14

28.1K 427 97
                                    

Tepat jam 9.00 malam, aku telah sah bergelar isteri kepada Furqan Abqari hanya dengan sekali lafaz sahaja. Menitis airmataku saat mama menarik aku ke dalam pelukan eratnya.

"Di, jadi isteri yang baik untuk Furqan... Ma dengan abah serahkan Di pada Furqan. Jaga maruah Di sebagai isteri, jadi isteri yang solehah..." Mama berbisik di telingaku.

Seutas gelang disarungkan oleh Furqan ke pergelangan tangan kananku sebagai tanda pembatalan air sembahyang. Kemudian aku bersalaman serta mencium tangannya dan dia turut tunduk mencium ubun-ubunku sambil membaca doa. Terasa seperti ada aliran elektrik mengalir di tubuh saat pertama kali kami bersentuhan. Malah ada satu perasaan aneh yang meresap ke dalam hati saat bibirnya menyentuh ubun-ubunku. Aku terasa seperti ingin menyerahkan seluruh hidupku kepadanya.

Jam 11.00 malam, tetamu beransur pulang. Aku masuk ke dalam bilik untuk menukar pakaian dan seterusnya menyertai saudara mara yang lain untuk mengemas dapur. Aku membantu sepupuku, Maria yang sedang sarat mengandung mengelap pinggan mangkuk yang telah dicuci oleh Maklong, iaitu kakak mama. Ketika jam menginjak ke pukul 12.00 malam, mama menarik tanganku dan menyuruh aku berhenti melakukan kerja-kerja mengelap. Dia mengarahkan aku naik ke bilik. Katanya mungkin Furqan sedang menunggu aku di sana. Serta merta aku menjadi tidak keruan. Aku agak gementar untuk menghadapi saat berdua-duaan dengannya di dalam bilik.

Perlahan aku memijak anak tangga satu persatu sehinggalah kakiku sudah berada di hadapan pintu bilik. Sebaik sahaja pintu dibuka, aku melihat Furqan sedang duduk di atas katil. Dia masih lengkap berbaju melayu dan bersampin, cuma songkok sahaja telah dibuka. Aku menghadiahkan senyuman buat suamiku itu.

"Sorry... Saya kat dapur tadi. Dah lama awak tunggu?"

"Saya baru masuk je Di... Tadi borak-borak dengan sepupu-sepupu awak kat gazebo. Di, saya nak mandi. Awak bagi tuala..."

Aku melangkah ke almari dan mencapai tuala berwarna biru dan menyerahkannya kepada Furqan. Kemudian aku memalingkan tubuh membelakanginya kerana segan apabila melihat dia membuka baju melayunya kemudian melilit tuala ke pinggang.

Sementara menunggu Furqan mandi, aku mengeluarkan sehelai pakaian tidur dari almariku. Baju tidur satin berwarna hijau lumut itu adalah pemberian dari Furqan seminggu sebelum kami bernikah. Dia membelinya setelah kami berdua tamat kursus pra perkahwinan dan menyerahkan kepadaku dengan pesanan dia mahu aku memakainya pada malam pertama kami nanti.

Inilah harinya! Malam pertama kami. Wajahku sedikit mendung. Tiada apa yang dapat kupersembahkan kepada Furqan. Aku bukan seperti gadis lain yang menyerahkan kesuciannya buat sang suami pada malam pertama mereka.

Sebaik sahaja Furqan keluar, aku mengambil giliran untuk mandi. Lama aku berdiri di hadapan cermin meneliti figura tubuhku. Sayang sekali, tubuh yang sempurna ini sudah tiada manisnya. Terduduk aku di atas lantai sambil meratapi kebodohan diri sendiri. Menangis air mata darah sekalipun takkan dapat mengembalikan kesucian yang telah diragut oleh lelaki yang suatu ketika dahulu pernah menjadi dambaan hatiku.

Menggigil tubuhku kesejukan dek kerana terlalu lama membiarkan tubuhku disirami air. Dalam esak tangis yang masih bersisa, aku mengelap tubuh dan rambut dengan tuala dan kemudian menyarungkan baju tidur ke tubuh.

Sebelum keluar, aku cuba tersenyum di hadapan cermin. Sungguh, aku tidak mahu Furqan melihat airmataku pada malam pertama kami berdua. Sedaya upaya aku mengukirkan senyum lebar, namun yang terlihat hanyalah senyuman yang hambar.

Perlahan tombol pintu bilik air kubuka. Furqan sudahpun berada di atas katil menunggu diriku. Perlahan kaki melangkah ke meja solek. Rutin sebelum tidur kulakukan di hadapan cermin, kemudian aku berjalan menuju ke katil menghampiri Furqan.

TERIMA AKU APA ADANYAWhere stories live. Discover now