19

24.6K 447 108
                                    

Jam 9.00 pagi hari Rabu, aku sudah berada di dalam kereta Abang Man untuk ke klinik ibu dan anak di Dengkil. Mama tidak dapat menemaniku kerana mengikut ibu ke surau menghadiri kelas mengaji. Sejak pukul 10.00 malam tadi aku telah berpuasa kerana hari ini aku akan minum air gula.

Abang Man menurunkan aku di pintu hadapan klinik sebelum keretanya bergerak mencari tempat meletak kereta. Aku meletakkan buku merah di kaunter dan menunggu giliran untuk dipanggil oleh jururawat. Sempat aku menjenguk ke luar. Abang Man sedang duduk di kerusi yang dikhaskan untuk kaum bapa yang membawa kaum ibu menjalani pemeriksaan kandungan.

Tidak lama kemudian, namaku dan beberapa nama ibu mengandung yang lain dipanggil dan kami disuruh masuk ke dalam pantry untuk meminum air gula. Pelbagai reaksi muka dapat kulihat ketika sessi minum air gula ini. Aku yang sememangnya tidak gemarkan benda manis, terpaksa memicit hidung dan meneguk air gula itu sekaligus. Pejam celik mataku sebaik sahaja selesai meneguk segelas air gula itu. Sedaya upaya aku menahan diri supaya tidak muntah, kerana jika muntah aku akan disuruh untuk minum segelas lagi air gula. Sungguh aku tak sanggup. 

Usai sessi minum air gula, kami dibenarkan keluar dari klinik untuk bersarapan, tetapi diminta kembali semula ke klinik selepas dua jam untuk diambil darah bagi mengetahui tahap kandungan gula dalam darah. Aku segera keluar menemui Abang Man dan mengajaknya mencari sarapan kerana aku sudah menggigil kelaparan.

"Di taknak heavy breakfast. Nak yang light je sebab nanti nak ambil darah lagi." Ujarku sambil mengenakan tali pinggang keledar.

"Nak makan kat kedai ke atau just beli?" Abang Man bertanya sambil matanya fokus memandu menuruni bukit.

"Beli roti je la, dengan air ribena."

"Air ribena tinggi gula la Di."

"Tapi Di nak minum yang masam-masam."

Abang Man mengeluh, dia memberikan signal dan berhenti di depan Speedmart.

"Tunggu sini, biar abang turun."

Seketika kemudian Abang Man masuk semula ke dalam kereta dan menghulurkan sebungkus plastik kepadaku. Ada roti jagung, air mineral dan yakult.

"Air ribena?" Tanyaku memandang Abang Man yang mula memandu ke arah klinik.

"Di, tak elok la minum air ribena. Tinggi pewarna, tinggi gula, tinggi bahan pengawet. Semua ada."

"Yadaa yadaa yadaa... Kuat bebel!" Aku mengunyah roti dengan segera. Kemudian meneguk air mineral. Yakult tidak kuminum. Tanda protes kerana tidak dibelikan air ribena!

Urusan di klinik selesai pada jam 12 tengahari. Kami terus pulang ke Kota Warisan.

"Nanti Abang Man lajak sikit ke depan tu. Di nak beli KFC."

"KFC? Kenapa nak makan fast food? Tak elok la Di."

"Sekali-sekala... Bukannya selalu."

"Awal-awal mengandung ni tak payah la Di. Nanti dah hujung-hujung takpe la kalau Di nak makan."

"Takpe la. Tak payah beli. Di makan kat rumah je."

Aku memandang ke luar tingkap. Perangai cengengku makin menjadi-jadi. Airmata yang menitis kuseka dengan jari. Telefon di tangan kugenggam kuat. Melepaskan rasa geram di hati.

Sampai di rumah ibu, aku terus meluru ke bilik air di bahagian dapur dan memuntahkan semula segala makanan yang kumakan tadi. Dari dalam kereta tadi sudah kutahan. Mujur tak terkeluar. Tahu sangat perangai Abang Man kalau kereta kotor. Dia punya bebel, ya ampun!

Keluar dari bilik air, aku mencari buah limau purut di dalam petiais. Jumpa sahaja, terus kupicit dan kuhidu baunya. Seketika kemudian ibu masuk membawa sebiji buah betik.

TERIMA AKU APA ADANYAWhere stories live. Discover now