Rizki memandang sahaja Remy mengangkat barang-barang basah yang dibeli Rahmah.
"Jom, jom. Nanti udang galah ni hilang kesegarannya," ajak Kak Rahmah.
Tergesa-gesa dia melangkah ke arah kereta kecil lama milik Rithauddin. Kereta Mini klasik untuk digunakan papa sejak mula bekerja, dan masih elok berfungsi kerana dijaga dengan baik.
Remy diminta Rahmah buat masak taucu, tapi menu diubah daripada ikan masak taucu ke udang masak taucu. Remy sudah katakan dia belum pernah cuba masakan itu dengan udang, tapi Rahmah kata inilah masa bereksperimen.
Rizki beli gula perang, beberapa tin susu sejat dan sagu untuk membuat juadah manisan. Rahmah pula membeli daging untuk dibuat masak merah.
Tapi ada banyak lagi barang yang diborong Rahmah, dan Remy dengan hati-hati menyimpan semuanya dalam bonet kereta kecil yang tua itu.
Di kawasan parkir pasar itu agak sesak dengan kereta keluar masuk. Remy tiba-tiba ternampak seorang kanak-kanak yang tiba-tiba sahaja menerpa ke jalanraya, mengejar gasing plastiknya terlepas.
Tangan ibunya yang direnggut mengejutkan seorang wanita yang dari tadi cuba memasukkan barangan ke dalam kereta dengan sebelah tangan.
Sebuah kereta biru pula sedang meluncur ke arah mereka, mata pemandu meliar mencari tapak kosong, tidak memandang hadapan. Remy segera mengejar kanak-kanak itu.
Entahlah bila atau bagaimana, Rizki terlebih dulu sampai ke sisi kanak-kanak itu dan berjaya menariknya ke tepi kereta ibunya, malah Remy sempat ditahannya agar tidak ikut ke tengah jalanraya.
Kak Rahmah ikut menuruti mereka ke kereta si ibu dan anak, dan di tangannya ada gasing yang dikejar si teruna kecil tadi.
"Adik, lain kali jangan dikejar Beyblade ni. Gasing boleh beli lain, tapi kalau adik kena langgar, menangis ibu tau," Rahmah membebel.
Sang ibu sudahpun merenung anaknya dengan wajah kelat kerana awal tadi merentap tangannya agar dilepaskan.
"Saifuddin Anaqi! Ibu dah pesan jangan lepaskan tangan ibu. Nyaris tak kena langgar tadi!" marahnya.
Kemudian pada Rahmah, Rizki dan Remy, dia berterimakasih. "Kalau adik-adik semua tak cepat tadi, Saifuddin pasti dah jadi sardin," ujarnya cuba bergurau untuk menghilangkan debar di hatinya.
"Budak-budak kak, biasalah," kata Rizki.
"Eh, kereta adik yang mana ya?" tegur wanita itu pada Remy.
"Kereta Kak Rahmah yang warna merah ada belang putih tu, kak," balas Remy sambil menyua tangan ke arah Rahmah.
"Oh adik ni ke yang memandu. Jauhnya kereta adik, mujur sempat adik semua sampai ke sini. Saifuddin ni sayang sangat gasing dia tu. Arwah ayahnya yang belikan," kata wanita itu.
Tersentuh hati Remy mendengar perkataan 'arwah', lalu dia menasihati. "Jaga elok-elok pemberian ayah adik tu. Tapi untuk ibu pula mesti jaga diri elok-elok."
Rizki nampak mood Remy berubah.
Lalu dalam perjalanan pulang ke rumah, dia mengusik.
"Tak sangka aku boleh kalahkan kau dalam acara pecut 100 meter lagi kan? Dah lama aku tak berlumba ni."
Namun gurauannya buat Remy terfikirkan suatu perihal lain.
"Memang laju kau lari tadi, Riz. Tapi aku tak nampak langsung bila kau mula berlari. Bila kau sumbat susu yang bertin-tin tu dalam bonet?" soal Remy serius.
Rahmah berdehem.
Rizki segera membalas. "Aku memang tengah tengok budak tu, sebab kesian tengok ibunya terkial-kial simpan barang. Aku rasa aku nampak dulu gasingnya terlepas, sebelum kau pula perasan."
