Rizki perlahan-lahan menukar butiran resipi dalam buku catitan Nia. Digandakan berat udang kering yang perlu dimasukkan ke dalam masakan terung balado yang baru sahaja disalin oleh si kembar yang lebih muda itu.
Tiba-tiba telinganya menangkap suara gadis-gadis kembar itu dari luar bilik tidur yang dicerobohinya. Sepantas mungkin Rizki simpankan semula buku catitan berwarna merah jambu itu ke dalam laci kemudian dia melompat keluar melalui tingkap yang terbuka luas. Gril tingkap dipasangnya cepat-cepat. Walaupun cuma sempat memasang satu skru di setiap bucu, gril itu tampak teguh di posisi asalnya.
"Esok ada kokurikulum, malasnya," getus Mia sambil membuka pintu biliknya.
Dia tercegat sebentar sebelum masuk, hingga Nia terlanggar tubuhnya dari belakang.
"Masuklah, kau tunggu apa?" desak Nia yang sudah mengantuk. Jam sudah 10.30 malam, dan ibubapa mereka cuma perlu menyebut sekali sahaja, dan dua beradik berusia 15 tahun itu terus akur perintah 'masuk tidur'.
Mia berbisik. "Bau... wangi. Kau dapat hidu tak?"
Terus Nia memukul lengannya. "Hoi, malam-malam, tak elok tegur kalau ternampak atau terhidu apa-apa. Itu pun tak tahu?"
"Tak, ini bau pewangi artis terkenal. Britney Spears. Takkanlah hantu nak pakai pewangi Britney," tingkah Mia.
Berkerut-kerut hidung adiknya cuba mencium bau yang unik itu. Dia minat juga pewangi artis itu.
"Ya lah Mia, aku dapat bau," kata Nia sambil perlahan-lahan masuk ke bilik. Meja tulisnya didekati, mengikut sahaja arah yang dikesan hidungnya.
Dua gadis itu berpandangan.
Hidung Nia menyuruhnya membuka laci. Kemudian dia terhidu-hidu lagi.
"Buku ni," katanya pada Mia.
***
Esoknya Remy dicari pasangan kembar itu pagi-pagi lagi. Remy terus mereka tarik ke tempat duduk mereka di dalam kelas, sebelum sempat jejaka itu meletakkan beg ke kerusi.
"Hei, kenapa ni? Kejaplah, aku letak beg dulu," mohon Remy.
"Remy, Remy, kau nak tahu malam tadi kami dilawat bidadari," terus saja Nia membuka cerita.
Tergelak Remy, lalu begnya diletakkan ke meja Mia. "Ya lah tu," ejeknya. Dua beradik itu memang kreatif bila bercerita.
"Eh, kenapa bau beg kau semacam ni?" tanya Mia.
Tiga sahabat itu cuba menghidu udara sekeliling mereka.
"Mia, bau semalam!" umum Nia.
"Bau apa?" tanya Remy.
Dua gadis itu dengan selamba mengorek beg Remy untuk melihat isi di dalamnya.
"Buku ni, buku ni yang berbau sama macam bau yang kami hidu semalam di bilik tidur. Ia melekat pada buku resipi Nia. Mana kau dapat buku ni?" tanya Mia, berdebar.
Takkanlah Remy curi masuk ke dalam bilik mereka? Kenapa buku nota ini yang berbau pewangi Britney Spears. Takkanlah si Remy nak curi masuk bilik sambil bawa buku pula sambil menyelinap tu? Ish, tak masuk akal.
Remy mengambil buku nota yang baru diterimanya melalui kiriman pos semalam.
"Ini, buku nota lagu. Banyak lagu yang kita suka ada di dalam ni. Rizki yang kirimkan, katanya... hah, tengok kad ni," sua Remy.
Mia dan Nia meneliti kad yang tertampal di halaman pertama buku nota itu.
Remy,
Buku ni kompilasi nota muzik untuk gitar, dram dan bass untuk lagu-lagu rock Jepun. Kau kongsilah dengan si kembar Mia dan Nia, dan Cikgu Muzik sekolah kau tu. Mesti seronok jamming nanti.
YOU ARE READING
Remy8
FantasyRemy, anak yatim-piatu, tidak perlu kuasa aneh mahupun sepasang sayap. Dia cuma mahu tahu asal-usulnya, dan dia mahu Rizki, teman baiknya, muncul kembali di sisinya. Tapi bagaimana?