5

35.2K 443 146
                                    

Sudah 3 hari aku membawa diri di Paradise Spa Hotel, Port Dickson. Hatiku berasa sedikit tenang apabila dapat melihat laut. Bertambah tenang apabila bebas daripada sebarang gangguan yang melibatkan panggilan telefon dan juga mesej kerana buat masa ini aku tidak mempunyai telefon bimbit setelah satu-satunya telefon yang ada pecah berkecai dilempar ke dinding.

Sebelum datang ke mari, aku telah memaklumkan kepada Kak Mira dan Fifi bahawa aku akan bercuti ke suatu tempat rahsia dan meminta agar mereka berdua menguruskan cafe sepanjang ketiadaanku nanti. Sempat aku berpesan kepada mereka bahawa aku tidak mempunyai telefon bimbit dan jika ada orang mencariku, katakan sahaja mereka tidak tahu ke mana aku pergi.

Gerak hatiku merasakan bahawa Abang Man mencariku di rumah dan juga cafe. Biarlah dia mencari. Buat masa ini aku belum mahu bersua muka dengannya. Aku sedang belajar menerima hakikat bahawa kami berdua tidak ditakdirkan bersama. Biarpun Abang Man bersungguh-sungguh mahu menikahiku, namun aku yakin Abang Man tidak akan sampai hati menghampakan permintaan ibu untuk menjodohkan dia dengan Alia. Tambahan pula dengan keadaan ibu yang mengalami masalah jantung, pastinya Abang Man akan akur dengan kehendak ibu. Tak mengapa lah. Aku lebih rela berundur diri kerana aku tidak mahu meletakkan Abang Man di dalam keadaan yang serba salah.

Aku mengusap-ngusap perutku. Ada rasa sayu yang bertandang di hati. Anak ini terhasil dari sebuah hubungan yang terlarang dan atas dasar cinta yang bertepuk sebelah tangan. Apabila dia lahir kelak, dia hanya ada aku sebagai ibunya. Pedih hatiku apabila memikirkan nasibnya nanti. Tak sanggup rasanya aku mahu membiarkan dia menjalani kehidupan yang getir dan menyakitkan dengan pelbagai cacian dan tohmahan.

Genap lima hari di Port Dickson, aku mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Sebelum sampai, aku singgah di Plaza Alam Sentral untuk membeli telefon bimbit baru. Aku juga mengambil keputusan untuk memakai nombor yang baru supaya Abang Man tidak dapat menghubungiku.

Sampai di rumah, perkara pertama yang aku lakukan ialah memeriksa keadaan bilik. Tepat sangkaanku, Abang Man ada pulang ke sini. Bilik berada dalam keadaan yang bersih dan kemas. Telefon bimbitku yang pecah berkecai tempoh hari juga tidak lagi berada di atas lantai. Kad sim telefon lamaku berada di atas meja sisi katil, manakala telefon bimbitku yang pecah berada di dalam bakul sampah di tepi pintu. Aku mengambil kad simku yang lama dan membuangnya ke dalam bakul sampah. Pada awalnya aku ingin memasukkan kad sim tersebut ke dalam telefon bimbitku yang baru, namun aku membatalkan niatku dengan serta merta setelah memikirkan bahawa Abang Man akan dapat mengesan kepulanganku ke rumah apabila kad sim tersebut kembali aktif.

Untuk malam ini, aku yakin Abang Man tidak akan datang ke sini kerana mungkin dia sedang sibuk menjaga ibu yang baru menjalani pembedahan bypass siang tadi. Jadi aku tidak perlu berasa bimbang dan boleh tidur dengan lena.

Keesokan paginya, sebaik sahaja aku sampai di cafe, Kak Mira memaklumkan bahawa tiga hari lepas Abang Man ada datang mencariku. Keadaannya nampak kusut dan tidak terurus. Malah dia kelihatan sedikit marah apabila Kak Mira sendiri tidak mengetahui tentang keberadaanku.

Jujur kuakui, aku sangat merindui Abang Man. Hatiku meronta ingin berjumpa dengannya. Namun egoku yang tinggi melangit melarang aku berbuat sedemikian. Ditambah pula dengan keadaan yang agak mendesak, aku tidak yakin aku akan kuat untuk berdepan dengan sebuah kelukaan dan kekecewaan.

Abang Man ditakdirkan untuk Alia dan seorang Hani Diana telah ditakdirkan untuk memendam sebuah cinta yang bertepuk sebelah tangan.

Aku mengesat airmata yang mengalir tiba-tiba tanpa diundang. Begitulah aku kebelakangan ini. Airmataku terlalu murah saat teringatkan Abang Man. Ada rasa kesal yang bertandang di hati. Kenapalah aku terlalu degil untuk meraih cintanya. Dan saat ini aku terasa sangat murah pada pandangan mata Abang Man. Terlalu mudah aku menyerahkan harga diriku sehingga sekarang aku sedang mengandungkan anaknya. Manakala Abang Man pula bakal menjadi suami kepada seorang gadis suci yang bertuah seperti Alia.

TERIMA AKU APA ADANYAWhere stories live. Discover now