Ketiga-tiga lelaki tersebut saling berpandangan. Tanpa kata mereka bertiga melangkah ke kereta. Nomi hanya memandang saja ketiga-tiga lelaki tersebut. Nomi terus menutup pintu.

"Ish, melayu rupanya lintah darat tu. Sebab tu, tak adalah ugutan bunuh kan," kata Nomi membuat spekulasi sendiri.

" Dah nama lintah darat semuanya tu ada kat dia oranglah Kak Nomi. Mungkin tak sampai masa lagi kut," balas Abyana Ruzda. Baginya, lintah darat Melayu atau Cina sama sahaja. Semuanya berpaksikan atas satu perkara, memberi hutang dengan mudah, tetapi mempunyai kadar bunga yang tinggi.

"Bawa kereta mewah. Kita tengok dalam drama macam Gerak Khas tu geng lintah darat bawa kereta Malaysia saja." Nomi masih lagi mengomel tentang lintah darat tadi. Nomi saja-saja teka.

Abyana Ruzda ketawa kecil dengan omelan Nomi. Terubat juga hati lara yang dicari oleh lintah darat. Arwa yang nyenyak tidur diusap pipinya.

"Kesian Arwa..." kata Nomi. Dia juga turut memandang Arwa. Sejak Arwa lahir dialah yang menolong menjaga Arwa ketika Abyana Ruzda pergi kerja.

"Habis tu macam mana dengan kamu berdua, Abby. Nak cerai ke tidak?" tanya Nomi.

"Saya memang tunggu Wazir lepaskan saya Kak Nomi." Ujar Abyana Ruzda.

"Bila dia nak lepaskan kamu. Nanti dia gantung kamu tak bertali nak buat macam mana. Tak tau punca. Nak kahwin lain pun tak boleh," kata Nomi sambil gelak. Dalam waktu berbicara serius beginipun Nomi masih ada rasa mahu berjenaka. Nomilah tempat dia mengadu sejak tinggal berjiran dengannya. Wanita tanpa suami ini hanya menyara hidupnya dengan mengasuh budak dan juga membuat kuih.

"Tunggulah saja. Dia dah kenakan saya sampai macam ni sekali saya rasa tak lama lagi dia akan lepaskan saya. Saya akan tunggu sampai bila-bila," Abyana Ruzda nekad.

"Kak Nomi ada tau. Jangan lupakan Kak Nomi," kata Nomi untuk kali yang ke berapa.

"Kak Nomi dah beritahu banyak kali dah. Saya tahulah. Saya memang akan susahkan Kak Nomi." Ujar Abyana.

"Jadilah malam ni?" tanya Nomi tunak memandang Abyana.

"Jadi apa?" tanya Abyana Ruzda hairan.

"Larilah..." balas Nomi. Abyana Ruzda ternganga.

DEBARAN di dada masih belum hilang setelah menaiki kereta kancil Nomi. Bimbang dan takut mereka diekori oleh geng lintah darat tersebut. Setelah jauh dari kawasan rumah itu, barulah dia menarik nafas lega. Begitu juga Nomi.

"Kak Nomi ni bukan main lagi bersungguh , tapi takut juga," Abyana Ruzda bergurau.

Nomi ketawa. Dalam waktu begini pun dia masih lagi boleh ketawa.

"Takut kena kejar, tapi Kak Nomi dah pelan elok dah," balas Nomi lagi.

"Saya ni lari dari lintah darat yang kita tahu memang boleh membunuh, tetapi kenapa macam perkara main-main saja." Abyana Ruzda mengomel. Dia hairan betul. Nampak macam sekarang mereka bertiga berada di dalam rancangan Running Man pula.

"Insya- Allah, Allah akan tolong golongan yang teraniaya," kata Nomi sambil terus memandu ke dalam kawasan stesen bas tersebut. Abyana Ruzda membawa beg sementara Nomi mendukung Arwa yang sudah nampak mengantuk.

"Mama... kita nak pergi mana?" tanya Arwa.

"Nak pergi jalan-jalan," jawab Nomi.

"Mana?" tanya Arwa tidak puas hati. Si kecil itu memang suka bertanya soalan.

"Mana-manalah. Janji hanya mama dan Arwa. Kita boleh main puas-puas," kata Abyana Ruzda. Arwa sudah bertepuk tangan kerana suka.

"Mak Cik Nomi tak ikut?" tanyanya kepada Nomi.

"Mak Cik Nomi ikut juga tapi lambat sikit," balas Nomi.

Abyana Ruzda duduk di atas kerusi yang disediakan itu.

"Abby, jangan lupa hubungi Kak Nomi tau. Kak Nomi selalu ada untuk Abby dan Arwa," pesan Nomi lagi. Dia masih tidak puas hati apabila Abyana Ruzda hanya mengangguk apa yang telah dipesannya iti.

"Ya, Kak Nomi. Tapi, nanti jangan pula Kak Nomi merungut sebab saya selalu minta tolong Kak Nomi," kata Abyana Ruzda.

Nomi gelak sambil memegang jemari Abyana Ruzda.

"Anytime, Abby," kata perlahan. Ikhlas dari lubuk hatinya. Berkali-kali Nomi mencium Arwa dalam ribaannya itu. Sedih apabila anak asuhannya ini akan pergi jauh daripadanya.

ISTERI ATAS KERTASWhere stories live. Discover now