SIRI SERAM SNA

18 0 0
                                    

DUDUK dalam hospital ni terimbau kisah arwah bapa saya. Misteri dan memang seram... dan alang2 duduk meneman anak ni saya akan menaip kisah benar arwah bapa saya.
Selamat membaca. 😊

TINGKAT 8
(Kisah Benar)

LEBIH 20 TAHUN YANG LALU

KISAH ini diceritakan sendiri oleh arwah bapa saya. Cikgu Ali. Pada waktu itu dia diserang angin ahmar sehingga terpaksa ditahan di dalam hospital. Ayah saya telah ditempatkan di wad kelas ketiga setelah wad kelas pertama penuh. Saya pula pada waktu itu baru menjengah belasan tahun.

Pada kebiasaannya setiap malam bapa saya akan ditemani abang-abang saya, kadang kadangnya obu saya sendiri. Tetapi pada malam itu abang saya terpaksa balik atas urusan yang tidak dapat dielakkan.

Maka tinggallah bapa saya tanpa ditemani ahli keluarga. Waktu itu saya masih bersekolah dan atas arahan bapa saya, saya tidak dibenarkan menemaninya. Fokus pada sekolah katanya.

Dan malam yang jatuh pada hari Selasa itu dirasakan cukup hangat. Bagaikan langit seperti bersedia untuk meratap. Namun hujan tetap tidak runtuh. Bapa saya yang hanya ditemani jururawat dan pesakit-pesakit di wad berkenaan hanya diam di atas katil dan bibirnya tidak lekang daripada terus dibasahi zikrullah.

Bapa saya dapat merasakan malam itu hangatnya lain sekali. Namun dia masih seperti kebiasaannya. Berzikir. Bapa saya melihat ke arah katil bersebelahan dengannya. Seorang lelaki berbangsa cina yang mungkin seusia dengannya sedang lena tidur. Lelaki itu hanya sesekali sahaja berborak dengan bapa. Boleh tahan keramahannya. Tapi malam ini dia tidur awal.

Bapa masih belum boleh melelapkan mata. Dia melihat ke luar jendela. Memang malam itu sungguh sunyi. Katil bapa dalam jarak tiga hingga empat meter dari jendela yang tidak berlangsir itu. Di luar jendela itu ada laluan pejalan kaki yang menganjur panjang hampir 50 meter. Hospital ini hanya ada 8 tingkat. Tingkat 8 waktu itu untuk pesakit warga emas.

"Pukul berapa sekarang?"

Bapa ku cuba bertanya kepada jururawat yang baharu sahaja memberikan lalu di hadapan katilnya.

"Pukul 12.30 tengah malam."

Katanya sebelum tersenyum dan kembali berlalu menuju ke destinasi yang dia inginkan.

Pada waktu itu hanya 3 jururawat sahaja yang berada di wad 8A itu. Pada waktu itu juga wad berkenaan tidak ramai pesakit yang ada. Apa yang saya ingat hanya 3 hingga 4 buah katil sahaja yang dihuni pesakit.

Pada ketika waktu semakin berganjak menuju ke pukul 1 pagi. Secara tiba-tiba ada sambaran angin yang kuat menerjang di luar jendela. Reroma bapa meremang serta-merta. Pada ketika itu secara tiba tiba lampu di wad 8 berkelip seperti ada gangguan bekalan elektrik. Jururawat yang bertugas sudah berkumpul di kaunter tempat mereka sentiasa berada. Wajah mereka jelas seperti diserbu ketakutan.

Bapa diam, tapi bibir dan jemarinya bergerak mengikut alunan zikirnya. Angin yang hadir begitu kuat sehingga langsir di setiap katil pesakit berkibaran dengan tanpa henti. Wajah wajah jururawat yang ada di kaunter jelas ketakutan yang amat sangat.

Suara ribut yang melanda itu seperti bunyi jeritan nyaring perempuan menjerit. Disebalik suara angin yang kuat itu sayup-sayup anak telinga bapa tertangkap bunyi seperti besi sedang berlaga. Semakin lama semakin kuat. Dan ketika bunyi besi seperti digores panjang itu kedengaran, bapa turut mendengar derap tapak kaki orang seperti sedang berlari laju di luar koridor wad 8. Terlalu laju!

Abah yang duduk bersila di atas katil merenung ke luar jendela. Ketika semakin hampir bunyi kaki dan besi berlaga itu mendekati kawasan katil abah duduki, lampu di wad 8 terus terpadam serta-merta. Gelap gelita di dalam wad itu. Belum pernah lagi hospital itu mengalami gangguan luar biasa seperti itu.

