#Remy8 - Bab 15

52 6 0
                                    

Masuk seminggu menumpang kasih di kediaman Rithauddin, Remy mula mendapat rentak yang indah dalam hidupnya.

Pagi-pagi lagi dia akan ikut Rithauddin ke masjid, mencukupkan jemaah surau kawasan perumahan mewah yang rata-rata penghuninya sibuk bekerja. Selesai subuh, dia akan menyapu laman rumah sebelum bersarapan dengan keluarga itu. Tiap kali habis makan, pinggan semua orang akan dibersih dan dilapkannya hingga kering.

Rahmah dan Ros sudah memasak, Rizki pula sudah menghidang dan mengemas. Apa salahnya kalau Remy mencuci pinggan, itulah katanya. Memang dia tetamu, tapi Remy tetamu yang pandai membawa diri.

Malah dia tak keberatan ikut sama Rizki dan Rahmah ke butik pakaian milik Ros, membantu mengemas, melipat, menggosok dan sekali-sekala, melayan pelanggan.

Terdetik di hati Rithauddin mahu menghubungi ibubapa Remy dan memberitahu mereka, putera yang terpaksa mereka tinggalkan itu, Alhamdulillah, baik-baik sahaja.

Namun Xral yang diberikan oleh Riq bukanlah boleh disalahguna. Ia alat komunikasi antara planet yang boleh digunakan di waktu kecemasan sahaja.

Rithauddin teringat kali terakhir dia menggunakan alat yang berbentuk seperti sebongkah kristal itu. Alat itu akan berubah warna menjadi sekilat cermin muka sebelum sebelah permukaannya menjadi seperti skrin telefon, cerah dan penuh warna.

Tatkala itu Rizki dibenarkan melihat wajah kedua orang tuanya. Gadis itu baru berusia genap 11 tahun, terlalu muda untuk diberitahu yang ibubapanya terpaksa membuat kerja amal di Planet 8 demi menebus 'kesalahan' mereka. Menteri Pahlawan memberitahu Rizki, gadis itu berpeluang membersihkan nama baik ibubapanya dan 'membebaskan' mereka jika Remy dijaga dengan baik dan dipersiapkan untuk pulang ke 8 bila tiba waktunya nanti.

Namun itulah yang diberitakan kepada anak kecil itu, bukan dengan rela ibubapanya, oleh Ketua Menteri 8 dan Menteri Pahlawan.

Pada mulanya Rizki terpinga-pinga. Tidak sangka masih hidup ibubapanya. Tidak sangka perkahwinan mereka dan kelahirannya dianggap suatu kesalahan rupanya. Tidak sangka dia diberi peluang untuk menebus maruah keluarga.

Rithauddin tidak sempat mengajak Rizki berbincang dahulu, gadis itu terus berkata sedia melaksanakan tugasan yang ditawarkan padanya. Bagi Rizki, apalah susahnya menjaga sahabat baik sendiri. Remy baik, bijak dan pandai menjaga diri. Rizki, 11 tahun, pasti Remy boleh menjadi putera yang punya persona yang 8 kehendaki.

"Huh..." keluh Rithauddin, tak sengaja. Dia sejak selesai berpakaian untuk ke pejabat tadi, asyik merenung Remy dan Rizki yang asyik dengan permainan video di ruang tamu. Rahmah walaupun duduk bersama, dia lebih asyik membelek skrin telefonnya.

"Papa, nak ke pejabat dah? Tak nak bawa bekal nasi goreng tu kenapa?" tegur Rahmah yang tertangkap dengusan bapanya.

"Tengah hari nanti, nak jumpa dengan AJK masjid tempat papa buat projek bumbung solar tu. Nak bincang tentang aktiviti sekitar musim haji. Papa teringin pula nak ajak mereka makan-makan di restoren, bosanlah asyik meeting di pejabat," terang Rithauddin, takut Rahmah terasa pula bekalnya tak dibawa.

"Oh... Kalau begitu tak apalah, biar kami habiskan. Tak perlu masak tengah hari ni," kata Rahmah.

"Eh, kita ada tamu. Mesti masak nasi. Nanti lapar pula Remy," sampuk Ros.

Remy terhenti bermain. "Auntie, tak perlu susah-susah. Nasi goreng lebihan tadi pun sedap. Makan itu sajalah tengah hari nanti," katanya.

Remy sebenarnya jarang merasa lapar, dia sendiri tak pasti kenapa. Pernah beberapa kali, Pak Lang bertugas di luar bandar dan pulang lewat. Walaupun lelaki itu berpesan agar Remy pandai-pandailah goreng telur dan masak nasi, tidak Remy lakukan.

"Nanti kalau Remy lapar, Riz masaklah, jangan risau ok?" sahut Rizki pula, sambil memandang Ros dan Rithauddin.

