Kacau

14 1 0
                                    

Aku berlari laju seolah-olah sedang terbang. Tetapi masih aku terpaku di hujung pusara itu. Sepohon kemboja berbunga lebat menaungi pusara itu. Dahannya berjuntaian dengan lumut dan aku hanya mampu memandang saat sebuah keranda terapung-apung di atas pusara itu hampir sama tingginya dengan kemboja berbunga lebat itu.

Air mataku merembes ketika aku cuba melarikan diri tetapi gagal apabila makhluk di dalam keranda mulai menjulurkan kepalanya yang berikat satu di atas ubun-ubun. Perlahan-lahan wajahnya yang buruk berkedut seribu dengan dua lohong hitam berapi gelap didekatkan dengan wajahku.

Ia menarik nafas tetapi ternyata seolah- olah rohku yang disedutnya.
"Arghhhh!!" aku menjerit sekuat hati tetapi telingaku cuma mendengar decitan kecil. Tiba-tiba aku tersedar. Rupa-rupanya aku di bilikku sendiri, tersedar dari lena yang mengerikan.

Ku renung segenap penjuru bilikku yang berlampu suram. Seolah-olah ada sang pocong berdiri di penjuru dekat tingkap. Ku palingkan wajah ke dinding lalu mulai membaca ayat-ayat suci.

Selama seminggu aku jatuh sakit selepas itu. Demam yang membahang setiap kali menjelang tengah malam sebelum tibanya subuh yang membawa kelegaan. Hidupku berasa seperti zombi.

Tubuhku sakit selalu seolah-olah isinya memburuk bernanah begitu. Ku gagahi diriku menjalani kehidupan seharian dan saban malam juga aku bermimpi tanah perkuburan itu. Kekadang aku bermimpi terperangkap di sebuah tandas yang besar dengan kubikel-kubikel kotor, dengan tubuhku berlumuran najis dan air kencing.

Setiap kubikel ada sahaja yang mengintai gerak geriku. Aku cuba keluar dari tandas itu tetapi tidak menemui jalan keluar meskipun pintunya dapat kulihat nun di sana.
Aku mencari ikhtiar dengan membaca zikir, membaca kitab suci al-Quran, menjaga solat tetapi masih gangguan itu datang berkunjung bersilih ganti tanpa lelah.

Tiba-tiba suatu hari ku mendengar berita ada seseorang cedera parah kemalangan motosikal melanggar pokok. Dia menjadi lumpuh. Dan sekelip mata, hidupku kembali ceria. Tiada lagi kuburan dan pocong, tiada lagi tandas buruk, tiada lagi bisa bernanah mencengkam urat isiku.

Ya, rupa-rupanya dia yang inginkan perhatian tetapi ku benci sampai mati. Syukur ke hadrat Allah kerana mengabulkan doaku yang teraniaya.

Cerita seram... 3Where stories live. Discover now