Malam itu Rizki sukar nak lelapkan mata. Dia terkenang hal malam semalam.
Siang itu, Rahmah enggan, untuk kali kelima dan keenam, menyambut panggilan telefon Yuzairy.
Sudah tiga hari berturut-turut jejaka itu mencuba. Sejak bertemu di Bukit Bintang, sukar nampaknya Yuzairy nak putus asa.
Lelaki itu menghantar mesej kepada Rizki, bertanyakan mengapa Rahmah enggan bercakap dengannya. Rizki terpaksa berterus-terang. Dia tak pasti kenapa.
Yuzairy memohon bantuan Remy pula. Tak dapat Remy berjanji.
Namun pemuda itu tetap mencuba. Bila Ros sudah ke butik dan Rithauddin ke pejabat, Remy mengajak Rahmah dan Rizki ke dapur.
"Kak Rahmah ajar saya masak lasagna. Nanti Pak Lang balik boleh saya masakkan. Semalam Mak Ngah telefon saya, kirim salam Pak Lang. Kata Mak Ngah, Pak Lang teringin nak makan masakan Barat bila dia pulang. Masakan Melayu dia tak rindu pula," Remy mulakan sembang.
Kak Rahmah tergelak. "Pak Lang Remy tu memang moden orangnya, kan?"
Mereka melayar Internet mencari resipi paling mudah.
"Kak Rahmah, kenapa tak mahu cakap langsung dengan Abang Yuzairy? Bersungguh-sungguh dia telefon. Dah masuk tiga hari. Sampai tak pasti macam mana saya nak balas mesej dia," selamba Remy tanya.
Kalau Rizki, tak berani dia nak tanya Kak Rahmah begitu.
Tapi Rahmah tergelak sahaja mendengar pertanyaan Remy. Tangannya terus menyusun kepingan lasagna.
"Kalau Kak Rahmah dah ada pilihan hati, cakap sajalah. Nanti Remy beritahu Abang Yuzairy. Tak lah dia terhegeh-hegeh lagi," mohon Remy.
Ketawa Rahmah makin kuat.
Remy dan Rizki berpandangan.
"Kakak ni, kenapa?" soal Rizki naik risau.
Rahmah redakan gelihatinya.
"Kakak tak mahu buang masa dia. Mungkin dia cuma nak semua orang suka dia sahaja. Harap maaf lah, kakak tak suka lelaki kacak. Susah nak jaga," akui Rahmah.
"Kalau dia buruk baru kakak beri peluang?" tanya Remy, mulutnya ternganga.
"Lelaki kacak ni, rebutan ramai. Tak kuasalah kakak nak bersaing dengan wanita-wanita yang minat pada dia," terang Rahmah lagi.
Langsung Rizki teringatkan Mia dan Nia. Dua gadis itu pernah berebutkan Remy.
Remy pula terfikir, apalah yang sesuai untuk diberitahu kepada Yuzairy.
Akhirnya dia menaip, Maaf bang. Kak Rahmah kata dia tak suka lelaki kacak.
Yuzairy tak balas-balas mesejnya.
Petang itu, Yuziana menelefon, mahu ke rumah Melia.
Remy dan Rizki berjalan kaki saja ke sana untuk ikut berkumpul.
Marzuqi tidak sihat, lalu mereka berbual sahaja, tidak lama di studio muzik.
Lewat petang, Yuzairy yang sudah selesai kerja datang untuk mengambil Yuzi pulang, lalu menawar untuk menghantar Remy dan Rizki balik.
Ros yang sudah pulang dari butik menjemput dua beradik itu singgah, lalu menyuruh Rahmah menghidang teh dan kuih.
"Jadi inilah geng yang teroka satu Bukit Bintang Sabtu lepas ya. Terima kasih Yuzairy, jagakan keselamatan budak-budak ni," kata Ros sambil hulurkan pada Yuzairy kuih.
Yuzairy sambut pemberian itu. "Tak susah pun, Rahmah pun tolong jagakan Yuzi ni, bantu dia beli barang," balas Yuzairy, ikhlas.
Rahmah diam, membuatkan Ros menangkap ketegangan antara dia dan Yuzairy.
"Hmm... Yuzairy kerja mana sekarang? Rizki cerita, kerja sebagai jurutera ya," tanya Ros.
"Ya, auntie. Di kilang elekronik di PJ, baru setahun," katanya.
"Ah, bagus tu. Dua tiga tahun nanti dah mahir, mesti maju kerjaya Yuzairy nanti. Dah ada girlfriend?" tanya Ros selamba.