Jururawat yang ada di dalam wad 8 itu sudah menjerit apabila dia terlihat satu kelibat serba hitam berkelubung di kepala sedang berlari di luar koridor. Ternyata bapa juga melihat sosok lembaga itu. Bapa menceritakan secara kemas rupa lembaga itu. Menurutnya bukan manusia yang mampu berlari dengan kepantasan seperti itu. Jubah hitam yang dipakainya berkibaran panjang ketika mer

edah ribut. Menyeramkan!

Sesuatu yang membuatkan bapa saya sedikit terkejut, bunyi besi yang berlaga kuat seiringan dengan lembaga itu sebenarnya bunyi palang-palang besi yang menjadi pagar di koridor luar hospital itu. Dan palang-palang besi itu berbunyi kerana berlaga dengan kuku tangan lembaga itu.

Menurut bapa lagi, rupanya tidak kelihatan. Seperti terlindung atau memang pada ketika itu suasana memang kelam dan sukar untuk bapa melihat dengan jelas. Pada ketika sosok lembaga itu melintasi jendela di mana jururawat wad 8 berada. Jururawat di situ menjerit ketakutan seperti histeria.

Bapa menguatkan bacaan surah suci al Quran. Ketika lembaga itu sudah hilang berlalu di luar koridor, secara tiba-tiba pesakit di katil sebelah bapa menggelupur di sebalik langsir yang menjadi sempadan kepada katil bapa. Pada waktu itu bapa sudah dapat merasakan sesuatu yang luar biasa seramnya. Bapa beristigfar berkali-kali sebelum bapa terdengar suara erangan keras di sebalik langsir di sebelah katilnya. Erangan yang akhirnya berakhir dengan helaan panjang nafas sebelum terhenti diam.

Suasana secara tiba-tiba kembali terang benderang. Lampu di dalam wad menyala secara sendirinya. Tidak lama selepas itu kecoh jururawat memanggil pengawal keselamatan. Dan tidak lama selepas itu datang dua pengawal yang bergegas keluar ke koridor di mana terlihat sosok misteri sedang berlari itu. Menurut bicara pengawal dan jururawat yang didengari bapa mengatakan, tiada sesiapa pun di luar koridor.

Bapa yang merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan katil sebelah dengan segera memanggil jururawat yang bertugas. Apabila diperiksa jururawat di situ menjadi panik. Pesakit berbangsa cina itu sudah kaku menjadi mayat. Bagaikan sudah lama meninggal dunia, kerana mayatnya yang kejung kebiruan di atas katilnya. Seperti sudah lebih dua jam lelaki cina itu menghembuskan nafas terakhirnya. Sedangkan sebentar tadi bapa ada mendengar erangan mendiang.

Sejak kejadian yang berlaku itu keluarga berpakat untuk mendapatkan wad kelas pertama untuk bapa. Selepas kejadian aneh dan menyeramkan itu berlaku, bapa akhirnya dipindahkan ke wad kelas pertama. Dan ibu juga mengambil keputusan untuk menemani bapa. Dan saya, pada hari bapa sudah ingin dipindahkan ke wad lain, saya sempat ke koridor di mana makhluk misteri itu berlari. Saya juga melihat palang-palang besi yang menjadi pagar koridor itu. Memang ada kesan goresan. Tetapi saya tidak berani menyentuhnya.

Ketika bapa sudah dibenarkan pulang, di dalam kereta saya bertanya itu dan ini. Dan pertanyaan terakhir saya membuatkan saya terasa menyesal kerana mengajukan soalan itu.

"Abah tau tak benda apa yang berlari kat koridor itu?" Soal saya.

"Entah..." jawab bapa saya seraya tersenyum.

"Abah tau kan benda itu bukan manusia. Mesti hantu." Saya cuba meneka.

"Bukan hantu."

Saya terdiam. Lantas bapa menyambung bicaranya.

"Malaikat maut."

Ucap bapa sebelum dia tertawa kecil.

Saya terpinga-pinga. Bapa memang kuat berahsia. Dia mengusap kepala saya bersama wajah yang cukup tenang.

"Mungkin. Wallahualam." Katanya bersahaja.

Peristiwa itu sudah berlalu lebih dua puluh tahun. Dan selama itu jugalah saya tidak pernah lagi naik ke wad 8A itu. Dan ketika saya menaip kisah lama ini, saya masih setia menunggu anak saya di wad 2A. Semoga roh arwah bapa terus dirahmati ALLAH. Terima kasih abah.

Teks dan tulisan - SAIDEE NOR AZAM
Cerita asal - Arwah Ali Abdullah (Cikgu Ali)

Cerita seram... 3Where stories live. Discover now