Bab 9

6K 131 0
                                    


ABYANA RUZDA menatap saja slip bank di tangannya itu. Matilah dia kalau macam ni tiap-tiap bulan. Telefon di tangannya itu dipandang saja. Setiap kali terpandangkan telefon itu hatinya sakit. Sakit hati dengan Wazir. Kalaulah dia boleh balas apa yang telah Wazir lakukan kepada dia, dia tidak akan teragak-agak untuk melakukannya.

"Abby, sejak tadi Kak Nor tengok macam ada masalah saja," kata Norly.

Abyana Ruzda mendongak ke arah Norly. Mana mungkin dia akan bercerita dengan Norly. Norly pun tak boleh menolongnya.

"Nampak sangat ke? Bukan nama manusia kalau tak ada masalah, Kak Nor," balas Abyana Ruzda. Norly sengih. Buku yang berada di tangannya itu diletakkan.

"Hmm... Kak Nor faham sangat dah kalau Abby cakap macam tu. Tak nak kongsilah tu..." ujarnya sambil ketawa kecil.

Abyana Ruzda turut ketawa. Norly mengeluh. Dia pun ada masalah sebenarnya. Bondanya itu mendesak memujuk Rafeez supaya balik ke rumah semula. Rafeez mesti menolak untuk pulang ke rumah semula. Syarat pelik yang diletakkan oleh babanya itu membuat Rafeez tidak pernah mahu pulang.

"Kak Nor nak cerita kat Abby ke masalah Kak Nor?" tanya Abyana Ruzda. Memandangkan hanya mereka berdua saja berada dalam kedai buku.

"Adik Kak Nor tak nak balik rumah. Bonda Kak Nor tu dah rindu dia sangat-sangat," kata Norly. "Mahu memujuk satu pasal pula. Dia tu keras kepala." Norly mengeluh lagi.

Pintu kedai buku itu ditolak dari luar. Abyana Ruzda pantas bangun dan bergerak ke depan. Matanya membulat memandang lelaki yang berdiri di depannya itu. Ya Allah sampaikan tempat kerjanya pun lelaki ini mahu mengganggunya. Rafeez pura-pura tidak nampak akan pandangan terkejut Abyana Ruzda. Rafeez juga terkejut apabila ternampak muka Abyana.

"Raf... buat apa kat sini!?" Norly menjerit lalu bergerak laju ke arah Rafeez. Tubuh sasa Rafeez dipeluknya. Abyana Ruzda memandang dengan rasa nak pengsan waktu itu juga. Siapa pula Raf ini di mata Norly?

Rafeez menolak tubuh kakaknya itu. Buat malu saja berpelukan di depan orang. Lebih-lebih lagi di depan perempuan yang berhutang dengannya.

"Abby, nilah adik Kak Nor. Rafeez. Tapi, kita orang semua panggil Raf aje. Sejak kecil," Norly memperkenalkan mereka berdua. Encik Lintah Darat ini nama Rafeez. Bukan main sedap lagi nama dia. Tapi, tak padan dengan namanya. Lelaki ini jadi lintah darat.

Norly beriringan dengan Rafeez masuk ke dalam pejabatnya. Kedai buku Norly ada waktu sibuk. Sekarang mereka tidak sibuk. Abyana Ruzda bancuh air sambil berfikir. Tahukah Norly tentang adiknya itu. Yang kerjanya sebagai lintah darat. Sambil mengacau air , Abyana Ruzda terfikir kalau tidak tahu dia akan beritahu Norly. Untung sabut dia tidak perlu membayar hutang. Abyana Ruzda gelak kecil.

"Kau jangan berani nak beritahu kakak aku kita berdua kenal!" suara itu tiba-tiba berbisik di telinganya. Itu bukan bisikan biasa, tetapi bisikan amaran. Sudu kecil yang sedang mengacau air itu terloncat jatuh. Terkejut kerana mereka berdua terlalu dekat.

"Encik Lintah Darat, saya tak sejahat enciklah. Nak kenakan orang pula," kata Abyana Ruzda berani. Dia pasti lelaki ini tidak berani mahu mengapakan dirinya. Rafeez tunduk mengambil sudu itu. Lalu dihulurkan kepada Abyana.