Walhal Rizki meluru ke arah kanak-kanak itu apabila Remy tiba-tiba saja meninggalkan barangan yang sedang disusunnya dalam bonet.
"Oh..." balas Remy.
Rahmah mengerling pada Rizki di tempat duduk penumpang belakang.
Nasib baik Remy percaya. Untung juga Remy sukakan Riz, dia nampak semua yang baik-baik sahaja, getus Rahmah dalam hati.
***
Kalau di pasar Rahmah gusar, waktu memasak Ros pula gundah. Melihat gaya Remy memegang pisau menghiris bawang, timun dan lada hijau membuatkan wanita itu sekejap-sekejap berdoa.
Kemudian bila taucu merecik-recik dalam kuali panas, Rahmah dan Rizki berpandangan.
"Biar auntie cuba boleh, Remy? Remy bagi auntie arahan, auntie cuba ikut. Cepat sikit auntie pandai buat masak taucu ni," Ros mencuba nasib, agar Remy dapat dijauhkan daripada api.
Remy berfikir sejenak. "Tapi auntie, saya tak pernah masak taucu udang. Kalau boleh biar saya cuba dulu? Kalau menjadi, esok lusa kita masak sekali lagi."
"Maaf Remy, cadangan kakak buat kacau resipi Remy saja. Apa kata biar kakak yang masakkan. Kalau tak sedap, biar kakak bertanggungjawab," ujar Rahmah pula.
Terkekeh Remy ketawa. "Sepatutnya lagi senang kalau guna udang, sebab udang tak perlu dimasak lama-lama. Jangan risau kak, inovasi kita ni takkan gagal seratus-peratuslah," balas Remy.
Nampaknya Remy bersungguh nak menyediakan juadah untuk keluarga Rizki. Lalu Rizki cepat-cepat beri isyarat agar Ros dan Rahmah tenang saja. Rizki yakin Remy takkan apa-apa.
Tangan Remy yang memegang sudip beberapa kali dipercik minyak, namun lelaki itu mengaduh pun tidak. Ketung-ketang lagaan sudip dan kuali stabil sahaja bunyinya, jelas Remy sudah biasa.
Namun Ros yang cekap memasak itu mulai tersedar bahawa kulit Remy sebenarnya agak lasak. Biarpun dicubit perit minyak panas, ia tak mencederakannya langsung. Malah bila direnung lama-lama, Ros mendapati bahagian kulit Remy yang terkena minyak panas itu cuma akan merah untuk seketika, tapi tompokan itu takkan melecur.
"Patutlah selama ini Rizki beritahu Remy ada terjatuh tapi tak pernah lagi luka. Agaknya waktu jarinya melecet sebab main gitar dulu tu pun, kulitnya tersiat sebab berlatih terlalu lama. Istimewa juga DNA Remy, kan?" bisik Ros pada Rithauddin malam itu.
"Kalau benarlah kulitnya lebih lasak atau lebih kuat daripada kulit manusia biasa, Rizki tak perlulah asyik kendong bunjut kopi setiap hari," komen Rithauddin.
Pasangan yang duduk selesa di sofa ruang rehat itu terus memerhatikan Rizki, Remy dan Rahmah menyiapkan sajian di ruang makan sambil bergelak-ketawa.
"Kalaulah mereka boleh selalu riang begini kan bagus," Rithauddin memohon.
"Kalaulah Rizki dan Remy akan sentiasa duduk di Bumi, kan bagus?" tingkah Ros.
Rithauddin memeluk bahu isterinya. "Awak dah tahu dari awal yang itu takkan mungkin, Ros."
Tak sengaja, Ros mengalirkan air mata. "Saya harap ke mana pun Riz pergi akhirnya, dia akan tetap bahagia."
Mendengar kata isterinya, Rithauddin ikut gerhana kerana jauh di lubuk hati dia juga mengharapkan yang sama.
YOU ARE READING
Remy8
FantasyRemy, anak yatim-piatu, tidak perlu kuasa aneh mahupun sepasang sayap. Dia cuma mahu tahu asal-usulnya, dan dia mahu Rizki, teman baiknya, muncul kembali di sisinya. Tapi bagaimana?