Lagu Norah Jones itu bukanlah kegemaran Remy, namun apabila dia berjaya memainkan semua notnya dengan betul, kepuasan datang ke benaknya.
"Sedap dah kau main Remy. Lepas ni belajar lagu lain. Ingat macam mana nak baca nota muzik yang aku tunjuk ni," pesan Rizki.
"Aku nak lagu Metallica," kata Remy menanam cita-cita.
"Aku ada! Tapi versi penuh. Kau boleh cari nota muzik lagu kau suka yang ringkas. Cuba versi ringkas dulu, bila dah cekap, baru cari versi penuh," cadang Rizki, lalu dia segera mengorek nota lagu Unforgiven dari dalam begnya untuk Remy.
Gembira benar Remy menerimanya. Bagusnya kalau hari-hari ada latihan sukan. Riz pasti datang melepak di rumahnya sebelum pulang. Kalau Remy sedia jujur, sebab itulah dia sanggupkan juga terus berlatih jadi pelari. Boleh selalu melepak dengan Riz.
"Kau memang pandai lah Riz, untung dapat pergi kelas muzik," ucap Remy sambil menghulurkan makanan yang mak ngah sediakan untuk mereka kepada rakannya.
"Biasa je lah. Baca not muzik sama macam baca Jawi. Tak kenal not, tak tahulah nak bunyikan macam mana."
Tiba-tiba jam di pergelangan tangan Rizki berbunyi.
"Alamak! Dah pukul 6.30 petang! Aku balik dulu," kata Rizki.
Rizki habiskan kuih di pinggan dan minum tergesa-gesa. "Ok Remy, aku nak balik dulu. Malam nanti ada tuisyen Matematik," katanya lalu meminta diri.
Pada mak ngah yang sedang mencuci kereta di depan rumah, dia bersalaman. Mak ngah cuma tergelak melihat gadis berusia 12 tahun itu berlari pulang ke rumahnya yang terletak di kawasan perumahan sebelah. Macam lipas kudung. Rasanya, jarang benar nampak Riz berjalan. Asyik berlari sahaja.
"Baik-baik Riz!" laung mak ngah.
"Ok!" balas Riz.
"Riz tu baik la mak ngah," puji Remy lalu terus mencapai kain untuk ikut sama mak ngah mencuci keretanya.
"Memang pun. Sahabat begitu sukar dicari, Remy. Sentiasa ingat tu," pesan mak ngah.
Remy angguk.
"Walaupun berjauhan, mesti selalu berhubung," pesan mak ngah lagi.
Remy angguk lagi.
"Dah solat Asar?" tanya mak ngah.
Remy angguk untuk kali ketiga.
"Jom, malam ni kita cari tali gitar baru yang Remy nak tu," ajak mak ngah.
"Eh, tak apa lah mak ngah. Boleh pakai lagi," Remy menolak, langsung mendapat tahu yang perbualannya dengan Riz tadi, didengari.
"Tak apa, mak ngah belikan," ajak mak ngah lagi.
"Tak mahulah susahkan mak ngah," kata si pemuda 11 tahun yang terpaksa dewasa sebelum waktunya.
"Remy, walaupun mak ngah bukan ibu Remy, janganlah segan minta apa-apa. Kalau mampu, mak ngah tunaikan. Mak ngah dah berjanji dengan ibu dan ay.. Dengan ibu Remy," mak ngah bersuara, tergagap sedikit di hujung kata.
Remy angguk.
Tadi, mak ngah nak sebut tentang ayah, agaknya? fikirnya.
Tapi, kenapa dia tak jadi sebut pula? Sama macam ibu. Selalu mengelak bercerita tentang ayah, hati kecil Remy mengungkit.
Terus dia bersedekah ayat suci untuk ibunya, kerana itu pula, janji Remy pada ibu. Bila teringat, sedekahkan ayat suci untuk ibubapa.
Malam itu Remy terdengar sayup-sayup suara mak ngah, barangkali bercakap di telefon. Remy menikus memasang telinga dalam biliknya.
"Sikit lagi nak terlepas cakap pada si Remy tadi. Saya sempat tutup mulut ni," cerita mak ngah kepada entahlah siapa.
Wanita itu diam seketika.
"Ya, dia suka muzik. Rizki pandai tarik minat dia ke situ. Sempat saya pesan pada mereka, jaga diri, jaga satu sama lain," mak ngah terus bercerita.
Kemudian diam lagi.
"Rantai? Selamat. Ada dalam kotak simpanan di bank. Jangan risau," jamin mak ngah.
"Rizki tahu," sambungnya sejurus kemudian.
"Bagaimanapun, saya tetap akan beritahu Remy juga. Saya nak tunggu dia dewasa sikit. Budak lelaki di dunia ni sama je, lambat matang berbanding budak perempuan."
Kemudian suara mak ngah jadi sukar didengar, syak Remy, wanita itu beralih kedudukan. Kalau tadi dia bercakap sambil membancuh air di dapur, kini dia sudah ke ruang tamu untuk berehat. Jauhlah daripada bilik Remy.
Anak muda itu tidak faham apa yang didengarinya. Puas dia fikir dengan siapa agaknya mak ngah berbual. Tapi, dia cuma boleh menduga.
Mungkin mak ngah bercerita dengan saudara mereka? Tapi, mak ngah dan ibu tiada adik-beradik lain.
Dengan guru? Tak mungkin sebab walaupun ada guru kaunseling di sekolah yang kerap bertanya khabar sejak kematian ibunya, tak pernah pula telefon mak ngah malam-malam begini.
Apakah ayah masih hidup? Remy tidak berani berharap.
Tapi kalau ayah masih hidup, kenapa dia tak datang melawat? Kenapa tak mahu besarkan Remy? Kenapa tinggalkan ibu?
Namun, nak membenci, itu bukan diri Remy.
![](https://img.wattpad.com/cover/176996709-288-k726262.jpg)
YOU ARE READING
Remy8
FantasyRemy, anak yatim-piatu, tidak perlu kuasa aneh mahupun sepasang sayap. Dia cuma mahu tahu asal-usulnya, dan dia mahu Rizki, teman baiknya, muncul kembali di sisinya. Tapi bagaimana?