Percaya

70 3 4
                                    

Beberapa buah pasu bunga kelihatan bertangkup tidak digunakan. Alatan berkebun pula tersusun kemas di suatu sudut. Sarung tangan lalu ditanggalkan sebelum disidai di atas ampaian besi kecil. Lelaki tua lingkungan umur 60-an itu melepaskan lelah, duduk di atas sebuah kerusi kayu buatan sendiri. Kerusi yang dicat dan diubahsuai kelihatan seperti kerusi kayu mahal yang dibeli dari kilang perabut walhal ia hanya hasil tangan seorang pekebun.

"Sila duduk tuan muda" lelaki itu menjemput anak muda yang mengekori belakangnya.

Daehwi mengambil tempat duduknya, berhadapan lelaki yang dikenali sebagai Pekebun Ma itu. Kali pertama mereka bertentang muka dalam jarak yang dekat.

"Saya ingatkan cik puan dah beritahu tuan muda segalanya" Pekebun Ma memulakan.

Daehwi menggeleng, melihat wajah lelaki itu dengan beberapa kedutan di muka. "Mama tak beritahu saya apa-apa, tapi saya tahu, nada dia sentiasa suruh saya berhati-hati, seolah dia takut perkara buruk akan berlaku pada saya"

"Dia tak nak perkara yang sama terjadi pada kamu"

"Perkara yang sama?" Daehwi bertanya. "Maksudnya, ketika mama saya dihalau oleh ayah sendiri?"

Pekebun Ma mengangguk.

"Saya tak faham sampai hari ni, kenapa mereka bergaduh, kenapa mama dan ayah bergaduh disebabkan abang saya?"

Pekebun Ma diam sejenak, memikirkan ayat yang sesuai untuk digunakan.

"Cik puan percaya yang abang kamu tu...."

"Bukan abang saya yang sebenar?" celah Daehwi.

Pekebun Ma mengangguk. Riaknya tidak terkejut, hanya kosong memandang Daehwi namum nadanya berat, penuh dengan sesalan dan kekecewaan. "Selepas kejadian tujuh tahun lepas, di mana abang kamu hampir mati dibunuh, cik puan berasa janggal dengan abang kamu dan dia rasa abang kamu tu bukan lagi tuan muda Doohyun yang sebenar. Seolah orang lain. Dia maklumkan pada Tuan Lee, namun tuan tidak percaya dan anggap perubahan tuan muda Doohyun adalah kerana trauma. Cik puan tidak tahan dan akhirnya tekad untuk keluar dari rumah ni"

Daehwi diam mendengar, cuba membayangkan situasi yang dialami oleh ibunya.

"Keadaan tujuh tahun lepas agak tegang. Cik puan bergaduh dengan tuan muda Doohyun, menuduh tuan muda bukan anaknya. Tuan Lee masuk campur dan cuba meredakan cik puan, tapi cik puan mengajak tuan Lee untuk ke luar negara dan menjauhi tuan muda Doohyun yang dirasakan orang asing. Tuan Lee berkeras tidak mahu dan cik puan menyuruh tuan Lee untuk membuat pilihan samada memilih cik puan atau tuan muda Doohyun"

"Ayah kemudian memilih abang saya?"

Sekali lagi Pekebun Ma mengangguk. "Tuan muda sangka cik puan hanya stress dan akan pulang selepas beberapa hari, tapi tak sangka dia menghantar surat permohonan cerai"

Lintasan imej majikannya bergaduh kembali dalam kotak ingatan dan sehingga ke hari ini, Ma Wonhyuk masih ingat hari di mana majikannya meninggikan suara, menarik perhatian semua pekerja. Majikannya yang sentiasa berlemah lembut antara satu sama lain itu bertengkar kerana berselisih faham dan ketika tu Ma Wonhyuk masih ingat senyuman sinis yang melihat pertengkaran itu. Senyuman sinis seorang remaja lelaki yang berdiri di hujung tangga, seolah gembira melihat pasangan itu bergaduh. Lee Doohyun.

"Dia bukan abang saya kan? dia bukan Lee Doohyun kan? Orang yang menyebabkan mama dan ayah saya bergaduh" nada suara Daehwi rendah. Riaknya jelas sedih mendengar apa yang berlaku terhadap ibubapanya. Namun jauh dalam sudut hatinya, dia lebih ingin tahu mengenai abangnya.

"Saya tak pasti tuan muda Daehwi perasan atau tidak, namun selepas kejadian tujuh tahun lepas, dia seperti orang yang berbeza. Semua orang mengatakan perkara yang sama. Cik puan sendiri sebagai ibu turut merasakan tuan muda bukan lagi anaknya"

Antara Subuh dan SenjaWhere stories live. Discover now