Zaman

61 2 0
                                    

Zaman berarak selang waktu
Dariku kecil hingga dewasa
Setiap momen yang menjernih
Dalam kolam ingatan yang kian luput dimamah waktu
Tidak akan luntur warnanya
Tidak akan pudar walaupun kini kuterbaring lesu

Diskriminasi antara muda dan tua
Terlihat amat dalam jurangnya
Tampak nun  jauh di pinggir dunia
Hanyalah kerana jarak waktu
Yang memisahkan kekuatanku dan keterhadanku

Dulu ku pantas berlari
Dulu ku licik mencari
Setiap persoalan yang bertampuk di mindaku
Semua kutelaah tanpa meninggalkan walau satu tanda tanya
Jua ku senang menikmati dunia
Yang hanya dikerumuni keseronokan
Sungguh indah saat kuhanyalah kanak biasa

Aku beranjak ke belah petang
Kala cita-citaku tumbuh segar dipanah sang suria
Saat petang menjadi saksi
Teriknya mentari memancarkan kegemilangan buat impian yang dituai
Saat waktu ku digelar emas di mulut dunia

Kini
Aku sedar akan keterbatasanku
Saat kuasaku dihambat pergi menjauh
Tidak lagi ditambak megah seperti dulu
Setiap kedutan waktu
Menjadi perhentian buat insan biasa

Perhentian demi perhentian
Melakarkan kekuasaan dahulu
Membuat kusenyum mengimbas waktu
Mengenang kejayaan yang pernah  bertandang saat petang angkuh berdiri
Saat petang nun jauh meninggi
Kerana kekuatanku

Usah kusangkal lagi
Manusia biasa sepertiku
Tidak acapkali petah berhujah
Tidak kerap tuah menyebelah
Tidak selalu awan menyerlah
Di kala senja berduyun
Mengganti petang nan cerah
Hanyalah mampu ku kaku
Kerana senja sudah digamit Allah
Kerana usia emas diseru Allah

Sujudku saja menemani
Kala zaman berselang zaman
Menjadi persinggahan mutakhir buatku
Sang hamba yang bakal menemui ajal
Hanyalah doa kupinta
Agar Syurga menanti
Kelak kutenang disambut seruan Allah

Biarlah kutiti tahmid di bibir lesu
Biarlah sejadah kusentuh kerap di usia senja
Biarlah hanya namaMu kuingat sepanjang waktu

Koleksi Puisi KehidupanWhere stories live. Discover now