1

76K 666 106
                                    


Jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Aku masih di dapur Hanilicious Cake House, menyiapkan adunan kek yang ditempah oleh salah seorang instafamous yang bakal menyambut ulangtahun kelahirannya tengahari esok. Kak Mira dan Fifi serta crew yang lain sudah pulang pada jam 6.30 petang tadi. Suasana dapur yang agak sunyi menghadirkan perasaan seram di benakku. Laju tanganku mengemas peralatan yang berselerakan di atas meja kerjaku. Peralatan menghias kek kumasukkan ke dalam besen besar dan dicurahkan dengan air panas bagi menghilangkan kesan minyak icing. Spatula dan juga nozzle yang telah dibersihkan dan dikeringkan sebentar tadi kumasukkan ke dalam bekas . Aku meneliti sekitar dapur yang sudah kemas. Cukup untuk hari ini. Kucapai sticker note dan menulis beberapa pesanan untuk perhatian Kak mira dan Fifi. Mulai esok, aku akan bercuti selama seminggu. Jadi aku telah menyenaraikan beberapa tugas yang perlu dilakukan oleh Kak Mira dan Fifi sepanjang ketiadaanku dalam tempoh seminggu ini.

Usai mandi, telefon bimbit yang terletak di atas katil berdering. Aku menjeling sekilas. Tertera nama Abang Firman di skrin telefon. Laju tanganku mencapainya dan meletakkan di telinga kiri.

"Hmm... Nak apa?" Dengan Abang Man, tidak perlu ber'hello' bagai.

"Anak dara apa Di ni? Tak reti bagi salam ke?" Sinis suaranya memerliku.

"Assalamualaikum... Ye Abang Man. Nak apa telefon Di malam-malam buta ni?"

"Waalaikumussalam. Haa... Pandai pun! Esok pukul 8.30 pagi abang jemput Di. Jangan lambat!" Sempat dia memberi amaran. Aku sekadar mencebikkan bibir.

"Ai ai captain..."

Aku merebahkan tubuh di katil. Bantal peluk panjang berbentuk ular kucapai dan kukepit di celah peha. Rasa selesa apabila dapat mengepit bantal lembut berwarna hijau pucuk pisang itu.

Abang Man...

Aku mencintai lelaki itu. Namun tidak pernah melafazkannya kerana sejak dari zaman kanak-kanak lagi Abang Man sering mencanang kepada orang sekeliling bahawa aku adalah adiknya. Sementelah lagi dia tidak mempunyai adik perempuan, maka aku yang merupakan jirannya sering dilayan selayaknya seorang adik.

Aku anak tunggal mama dan abah. Tinggal berjiran dengan Pakcik Hamzah dan Makcik Salmah. Abang Firman yang merupakan anak sulung kepada Pakcik Hamzah dan Makcik Salmah mempunyai adik lelaki seusia denganku. Furqan Abqari namanya. Sejak kecil, aku lebih rapat dengan Abang Man kerana Furqan tinggal bersama nenek Abang Man di Perak dan hanya akan ada di rumah pada musim cuti sekolah sahaja. Sejak berusia lima tahun lagi aku membesar bersama Abang Man. Jadi tidak hairanlah jika dia menganggapku sebagai adiknya.

Aku mula jatuh cinta padanya pada ketika usiaku 13 tahun dan Abang Man berusia 17 tahun. Kami belajar di sekolah yang sama. Aku yang merupakan pelajar tingkatan satu sering diganggu oleh beberapa pelajar lelaki tingkatan tiga pada ketika itu. Pada mulanya aku tidak mengendahkan gangguan mereka. Tetapi apabila telah sampai tahap mereka mula menyentuh bahagian tubuhku, maka aku adukan kepada Abang Firman. Keesokan harinya, di hadapan mataku Abang Man membelasah salah seorang daripada kumpulan pelajar tingkatan tiga tersebut dan memberi amaran untuk tidak mengangguku lagi. Masih kuingat, Abang Man merangkul bahuku sambil berkata,

"Sekali lagi aku dapat tau siapa-siapa sentuh atau kacau adik aku... Pecah muka korang aku kerjakan!"

Pada detik dan saat rangkulan pertamanya itulah telah termetri di hati bahawasanya Hani Diana jatuh cinta kepada Firman Hakim. Titik. Kini telah dua belas tahun lamanya aku menyimpan rasa cinta ini. Tidak ada seorang pun yang mengetahuinya. Aku akan terus menyimpan rasa ini selagi hayat dikandung badan.

Dan kerana cinta yang tersembunyi ini jugalah mama merajuk denganku kerana aku telah menolak lamaran daripada sahabat baik mama yang mahu menjodohkan aku dengan anaknya yang tua dua tahun dariku. Mana mungkin aku menerima lamaran itu kerana aku langsung tidak mengenali anak sahabat mama. Walaupun mama mengatakan cinta boleh dipupuk setelah berkahwin, hati aku tetap menidakkannya kerana bagiku hanya Abang Man yang aku cintai dan orang lain tidak layak menikmati rasa cinta yang istimewa dariku. Perasaan ini ekslusif hanya untuk Abang Man biarpun aku sekadar bertepuk sebelah tangan.

TERIMA AKU APA ADANYAWhere stories live. Discover now