"Aku bagi amaran awal, kalau nak rasa kena bunuh kau beritahulah," katanya lagi sambil menjongketkan keningnya. Lunak dia memandang Abyana Ruzda. Abyana Ruzda tidak membalas sebaliknya dia membawa dulang yang berisi air Nescafe itu ke dalam pejabat Norly. Rafeez membuntuti Abyana Ruzda. Rafeez membukakan pintu untuk Abyana Ruzda.

"Adik Kak Nor memang gentlemen, Abby." Kata Norly sambil ketawa kecil. Suka dengan sikap adiknya itu. Abyana Ruzda mahu berdeham. Nanti tak pasal-pasal kena ugut bunuh lagi. Dengar perkataan bunuh dalam televisyen pun sudah takut. Inikan pula, orang yang mahu membunuhnya itu ada di depan mata.

"Akak puji atau perli?" sinis Rafeez bertanya. Sakit hati apabila kakaknya itu asyik bercerita pasal dirinya. Entah-entah sudah banyak ceritanya berada dalam poket perempuan di sebelahnya ini.

"Tentulah pujian. Hai, Raf tak suka pula dipuji. Dulu-dulu kalau orang puji Raf terlompat-lompat macam katak sebab suka," kata Norly.

Abyana Ruzda tahan ketawa. Terlompat macam katak. Bahu Abyana Ruzda tergerak-gerak menahan tawa. Tapi, dia takut mahu ketawa kuat-kuat. Rafeez berdeham. Terus berhenti gerakan bahu Abyana Ruzda. Kecut perut.

"Abby keluar dulu Kak Nor," kata Abyana Ruzda. Lantas laju melangkah keluar. Tidak berani lagi berada di dalam bilik tersebut.

"BILA nak balik, Raf?" tanya Norly melihat Rafeez yang sedang menyisip Nescafe.

"Balik mana?" Rafeez pura-pura. Dia masih lagi tenang menyisip air. Mujurlah Nescafe ini suam-suam sahaja.

"Bonda nak sangat jumpa Raf. Bonda tak boleh nak keluar jumpa Raf sebab baba." Kata Norly.

"Raf malaslah nak ikut cakap baba tu. Tak masuk dek akal. Nak balik sana kena kahwin. Dia ingat kahwin perkara main-main. Nak jumpa perempuan yang sejiwa dengan kita punyalah susah," kata Rafeez. Pandangannya jatuh kepada Norly. "Lagipun dia dah ada menantu perempuan kan. Cukup-cukuplah nak cari menantu lagi," sambungnya.

"Itu Razuan. Menantu nombor dua. Nombor tiga mestilah ayah nak juga," balas Norly. Dia senyum.

"Beranganlah," kata Rafeez.

"Raf, baba dah tua. Raf mahu baba berangan sampai dia menutup mata..." Norly berkata sambil bangun duduk di tepi Rafeez. "Raf ni marahkan baba sampaikan tak balik jenguk mereka langsung,"

"Raf, marah? Siapa yang buat Raf marah. Baba tahu siapa sebenarnya perempuan tu sebelum baba suruh dia orang kahwin. Senang-senang aje dia cakap perempuan tu sepadan dengan abang. Semua orang tak tolak," ujar Rafeez. Rafeez mengepal penumbuk. Sampai bilapun jika berbicara pasal pulang ke rumah babanya, pasti hal ini akan timbul semula. Kerana satu-satunya punca adalah kahwin.

"Dah lama berlalu Raf, Raf lupakanlah," pujuk Norly lagi.

Lupa, tidak sekali-kali barangkali. Hati terluka tidak akan sembuh sampai bila-bila. Mahu pula melihat abangnya dan perempuan itu bahagia. Dia tidak mahu makan hati lagi. Bimbang daripada tidak jadi pembunuh dia jadi pembunuh.

"Raf... Raf masih tak lepaskan dia lagi? Lepaskanlah Raf," Norly usap belakang Rafeez.

"Lagi sekali Raf datang sini, ini yang akak nak bincangkan. Jangan harap lagi kita akan jumpa semula!" Rafeez bangun.

Selesai berkata-kata, Rafeez pantas menuju ke pintu. Norly terkebil-kebil memandang adiknya itu.

ISTERI ATAS KERTASWhere stories live. Discover now