2

52.2K 519 108
                                    

Saat aku membuka mata, aku mendapati bahawa kepalaku terletak di atas lengan sasa Abang Man manakala sebelah tangan Abang Man elok berlingkar di atas pinggangku. Bantal yang kujadikan sempadan kami berdua malam tadi pula kini berada di kaki Abang Man. Perlahan aku mengalihkan tangannya dari pinggangku dan bergerak perlahan turun dari katil. Aku tidak mahu menganggu Abang Man yang kelihatan sangat lena tidurnya.

Usai mandi dan solat subuh, barulah aku mengejutkan Abang Man. Sebaik sahaja dia bangun, aku memasak air dan membancuh dua cawan nescafe untuk kami berdua. Aku mengalas perut dengan memakan beberapa keping biskut sementara menunggu Abang Man selesai solat subuh.

Abang Man menghirup beberapa teguk nescafe sebelum menyambung tidur dan berpesan agar aku mengejutkannya pada pukul 8 pagi untuk turun bersarapan di bawah. Sempat juga dia menghantar pesanan kepada Haris dan Fahmi agar turun bersarapan pada jam 8 pagi nanti.

Aku mengambil keputusan untuk menghirup udara segar di balkoni sementara menanti jam 8 pagi. Sebuah meja bulat dan kerusi telah disediakan di balkoni tersebut. Aku mengambil keputusan untuk bersantai di situ sambil membuat carian di Google untuk mengetahui tempat-tempat yang menarik untuk dilawati di sekitar Cameron Highland.

Usai bersarapan, kami berenam membuat keputusan untuk melawat 5D Arts Museum dan Museum Time Tunnel terlebih dahulu sebelum melawat Taman Rama-rama dan juga Rose Centre. Kami menghabiskan masa selama dua jam di keempat-empat tempat tadi. Apabila Haris dan Fahmi mengatakan mahu membuat aktiviti memetik strawberry, Abang Man memberitahu bahawa kami berdua telah melakukan aktiviti itu petang semalam. Jadi dia meminta diri untuk melawat ke tempat lain bersamaku dan menyatakan akan makan tengahari secara berasingan dengan mereka.

Abang Man memandu perlahan menuju ke Mossy Forest di mana terdapat sebuah menara tinjau atau Observation Tower yang terletak di puncak Gunung Brinchang.

Sebaik sahaja sampai di bahagian atas menara tinjau, aku merasa sangat takjub kerana menyaksikan keindahan pemandangan yang sangat cantik di bawah sana.

Aku membuka sweater yang kupakai dan menyidaikan pada palang kayu menara tersebut dan meminta Abang Man mengambil gambar menggunakan telefonku. Dia juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan di situ. Beberapa aksi wefie kami yang agak lucu turut diabadikan dalam galeri iPhone Abang Man.

Turun dari Gunung Brinchang, kami menuju pula ke Ladang Lebah Eu Feng Gu yang terletak 3.5km dari pekan Brinchang berhampiran dengan Equatorial Resort. Di sini kami dapat belajar dan menyaksikan sedikit sebanyak tentang proses menghasilkan madu dan cara betul menjaga lebah. Abang Man membeli dua botol madu lebah. Satu untuk dia dan satu lagi untukku.

Jam 2 petang barulah kami singgah di sebuah gerai untuk menikmati makan tengahari. Kami pulang ke bilik untuk solat zohor dan berehat sebentar sebelum menyambung semula aktiviti menjelajah seluruh Cameron Highland.

Seharian berjalan membuatkan kami sedikit penat. Jam 7.30 petang kami sudah kembali ke bilik. Abang Man mencadangkan agar kami membuat pesanan makan malam dari bilik sahaja kerana tekaknya mahu merasa makanan Western malam ini. Aku akur sahaja dan menyerahkan kepadanya untuk membuat pesanan.

Usai makan malam, aku mula mengemas barang-barang yang telah kubeli sepanjang hari ini. Abang Man berbaring santai di atas katil sambil menonton televisyen. Sempat dia mengarahkan aku agar turut merajinkan diri untuk mengemas barang-barang yang dibeli olehnya untuk dimasukkan ke dalam beg. Memandangkan hari ini segala perbelanjaanku adalah di bawah tanggungan Abang Man, maka aku membalas budinya dengan membantu mengemas segala barang beliannya siang tadi.

Sementara menunggu Abang Man mandi, aku membancuh nescafe kerana di luar hujan telah turun dengan sangat lebat. Aku menggigil kesejukan. Secawan nescafe itu kuharap dapat membantu aku untuk memanaskan badanku seketika sebelum aku mandi.

TERIMA AKU APA ADANYAWhere stories live. Discover now