Anak muda itu tersedak lalu diketawakan adiknya, Rizki dan Remy. Rahmah masih diam seolah tiada apa yang berlaku.
"Ada terpikat pada seseorang, tapi dia tak suka saya lah, auntie," balas Yuzairy perlahan.
Ros ketawa. "Mungkin Yuzairy kena pikat keluarganya dahulu," cadangnya.
Yuzairy terdiam. Kemudian diletakkan pinggan kuihnya lalu dihidangkan kuih untuk Ros, Rizki dan Remy.
Ros pula terdiam.
Tiba-tiba Remy pula bangun untuk menuangkan teh untuk semua orang, tapi dia mulakan dengan Ros, Yuzairy, Rahmah, Yuziani dan akhirnya Rizki.
Remy dan Yuzairy bertukar pandangan. Masing-masing faham.
Semoga berjaya pikat Rizki, itu maksud pandangan Yuzairy.
Abang Yuzairy pasti boleh tawan hati Kak Rahmah, itu pula dibalas dalam pandangan Remy.
Semudah itu dua jejaka itu memateri brotherhood.
Satu meja diam. Mujurlah Yuzi segera ucapkan terima kasih kepada Remy dan mengajak, "Jom semua, minum?"
Ros meneguk perlahan. Jadi Yuzairy berminat pada Rahmah. Remy pula ambil kesempatan untuk beri petunjuk niat hatinya pada Rizki.
Benarlah kata orang tua, anak perempuan memang rumit nak dijaga.
Yuzairy dan Yuzi tidak singgah lama, mereka meminta diri setelah menghabiskan minuman.
Sempat Ros berpesan, "Kalau betul-betul suka, tunjukkan keikhlasan, mungkin terbuka hati gadis pilihan Yuzairy tu."
"Saya akan ikut nasihat auntie. Auntie doakan saya, ya?" Yuzairy meminta. Matanya melirik si gadis pilihan.
Terkedu Rahmah mendengar. Rizki tersenyum melihat kesungguhan Yuzairy.
Bila terpandang muka Remy, Rizki berdebar sedikit.
Remy cuma tersenyum nipis. Senyuman khas untuk dia. Senyuman yang tak pernah Rizki lihat dihadiahkan kepada gadis-gadis sebayanya.
Malam itu bila mereka berdua menunggu Rithauddin pulang dari luar bandar, Rizki beranikan diri menyiasat, benarkah Remy sukakan dia seperti yang Rahmah dan Ros kata.
"Remy, masa Nia dan Mia berebutkan kau tahun lepas, bagaimana kau leraikan?" tanya Rizki. Dia cuba mengunyah kerepek pisang agar nampak bersahaja, sedangkan jantungnya terlupa nak dia sekatakan degupnya.
"Eh, kau yang beritahu aku macam mana nak selesaikan. Aku slow talk sahaja dengan mereka berdua, macam yang kau nasihatkan. Dah lupa?" jawab Remy, dia ikut rentak gadis itu, mencapai kerepek pisang lalu dimakannya.
"Kau tak rasa rugi lepaskan mereka, mereka kan cantik, baik dan tak mengada-ngada?"
Remy mengesan sesuatu dalam nada Rizki. "Mereka dah jadi kawan baik. Lagipun cuma ada ruang untuk sepasang kembar sahaja dalam hati aku, cukuplah. Kau tahu aku maksudkan siapa, kan?"
Ibu, dan ibu saudaranya. Rizki mengangguk. "Susahlah kalau ada sesiapa sukakan kau lepas ni ya."
Remy mengangguk. "Begitulah."
Sebab itulah sekarang, Rizki susah nak lelap.
Sepatutnya dia gembira sebab Remy tidak beri apa-apa petunjuk tentang perasaannya pada Rizki. Jadi Rahmah dan Ros merisaukan yang tak perlu. Kejadian ketika Yuzairy datang singgah itu pun, mungkin sekadar Remy nak menyokong Yuzairy sahaja.
Tapi yang Rizki rasa sekarang, hampa yang beriya-iya.
Mungkin lebih wajar jika Ros dan Rahmah risaukan perasaan Rizki pada Remy, bukan Remy pada dia.
YOU ARE READING
Remy8
FantasyRemy, anak yatim-piatu, tidak perlu kuasa aneh mahupun sepasang sayap. Dia cuma mahu tahu asal-usulnya, dan dia mahu Rizki, teman baiknya, muncul kembali di sisinya. Tapi bagaimana?