RAZUAN duduk di sisi Tengku Adihah. Ibunya itu sedang asyik mengait. Tangannya laju bagaikan irama ketika mengait. Sejak Rafeez keluar dari rumah ini, hubungan dia dengan ibunya agak dingin sedikit. Semua orang tahu puncanya.
"Dah lama balik, Raz?" tanya Tengku Adihah.
"Baru saja, bonda." Razuan senyum ke arah Tengku Adihah.
"Daniela?" tanya Tengku Adihah. Dia memandang sekilas ke arah Razuan.
"Belum." Sepatah jawapan Razuan.
"Ibu perasan Raz dengan Daniela tak mesra macam dulu. Raz dengan dia ada masalah?" tanya Tengku Adihah. Dia sebagai bonda kepada Razuan dia sedar semua itu. Cuma dia tidak mahu masuk campur dalam urusan rumah tangga anaknya. Tetapi, apabila Daniela mula lewat pulang, dia tidak betah mendiamkan diri. Bukan sekali dua dia melihat Daniela pulang lewat. Bimbang kelewatan Daniela itu berpunca daripada Razuan.
"Hmm... Raz tak tahu nak beritahu bonda macam mana. Daniela dah tak macam dulu." Beritahu Razuan. Dia sudah puas bercakap dengan Daniela. Tapi, Daniela keras kepala untuk mendengar cakapnya.
"Dulu bonda dah cakap, jangan setuju dengan cadangan baba. Tapi, Raz tak dengar. Kononnya jatuh cinta pandang pertama. Bonda memang mahu anak-anak bonda kenal dulu dengan semua perempuan yang bakal menjadi isteri. Tapi tengoklah, apa yang Raz buat dekat Raf," Tengku Adihah masih lagi asyik mengait meskipun tengah bercakap dengan Razuan.
"Raz..." Razuan tidak meneruskan katanya. Dia tahu dia bersalah kepada Rafeez merana kerana merampas Daniela. Ketika itu apa yang dia tahu setelah memandang Daniela, dia jatuh cinta. Tidak berfikir lagi tentang perempuan itu sebenarnya kekasih Rafeez. Patutkah hanya dia yang disalahkan. Daniela?
Daniela juga patut disalahkan kerana bersetuju dengan cadangan baba. Mahu mengahwininya.
"Ke mana Daniela?" tanya Tengku Adihah.
"Dia dapat kerja kat syarikat luar.Sebab tu selalu sibuk." Razuan beritahu apa yang diberitahu oleh Daniela.
Tengku Adihah meletakkan benang dan jarum kaitnya. Dia memandang Razuan.
"Itu sahaja masalahnya kan? Tiada yang lain?" Tengku Adihah tepat memandang Razuan. Razuan diam. Dia sedar Tengku Adihah sudah dapat menekanya.
"Ya, bonda..." tidak mahu membabitkan ibunya di dalam masalah mereka.
RAZUAN perhati Daniela dari atas dan bawah. Baju dress yang dipakainya itu menampakkan lurah dadanya. Mahu pergi makan malam apa sampaikan dress itu terlalu menonjolkan dadanya.
"Dani, kenapa tak pakai baju lain. Seksi sangat tu," tegur Razuan. Dia tidak puas hati apabila tubuh isterinya itu terlalu terdedah.
"Ala, Raz... semua orang pakai macam ni. Gala dinner ni. Nanti Dani letak shawl kat atas," Daniela menutup dadanya yang terdedah tadi dengan selendang.
"Dekat syarikat Raz tu ada saja kerja kosong. Kenapa nak kerja dengan syarikat luar. Tengok, Dani pun dah terikut dengan cara dia orang. Pakai macam ni," Razuan masih lagi berlembut.
"Ada cabaran kerja dengan orang luar ni," kata Daniela. Dia mengenakan rantai berlian ke leher jinjangnya. Daniela memejamkan matanya. Sudah terbayang sesuatu.
"Dani ingatkan lepas kahwin dengan Raz yang baru balik dari luar negara kita akan selalu keluar. Tapi, Raz macam baru balik dari Timur Tengah. Asyik nak terperap dalam rumah saja. Tak ada langsung nak keluar berseronok," kata Daniela.
"Dani!" jerkah Razuan.
"Dani cakap benda betul. Dulu Raf ikut aje apa yang Dani cakap. Raz..." Daniela menggelengkan kepalanya.
Razuan mengetap bibir. Daniela sudah pandai membeza-bezakan dia dan Rafeez. Dia tidak boleh terima.
"Dani sedar tak. Raz ni suami Dani. Jangan nak bandingkan Raz dengan Raf," Razuan tidak betah duduk. Sejak dari dulu lagi dia tidak suka dibandingkan dengan Rafeez. Rafeez yang lebih segala-galanya meskipun Rafeez adalah adiknya.
Dengan badan yang tough, muka yang terlebih kacak dan juga semua yang mendekati Rafeez terus jatuh cinta dengannya. Itu yang membuatkan Razuan tidak tahan dengan Rafeez. Sebab itulah dia nekad menggoda Daniela. Mana tahu Daniela juga termakan godaannya. Dan sudahnya dia dan Daniela terlanjur beberapa kali semasa Daniela masih lagi bercinta dengan Rafeez.
"Dahlah, Raz. Dani nak keluar," Daniela terus saja melangkah keluar dari bilik. Anak yang sedang merengek minta didukung itu, dia biarkan saja. Gala dinnernya lebih penting.
Razuan sakit hati dengan Daniela. Sejak akhir-akhir ini, Daniela memang sudah banyak berubah. Keluar awal, tapi pulangnya lewat. Itu dia boleh terima kerana itu mungkin tuntutan kerjanya. Tapi, apabila Daniela membandingkannya dengan Rafeez, itu sangat-sangat tidak boleh diterima. Dia cukup pantang. Si kecil yang sudah menangis itu diambil dan didukungnya.
"Kak Raeng... tolong jaga baby malam ni." Razuan menyerahkan anaknya kepada Raeng. Raeng terpinga-pinga dengan arahan Razuan. Razuan tidak pernah menyuruhnya menjaga baby. Razuan terus keluar.
"Raz pergi mana, Raeng?" tanya Tengku Adihah. Dia memandang Raeng yang sedang mendukung baby.
"Tak tahu gok, Tengku. Terburu-buru dia keluar," jawab Raeng dalam dialek campurannya. Bahasa Melayu Malaysia dan Melayu Narathiwat.
"Dani mana?" tanya Tengku Adihah.
"Cik Puan keluar awal sikit. Paka baju lawo." Beritahu Raeng. Dia tahu kerana Daniela lupa akan kasut barunya. Daniela menyuruhnya mengambil kasut di dalam almari kasut. Tengku Adihah sudah terasa ada sesuatu yang tidak kena. Razuan dan Daniela tentu sedang bermasalah sekarang . Jika tidak tentu Razuan tidak terburu-buru keluar.