Remy tersenyum-senyum teringat kan semalam. Dia bersanding dengan Rizki! Romantik, indah dan menginspirasikan. Malah, perasaannya lebih indah daripada apa yang selama ini bermain dalam bayangan.
Itulah masa depan yang kini Remy angankan.
Dia yakin peluang bergambar sebagai pasangan yang tiba-tiba sahaja datang itu, petunjuk yang cintanya pada Rizki, murni. Dia tidak berada di landasan yang salah. Tapi nasihat Rahmah membuat dia sedar, dia perlu mara dengan berhati-hati.
Jadi pagi itu Remy sudah memasang rancangan. Langkah pertama, dia mahu buat apa sahaja untuk mengambil hati Rizki.
Langkah kedua, dia mahu Rizki jatuh hati padanya, jatuh yang benar-benar dalam.
Langkah ketiga, dia akan tunggu gadis itu dahulu beri isyarat yang Rizki ada hati padanya.
Mudah kan? Tapi, kena sabar dan hati-hati.
***
"Remy! Kawan aku Yuzi nak datang lah! Jom, kita ajak Melia lepak dengan dia," ajak Rizki, pantas sekali dia turun dari tingkat atas.
Remy yang sedang membawa serunding daging untuk dimakan dengan lontong dan masak lodeh terkejut disergah begitu.
"Maaf, kau terkejut ya..." Rizki tersengih, sambil cuba mengingat apakah dia tadi berlari pada kadar kelajuan biasa, atau dua kali ganda berbanding Usain Bolt.
"Nasib baik kau yang sergah aku. Kalau bukan kawan baik aku, sia-sia gugur jantung aku ni," balas Remy lalu segera meletak juadah itu.
Dua sahabat itu tergelak berdua.
"Eh Yuzi nak ajak kita pergi beli pakaian sejuk. Dia dah dapat tawaran melanjutkan pelajaran di luar negara," jelas Rizki.
"Keputusan SPM kan belum keluar?" tanya Remy kehairanan.
Rizki duduk di kerusi berhadapan dengan Remy lalu dicapainya sepotong oren. "Yuzi dihantar atas tajaan bapa sendiri, tak perlu tunggu keputusan nak minta biasiswa. Dia akan belajar di Copenhagen nanti. Dulu, bapanya pernah bertugas sebagai guru Bahasa Melayu sambilan di universiti yang sama. Ibunya memang rakyat Sweden. Ada saudaranya yang bakal tengok-tengokkan dia nanti."
Jadi Yuzi bijak, berada dan berdarah kacukan. Mesti menarik orangnya. Tapi, kenapa gerak hati Remy direnggut keresahan?
"Eh, Yuzi ni, kawan kau yang suka lagu kumpulan B'Z tu, ya?" Remy teringat.
"Ah, itu abang dia yang kenalkan kami pada kumpulan tu. Hah, abang dialah yang bawa dia membeli-belah nanti. Kejap lagi kita kena bersiap. Kita minta Kak Rahmah bawakan kita ke Bukit Bintang. Jumpa Yuzi dan abangnya di situ. Kau cepat bersiap, ya?" terang Rizki lagi tentang rancangan yang dibuatnya dalam telefon dengan Yus sebentar tadi.
Abang dia? Yuzi bawa abang dia? Abang dia yang rapat dengan Rizki tu? Argh! Seluruh jasad Remy tak mahu bersetuju.
Keluarga Rizki semua sudah mula turut bersedia di sekeliling meja. Tak sempat Remy nak melayan protes besar-besar an dalam jiwa.
Samar-samar Remy terdengar suara Rithauddin membaca doa, lantas automatik sahaja Remy mengaminkan. Bila Ros sendukkan kuah lodeh untuknya dia laju sahaja menadah pinggan.
Bila Rizki bercerita tentang rancangan mereka hari itu, Remy cuba ikut teruja walaupun fikirannya melayang.
Melayang ke ceruk gelap di mana dia dapat menahan Rizki daripada ke Bukit Bintang bertemu sahabat. Melayang ke masa lampau di mana dia aman berkawan dengan Rizki tanpa gangguan orang lain apatah lagi watak-watak musibat.
"Kak Rahmah ikut sajalah kami jalan-jalan, ok? Nanti dah dapat kerja mesti sibuk, tak ada peluang berjalan dengan Riz dah," rayu Rizki.
Ah, Kak Rahmah! Kak Rahmah boleh bantu Remy. Bantu jaga Rizki agar jangan biarkan abang si Yuzi tu cuba rapat dengan Rizki! Hati kelam Remy mula menangkap segaris cahaya.
YOU ARE READING
Remy8
FantasíaRemy, anak yatim-piatu, tidak perlu kuasa aneh mahupun sepasang sayap. Dia cuma mahu tahu asal-usulnya, dan dia mahu Rizki, teman baiknya, muncul kembali di sisinya. Tapi bagaimana?