#Remy8 - Bab 26

30 6 0
                                    

"Rizki, tengok ni," kata Rahmah menunjukkan katalog butik milik ibu mereka yang baru siap.

Ros yang bawa jilid itu ke rumah beberapa minit tadi. Diserahkannya pada Rahmah dengan gembira, tapi sudah dipesan, amati reaksi Remy dan Rizki.

Muka depannya, gambar Rizki dan Remy sedang ketawa berdua di atas pelamin.

"Heh, jangan nak bersinar-sinar kat sini, Remy nampak nanti!" desis Rahmah sambil menepuk bahu adiknya.

Parah ni, Rahmah mengeluh, benar tekaan ibunya. Nampaknya Rizki pun mungkin ada hati pada Remy.

"Oops! Alah kakak, Rizki suka sebab katalog ni cantik buatannya. Tak sia-sia kakak tangguh sambung belajar untuk tolong mama di butik," Rizki cepat-cepat mengawal rasa suka.

Siapa tak suka kalau ternampak imej diri sendiri bersama insan yang dicinta, dalam keadaan gembira seperti ini?

Eh cinta? Bahaya ni Rizki. Tapi...

Dalam persalinan raja sehari, ditabal di atas pelamin anggun, wajah mereka seolah-olah benar-benar bersanding di hari bahagia. Harapan yang tidak pernah diendah, tiba-tiba tumbuh melata di dalam dada.

Mungkinkah ada peluang aku dan Remy dapat menempuh saat gemilang sebegini? jemala Rizki mula memasang angan-angan.

"Suis lampu dalam badan tu tutup semualah!" cuit Rahmah sekali lagi.

Segera Rizki tebas semua khayalan yang sedang lebat bercambah di dalam jiwa.

Remy bukan untuk aku. Mantra ini makin kerap diulang akhir-akhir ini, dan ia cukup untuk menyedarkannya.

Ruang tamu kembali seperti biasa. Bunyi denting sudip di kuali juga reda, tanda Remy sudah hampir sia memasak. Katanya mahu masak mee goreng Hokkien kerana terjumpa resipi mudah di Internet tadi.

"Pakcik dah sampai ke?" tanya Remy beberapa minit kemudian. Dia mendekati dua beradik yang masih membelek katalog. "Tengok apa tu, khusyuknya?"

Rahmah mengajak Remy ikut membelek. Mereka sedang melihat halaman ke 16, Remy dan Melia sedang menggayakan set busana yang diberi nama Bagan Serai, di mana Melia berpakaian ala Puteri Perak.

"Wow, Melia nampak cantik," puji Remy.

Jantung Rizki meleper. Cemburu datang tak semena-mena. Wajah Rizki mula pucat.

"Eh Riz, kau OK? Tiba-tiba macam nak pitam je aku tengok?" tegur Remy.

Cepat-cepat Rizki kembalikan sistem tubuhnya ke tahap normal. Biasanya, mengekalkan sistem tubuh tidak perlu usaha langsung. Sama seperti bernafas. Akhir-akhir ini, Rizki sekolah selalu putus nafas!

"Aircond sejuk sangat pula tadi, aku tutup, boleh?" katanya walaupun suhu cuma 24°Celcius sahaja.

"Tutuplah, Riz. Matahari petang pun dah suam saja," bantu Rahmah, agar Rizki ada alasan untuk menjauhi Remy seketika.

Remy sambung membelek katalog. Gandingan Rizki dan Marzuqi nampak menarik di halaman 18. "Kau pun nampak anggun, Riz. Qi pun nampak matang," puji Remy, tapi hati Rizki masih terkesan kerana Remy memuji Melia terlebih dahulu.

Hon berbunyi menandakan kepulangan Rithauddin.

"Jom makan! Papa dah balik," umum Rahmah lalu bingkas bangun, tak sengaja tangannya terlibas katalog yang dibelek ke bawah. Katalog itu tertutup sebaik ia mendapat ke atas permaidani.

Remy ternampak muka depan katalog. Hatinya berdebar melihat lembaran tebal itu.

Aku dan Rizki. Begini. Sepuluh tahun lagi, doa Remy dalam hati.

Tiba-tiba meja kopi di hadapannya bergegar, sedikit, namun jelas pada dia dan Rizki yang masih berkumpul di ruang itu. Kemudian bingkai gambar keluarga di meja sisi pula bergetar.

"Assalamualaikum!" laung Rithauddin yang baru masuk ke rumah.

"Waalaikumsalam!" balas Ros yang baru turun dari tingkat atas.

Getaran berhenti.

Rizki dan Remy berpandangan. Rahmah yang pergi membuka pintu depan rumah tadi memberi I syarat mata kepada Ros, mengatakan reaksi Remy dan Rizki membimbangkannya.

