7

32.5K 421 106
                                    

Sebulan telahpun berlalu. Aku sudah kembali sibuk di cafe. Abang Man juga kelihatan agak sibuk keluar masuk mahkamah. Kehidupan diteruskan seperti biasa. Kadangkala Abang Man akan datang bermalam di apartmentku. Dan kadangkala giliran aku pula bermalam di kondonya. Entah lah... Aku sepatutnya menjauhkan diri dari tunangan orang ini, tetapi lain jadinya. Aku tidak mampu berjauhan dengan Abang Man, manakala Abang Man pula mengatakan aku seolah-olah magnet yang sentiasa membuat dia mahu melekat denganku. Tidurnya tidak lena jika tidak dapat memelukku. Sekadar tidur bersama. Dia menghormati permintaanku untuk tidak melakukan  hubungan seks  sejak peristiwa 'keguguran' tempoh hari.

Hari ini hari Khamis. Abang Man mempunyai urusan di Mahkamah Tinggi Sepang. Memandangkan tempahan di cafe tidak terlalu banyak, jadi aku mengambil kesempatan untuk pulang ke Kota Warisan menjenguk mama dan abah dengan menumpang kereta Abang Man. Dia akan menghantarku ke rumah mama sebelum meneruskan perjalanannya ke mahkamah yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi.

Kami bertolak dari rumahku seawal jam 6.45 pagi meredah kesesakan jalanraya kerana Abang Man perlu berada di mahkamah pada jam 8.30 pagi. Jam 7.30 pagi, kami sampai di Kota Warisan. Setelah Abang Man berjanji untuk mengambilku semula pada tengahari nanti, aku masuk ke rumah mama, manakala Abang Man masuk sebentar ke rumah ibu.

Mengucap panjang mama apabila melihat aku sudah terpacak di ruang tamu tanpa memberi salam. Ketawa mengekek aku dibuatnya apabila mama mencubit pipiku dan membebel memarahi diriku yang pulang secara mengejut. Sesungguhnya aku sangat merindui mama.

Aku, mama dan abah bersarapan bersama sebelum abah bertolak ke tempat kerjanya di MASKargo.
Mereka berdua menyampaikan berita gembira bahawa pada tahun ini mereka telah terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada musim haji nanti. Surat dari pihak Tabung Haji baru diterima pada dua hari lepas. Bermula minggu hadapan, mama dan abah akan mengikuti kursus haji yang dianjurkan oleh pihak Tabung Haji pada setiap hari Sabtu di masjid KLIA.

Setelah abah ke tempat kerja, aku menemani mama menyiram pokok bunga di halaman rumah. Mama memang sangat sukakan bunga. Sejak aku kecil  lagi mama sudah menanam banyak pokok bunga di halaman rumah kami. Ketika zaman kanak-kanak, aku dan Abang Man sering juga memetik bunga-bunga mama ketika bermain pondok-pondok. Mama tidak pernah marah jika kami memetik bunga mama dengan elok, tetapi mama akan marah jika kami merosakkan bunga-bunga mama dengan cara merentap bunga-bunga itu dari tangkainya.

Sementara menunggu mama menggembur tanah pada pasu-pasu bunganya, aku duduk di gazebo merehatkan kaki yang lenguh berdiri. Jari jemariku menari di skrin telefon, membaca mesej-mesej dari group whatsapp Hanilicious Cake House. 

"Senyum sorang-sorang tu kenapa, chat dengan boyfriend ke?"

Sergahan mama dari belakang membuatkan aku terkejut. Tanganku mengurut dada.

"Ma... Kalau Di ada sakit jantung, dah lama Di pengsan tau tak?"

Mama hanya ketawa dan mencubit pipiku. Sempat mama mengusap rambutku yang semakin panjang.

"Dah besar anak mama... 25 tahun dah pun. Bila la mama nak dapat menantu?"

"Maaa... Di muda lagi la. Tak fikir lagi nak bagi menantu kat ma."

"Eh, jangan nak perasan muda la Di. Ma ni dulu umur 23 tahun dah kahwin tau."

"Itu dulu ma..."

TERIMA AKU APA ADANYAWhere stories live. Discover now