KUBUR MATI TERBUNUH

26 0 0
                                    

Segala pesanan Alang Sitam sudah disimpan baik-baik dalam hatinya. Maskon akan berusaha memenuhi impiannya. Selama ini dia merasa dirinya dipandang rendah oleh masyarakat kampung, kerana kemiskinan dan rupa parasnya hodoh serta berkulit hitam.

Setiap kali dia cuba tersenyum semasa bertemu Mahawa anak gadis Pak Buyong, gadis itu cepat-cepat memalingkan muka. Maskon merasa dirinya seolah-olah sampah di tepi jalan saja.

Tidak cukup dengan sikap Mahawa itu, dia semakin terhina dengan ejekan Kahar seorang pemuda tampan.

"Hei, cerminlah muka kau dulu kalau ada hati dengan Mahawa..." Kahar mentertawakan dia.

Lama Maskon memendam perasaan. Dirinya terlalu hina dipandang oleh masyarakat kampung. Dia mahu jadi kaya kalau boleh, tapi bagaimanakan caranya? Dia mahu menjadi pemuda tampan, tetapi bagaimanakah caranya?

Kalau dia kaya, sudah tentu orang-orang kampung tidak berani menghinanya. Kahar tidak akan mengejek kalau dia cuba untuk mencumbui Mahawa. Gadis itu juga tidak akan menolak jika dicumbui, kalau dia seorang yang kaya dan mempunyai paras yang tampan.

Dendam ini menyala-nyala dalam dada Maskon. Kadangkala dia disindir juga oleh emaknya Mak Jeton, kerana selalu mengelamun.

"Jangan berangan-angan Maskon." Kata Mak Jeton. "Asyik berangan-angan semua kerja tak jadi. Perut lapar tak boleh kenyang dengan angan-angan saja." Ujar emaknya bagaikan terasa menghiris ke hati Maskon.

Kadangkala dia menangis sendiri. Mengapa nasibnya tidak sebaik adiknya, Johar. Adiknya dilahirkan sebagai anak muda yang tampan dan segak. Kahar tidak berani mengejek-ngejek adiknya, Johar. Malah Mahawa juga kelihatan begitu mesra kalau berbual dengan Johar.

Perasaan ini sering menghantui jiwa Maskon. Dia tahu kerana mukanya hodoh, kulitnya yang hitam dan badannya yang kurus melengkung itulah menyebabkan masyarakat kampung memandang hina terhadapnya. Dia tidak percaya dengan kata-kata Johar yang mengatakan semuanya itu adalah perasaan dirinya semata-mata.

"Orang tidak memandang paras muka atau pun harta benda kita bang....." jelas Johar. "Sebaliknya orang memandang perangai kita. Kalau abang tidak boleh ditegur orang, mudah tersinggung kalau dinasihatkan orang, cepat marah kalau ada yang tak kena pada hati, tentulah orang tidak mahu berbaik-baik dengan kita." Tegas Johar mengingatkan dia.

Tetapi kata-kata Johar itu tidak memberi kesan kepada Maskon. Dia tetap percaya bahawa orang-orang kampung memandang hina terhadapnya kerana kemiskinan dan rupa parasnya yang hodoh. Bukan kerana sikapnya yang cepat tersinggung itu. Pada orang-orang kampung, sikap Maskon itu dikira sebagai angkuh, sombong dan tidak sedar diri sendiri - tetapi sebenarnya seorang yang menghadapi tekanan 'inferiority complex'.

Bermula dari sinilah Maskon berdamping rapat dengan Alang Sitam, seorang pendekar dan bomoh yang terkenal di kampung itu. Dia belajar berbagai ilmu pertahankan diri serta kebatinan.
Setelah puas berguru dengan Alang Sitam, tiba-tiba Mak Jeton mendapati Maskon menghilangkan diri dari rumah. Tidak tahu ke manakah dia membawa diri. Alang Sitam sendiri tidak tahu ke mana Maskon pergi, kerana dia tidak pernah memberitahu Alang Sitam akan tujuannya.

Sehingga sewaktu Mahawa dikahwinkan dengan Johar pun, Maskon tidak balik. Malah ada desas-desus mengatakan bahawa Maskon pergi meninggalkan kampung setelah mendengar khabar bahawa Mahawa sudah dipinang. Apalagi orang yang meminangnya ialah adiknya sendiri iaitu Johar.

Sebenarnya, Johar dan Mak Jeton tidak tahu menahu mengeai niat Maskon yang ada menaruh hati kepada Mahawa itu. Oleh itu apabila Johar dan Mak Jeton menganggap sepi saja akan kehilangan maskon. Orang-orang kampung merasa bahawa Maskon meninggalkan kampung kerana Mahawa adalah cerita benar.

Mereka mendakwa sikap Johar itu tidak patut. Johar lebih sanggup menyahkan abangnya dari kampung kerana mahu memperisterikan Mahawa. Mereka juga menuduh kasih sayang Mak Jeton pada anak-anak juga berbelah bagi. Mak Jeton lebih sayangkan Johar dari Maskon, kerana keadaan diri Maskon itu.

Cerita seram... 3Where stories live. Discover now