"Jom makan! Papa, Remy masak mee goreng mamak tau. Bau saja dah tau, sedap," Rahmah segera berbicara, cuba mengendurkan suasana.

"Kau nampak kan meja besi ni bergegar tadi?" soal Remy, berbisik kepada Rizki.

"Ya... Gempa bumi ke?" balasnya cuba membuat Remy rasa perkara itu biasa, atau paling tidak, ada penjelasan yang munasabah. Namun Rizki yakin, penjelasan sebentar, langsung takkan masuk akal, paling tidak, takkan dapat di terima akal Remy yang masih yakin, dia cuma manusia biasa, bukan separuh sahaja.

Remy cuma mengangkat bahu.

***

Petang esoknya, dalam perjalanan ke Rumah Melia, Rizki dan Remy cuba menaakul apa yang terjadi semalam.

"Aku rasa, aku ni memang manusia pelik la Riz. Serius, aku pasti getaran semalam, disebabkan aku. Sebab aku rasa dalam badan aku ni yang bergetar dulu," dedah Remy. Malam semalam mereka bergembira kerana jarang-jarang Ros dan Rithauddin dua-dua tidak lanjut bekerja, tak sempat Remy nak membicarakan analisanya.

"Betul kau rasa macam tu? Ini serius, Remy. Nak bincangkan dengan ibubapa aku? Pesan Pak Lang kau, mereka lah penjaga kau sementara dia di Mekah. Atau, kau nak telefon Pak Lang kau?" cadang Rizki. Dia sendiri risau melihat perkembangan Remy.

Remy diam. Dia tidak selesa nak berkongsi rahsia itu dengan sesiapa pun, kecuali Rizki. Dua jilid katalog untuk Melia dan Marzuqi, dipegang erat.

"Kalau kau tak sedia, kau kena hati-hati. Apa saja terjadi, kau mesti lapor pada aku, OK? Manalah tahu kau pengsan... Atau apa-apalah, aku tahu lah apa nak diceritakan pada doktor," pesan Rizki. Sekilas pandang ke muka Remy, tahu benar dia apa yang berselubung dalam fikiran lelaki itu.

"Doktor?" tiba-tiba Remy terbayang hospital, jarum, tiub, ibunya dan ibu saudaranya yang terlantar di wad. "Tak mahu lah. Aku pantau sendiri sahaja keadaan aku. Kalau ada apa-apa, aku beritahu kau. Kau akan simpan rahsia aku, kan? Takkan beritahu ibubapa kau atau Kak Rahmah, atau Pak Lang?" mohon Remy.

Terdiam Rizki. "Selagi tak membahayakan nyawa sesiapa, aku simpan."

Remy terpaksa berpuashati. "Kau tahu kan, aku cuma percayakan kau seorang saja."

"Tahu. Selama ni, kepak kau buat kemunculan masa kita berlari, tak pernah aku cerita pada sesiapa, kan?" usik Rizki cuba membuat Remy tenang. Dia dapat mengagak Remy teringat ahli keluarga ya yang telah tiada bila dia menyebut hal doktor tadi.

"Doh Doh lah kau ni. Aku ni dah lah banyak keganjilan, kalau satu hari nanti aku betul-betul dapat sayap, takut kau nanti!" marah Remy, pura-pura sahaja.

"Eh kalau kau dapat sayap, kau kibarkan kuat-kuat. Kepakkan macam ni," syor Rizki sambil membuat aksi ayam. "Mesti aku datang berlari. Kau bawa aku terbang sekali, OK?"

Tergelak besar Remy. "Oh macam tu ya... Baik lah. Nanti aku bawa kau terbang. Kita honeymoon di bulan. Sudi?"

Rizki pula terkekeh, sukanya berlebih kerana cuba menutup rasa suka yang meluap di dalam hati. "Honeymoon? Kenapa honeymoon pula?"

Dengan muka yakin dan sombong, Remy melayangkan katalog butik Ros ke muka Rizki. "Dah lupa ke? Kita ni, bersanding dah sudah. Bulan madu terus saja lah lepas ni," sakat Remy.

Rizki ketawa lagi. Kalau selama ini dia dapat mengekang, kini perasaannya tidak lagi terbendung. Satu peratus hatinya sudah berpaling tadah terus. Alangkah bagus kalau aku bukannya sekadar penjaga utama Remy di Bumi?

Namun cepat-cepat dipujuk dihatinya. Kau seorang harapan ibubapa Riz. Kalau terpaksa memilih, Rizki sudah lama nekad yang dia akan memilih ibubapanya. Perasaannya kepada Remy, kalau perlu, dia sanggup korbankan sahaja.

Remy8Where stories live. Discover now