"Ya lah. Remy, kalau lapar, roti, biskut, minuman dan buah-buahan ada di dapur. Ambil saja ya," pesan Rithauddin.

Remy angguk biarpun saban pagi sejak minggu lepas Rithauddin berpesan yang serupa.

"Hari ini nak buat apa? Butik mama tak buka, kan?" tanya Rithauddin.

"Papa, Riz nak ajak Remy ke rumah kawan Riz yang pandai main keyboard tu. Kami nak jamming, boleh?" mohon Rizki.

Rithauddin berfikir sebentar. "Apa nama kawannya? Rumahnya di mana? Rahmah, boleh hantarkan mereka?" tanyanya.

"Kawan Riz yang satu asrama tu, Melia. Awak pernah jumpa masa kita melawat Riz di sekolah dulu," sampuk Ros.

"Oh, yang Riz cerita adiknya itu pemalu sangat tu ya?" Rithauddin teringatkan episod bertemu keluarga Melia di hari keluarga sekolah anak bongsunya itu.

"Ha, betul papa. Adiknya tu pun pandai main alat muzik. Tapi dia takkan bermain depan orang lain selain keluarga, kata Melia. Rumahnya dekat dengan pasar malam tu... " kata Rizki.

"Pasar malam kawasan perumahan sebelah kita ni?" soal Rithauddin.

Rizki angguk.

"Oh kalau begitu tak payahlah Rahmah hantar, boleh jogging saja ke sana, kan?" gurau Rithauddin seraya memberi kebenaran untuk mereka ke sana.

Rizki mengangguk. "Cadangnya begitulah. Dia saja yang tinggal dekat-dekat sini. Geng Riz yang lain, semua jauh. Tak kena kalau waktu cuti, tak melawat langsung," dia berceloteh, lebih untuk memberitahu Remy daripada ibubapanya.

"Hati-hati ok?" Ros mengingatkan.

Entah kenapa di mata Remy, nasihat Ros itu berlapis makna untuk Rizki, tambah lagi bila mata sang ibu itu memandang Rizki dengan suatu pandangan khas.

Ah dia risau anak daranya berjalan berdua-duaan dengan aku kot, teka Remy.

Remy tidak ambil hati.

***

"Boleh tahan juga kawasan rumah Melia ni, cantik!" puji Remy.

Kawasan yang disusurinya berdua dengan Rizki itu tenang dan teduh, pepohonnya sudah rendang kerana ia perumahan lama. Perumahan Rizki baru, pokoknya masih togel-togel lagi.

"Ya, keluarga Melia dah lama menetap di sini. Awal tahun tempoh hari, waktu kami berpindah ke sini, tak tahu langsung yang dekat benar rumahnya dengan rumah kami. Gembira betul bila tahu yang lepas peperiksaan SPM, aku takkan kebosanan sendiri. Tapi sepanjang minggu lepas, Melia sibuk belajar memandu, sebab itulah baru hari ni aku dapat nak perkenalkan kau pada dia," Rizki menceceh seperti biasa.

"Syukurlah..." desis Remy perlahan.

Telinga Rizki sempat menangkap. "Apa yang kau syukurkan tu? Kalau iya pun tunggulah lepas dah diperkenalkan. Kita belum sampai lagi rumahnya ni..."

Remy tergelak. Sebenarnya dia bersyukur keluarga Rizki berpindah dekat dengan Melia, bukan Yuzi, seorang lagi geng rapat Rizki. Dia masih ingat betapa cemburunya dia bila Rizki ceritakan abang Yuzi, Yus banyak kali melawat merekadi asrama.

"Aku bersyukur jalan kita ni teduh. Kalau panas, malu juga nak berkenalan dengan perempuan bila badan dah berpeluh-peluh," katanya menutup topik.

Tergelak Rizki mendengar. Seperti yang biasa berlaku sejak seminggu lepas, Remy terpesona memandang gadis itu ketawa.

"Melia tu lawa... Pasti kau nak selalu ke rumah dia lepas ni," usik Rizki.

Aku nak selalu ke mana-mana saja dengan kau, Riz. Janji kau ada, hati Remy berbicara.

Sudah seminggu di kediaman Rithauddin, tak muncul-muncul lagi keberanian Remy untuk berterus-terang.

"Hah! Melia dah tercegat depan pagar rumah dia lah! Cepat sikit jalan tu Remy," gesa Rizki yang ternampak susuk seorang gadis melambai dari kejauhan.

"Aku keluarkan sajalah sayap aku, boleh? Cepat sikit kita sampai," sahut Remy.

Apa? Remy sudah pandai keluarkan sayap? Jantung Rizki mengecut dan gadis itu terpaksa mengawal emosi agar dapat memulihkan organnya yang terkejut.

Remy8Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang